UNDANG-undang yang telah digubal oleh Parlimen mutakhir ini telah mengehadkan budi bicara mahkamah atau mengecualikan sepenuhnya bidang kuasa mahkamah. 
 
Akta Pencegahan Keganasan, atau lebih dikenali dengan ‘PoTA’ yang digubal Parlimen awal tahun ini mengecualikan badan kehakiman dengan memperuntukkan penahanan tanpa bicara. Ini bermakna, seseorang itu boleh dituduh melakukan keganasan tetapi tidak perlu didakwa di mahkamah untuk dia ditahan di bawah akta tersebut.
 
Malahan, terdapat peruntukan di dalam akta tersebut yang menyatakan bahawa apa-apa keputusan Badan Pencegahan Keganasan, iaitu badan yang diberi kuasa untuk menahan tanpa bicara, tidak boleh disemak oleh mana-mana mahkamah melainkan ia berkenaan dengan ketidakpatuhan prosedur.

Maknanya, seseorang yang ditahan di bawah akta tersebut tidak akan mempunyai peluang untuk membela dirinya dengan mencabar penahanannya di mahkamah. 
 
Manakala pindaan yang dibuat ke atas Akta Hasutan pula telah mengehadkan budi cara mahkamah dalam menjatuhkan hukuman. Mengikut pindaan tersebut, seseorang yang disabit di bawah Akta Hasutan mesti dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya tiga tahun.

Sebelum ini, mahkamah boleh mengenakan denda ataupun hukuman penjara kurang dari tiga tahun.
 
Pengecualian semakan kehakiman seperti ini bukanlah perkara baharu. Parlimen kita mempunyai sejarah menggubal undang-undang yang mempunyai mengecualikan bidang kuasa mahkamah sepenuhnya. Lebih malang lagi, mahkamah sendiri telah memutuskan bahawa peruntukan seperti ini adalah sah. 
 
Tetapi ini tidak bermakna bahawa kita boleh membiarkan sahaja perkara ini berlaku. 
 
Dalam kerangka negara kita, kuasa terbahagi kepada tiga badan; Parlimen yang menggubal undang-undang, kerajaan yang melaksanakan undang-undang dan badan kehakiman yang memberi makna kepada undang-undang.

Kesemua badan-badan negara ini mempunyai peranan dan tanggungjawab mereka sendiri. Tidak ada suatu pun yang sepatutnya mempunyai kuasa mutlak atau melebihi badan yang lain. 
 
Badan kehakiman adalah benteng terakhir bagi rakyat jelata; dinding yang memisahkan individu dan kuasa negara. Sekiranya hak seseorang itu dicabul atau dilanggar oleh kerajaan, badan kehakiman adalah tempat di mana orang itu dapat menegakkan haknya dan memperbetulkan pencabulan atau pelanggaran tersebut.
 
Oleh sebab itu, kebebasan badan kehakiman adalah penting bagi mendukung kedaulatan undang-undang. 
 
Inilah sebab mengapa undang-undang seperti PoTA dan Akta Hasutan yang dipinda begitu jijik dan membelakangi demokrasi, kedaulatan undang-undang dan kerangka perlembagaan negara kita. 
 
Apabila penelitian kehakiman dibuang dan bidang kuasa mahkamah disekat, kebolehan badan kehakiman untuk mendaulatkan Perlembagaan dan memberi remedi kepada mereka yang haknya dilanggar akan disekat. Badan kehakiman tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan. 
 
Apabila undang-undang seperti PoTA dibentangkan di mahkamah, kerajaan sering  kali ditanya mengapa perlunya dikecualikan sepenuhnya semakan oleh mahkamah dan budi bicara mahkamah. Sehingga kini, kerajaan masih belum memberikan jawapan yang memuaskan terhadap persoalan ini.
 
Adakah ini kerana kerajaan khuatir bahawa mahkamah akan menjalankan tanggungjawab mereka untuk memastikan kerajaan tidak melebihi had kuasa mereka dalam melaksanakan undang-undang? Adakah ini suatu percubaan untuk menumpukan kuasa pada badan eksekutif, iaitu kerajaan? 
 
Kita tidak wajar membiarkan perkara ini berlaku. Ya, mungkin undang-undang itu telah diluluskan dan tidak lama lagi ia akan berkuat kuasa.

Tetapi ini tidak bermakna kita boleh berputus asa. Kita sebagai rakyat negara ini harus terus mendesak kerajaan supaya menghormati dan mendukung kedaulatan undang-undang dengan membenarkan badan kehakiman menjalankan tanggungjawab mereka di bawah Perlembagaan. 
 
* Penulis seorang peguam di Kuala Lumpur