KISAH ‘Lebai Malang’, adalah sebuah cerita rakyat yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu.

Ceritanya begini. Pada suatu hari, seorang lebai di sebuah kampung telah menerima tiga jemputan yang berasingan. Jemputan pertama adalah untuk membaca doa di sebuah majlis berkhatan. Jemputan kedua adalah untuk membaca doa untuk pengebumian jenazah. Jemputan ketiga pula adalah untuk membaca doa pada majlis kenduri kahwin.

Lebai menerima ketiga-tiga jemputan itu kerana dia berfikir bahawa dengan berbuat demikian, dia akan dapat balasan sebagai terima kasih bagi setiap satu jemputan. Memikirkan makanan dan wang yang bakal diterimanya telah menjadikan lebai itu tamak. Namun demikian, dia terlewat untuk ketiga-tiga jemputan dan hanya menerima beberapa keping lempeng daripada jemputan yang terakhir.

Dalam perjalanan pulang ke rumahnya, lempengnya dibawa lari oleh seekor anjing liar. Lebai itu mengejar anjing sehinggalah haiwan itu melompat masuk ke dalam sebuah lubang pada sebatang pokok. Untuk memerangkap anjing itu, lebai menanggalkan pakaiannya dan menyumbat pakaiannya itu ke dalam lubang tersebut. Namun demikian, sang anjing melarikan diri melalui suatu lagi lubang.

Lebai yang malang itu pulang ke rumah lapar, tanpa lempeng-lempengnya dan tanpa seurat benang pada badannya. Sudahlah jatuh, ditimpa tangga, sesudah sampai di rumah isteri pula memarahinya.

Kisah Lebai Malang ini adalah satira yang mengkritik lebai kampung yang tamak. Oleh sebab tamaknya, maka dia menerima nasib malang.

Satira adalah penggunaan humor, ironi, membesar-besarkan, ejekan atau cemuhan untuk mendedahkan atau mengkritik kebodohan atau tabiat buruk, lebih lagi dalam konteks politik dan isu kontemporari.

Nukilan sastera dan seni Melayu penuh dengan satira. Daripada wayang kulit, kisah Sang Kancil, Wak Jenin, Pak Pandir sehinggalah karya moden seperti majalah Ujang dan Gila-Gila, sasterawan dan penggiat seni Melayu telah lama menggunakan karya mereka sebagai ulasan terhadap isu. Malahan, karya yang dianggap serius seperti Sejarah Melayu juga punya elemen satira.

Karikatur yang disiarkan oleh akhbar bahasa Cina Nanyang Siang Pau juga adalah satira. Ia satu bentuk kritikan terhadap apa yang berlaku pada hari terakhir sidang Parlimen yang lepas, iaitu pembentangan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta 355.

Mungkin lukisan itu nampak kasar, tetapi kartunis tersebut bukannya mengatakan bahawa sesiapa yang digambarkan adalah monyet. Kartunis itu menggunakan karikatur haiwan sebagai ulasan terhadap isu tersebut, seperti buku Animal Farm nukilan George Orwell atau peribahasa Melayu yang menggunakan perumpamaan haiwan seperti ‘katak bawah tempurung’, ‘musang berbulu ayam’ atau ‘kera mendapat bunga’.

Sudah tentu, ada yang tersinggung dengan karikatur tersebut. Mereka punya hak untuk berasa tersinggung, malahan mereka juga punya hak untuk marah. Mereka juga punya hak untuk membantah penyiaran karikatur tersebut.

Tetapi pada masa sama, wajar diakui bahawa Nanyang dan kartunis itu juga punya hak untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat, termasuklah hak untuk mengkritik politikus dan mengulas tentang isu politik.

Apabila ada yang mahu permit Nanyang disemak semula, ia adalah suatu percubaan untuk menapis (censor) kritikan politik. Percubaan seperti ini harus ditentang. Dengan berbuat demikian, ia akan meletakkan nilai ambang yang rendah untuk had kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat.

Tiada pemimpin politik yang tidak boleh dikritik, dicerca dan 'disatirakan'. Ada yang mengatakan bahawa sesuatu karya tidak patut menyebabkan orang rasa tersinggung atau marah. Tetapi itulah matlamat satira; untuk menyinggung perasaan sebagai suatu jenis kritikan.

Ya, kita boleh tidak bersetuju dengan karya itu. Tetapi pada masa yang sama, kita harus terima bahawa ekspresi satira sudah lama wujud dalam masyarakat kita.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur