HAKIM Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, pada 16 Ogos lalu telah menyampaikan ucapan semasa International Malaysian Law Conference (IMLC) mengenai ‘judicial activism’, atau ‘aktivisme’ dalam badan kehakiman.

Dalam ucapannya itu, hakim tersebut telah mendedahkan bahawa selepas keputusan menentang (dissenting judgment) yang beliau berikan dalam kes Pathmanathan Krishnan v. Indira Gandhi Mutho dan lain-lain (kes Indira Gandhi) di Mahkamah Rayuan, beliau telah diberi teguran oleh seorang ‘hakim yang berpangkat tinggi’ (top judge).

Menurut Dr Hamid Sultan, selepas penghakimannya disiarkan kepada umum, seorang hakim yang berpangkat tinggi telah memanggil seluruh korum yang bersidang dalam kes itu dan menegur beliau dengan keras. Hakim berpangkat tinggi itu mendakwa, antara lain bahawa Dr Hamid Sultan telah mengamalkan judicial activism.

Dr Hamid Sultan tidak berganjak daripada pendiriannya dan menjawab bahawa beliau tidak boleh ditakutkan untuk bertindak bertentangan dengan tanggungjawabnya sebagai seorang hakim. Namun demikian, insiden tersebut mengakibatkan kesan jangka panjang kepada hubungannya dengan hakim berpangkat tinggi tersebut, dan selepas itu Dr Hamid Sultan tidak lagi dipanelkan dalam kes-kes berkepentingan awam dan berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.     Pendedahan Dr Hamid Sultan itu mencadangkan bahawa sebelum ini terdapat tekanan dalaman yang wujud dalam badan kehakiman, supaya hakim-hakim mencapai keputusan yang dimahukan oleh sesetengah pihak dalam kes-kes berkepentingan awam dan berprofil tinggi.

Tekanan seperti ini akan menghalang seseorang hakim daripada menjalankan tanggungjawabnya dengan berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan berlandaskan undang-undang. Dengan tekanan seperti ini, keputusan-keputusan tidak dibuat melalui pertimbangan hakim setelah meneliti bukti-bukti dan nas undang-undang, tetapi dicapai atas sebab-sebab lain yang sepatutnya menjadi pertimbangan.

Kuasa di dalam sesebuah negara secara amnya terletak pada tiga badan berasingan. Jika kuasa termaktub pada suatu badan sahaja, badan itu memiliki semua kuasa untuk memerintah negara; menggubal undang-undang, menguatkuasakan undang-undang dan memutuskan maksud undang-undang tersebut apabila berlakunya pertikaian.

Maka sebab itu, kuasa dibahagikan kepada badan-badan yang diwujudkan di dalam sesebuah negara. Badan perundangan, seperti Parlimen, yang menggubal undang-undang. Badan eksekutif, seperti kerajaan yang melaksanakan undang-undang. Badan kehakiman pula yang mentafsir undang-undang.

Ketiga-tiga badan ini mempunyai fungsi dan tanggungjawab mereka sendiri. Kuasa mereka juga terhad dan mereka memainkan peranan sebagai semak dan imbang, atau dalam bahasa Inggeris, check and balance terhadap satu sama lain. Ini bermakna setiap institusi akan bertindak untuk menyemak atau mengawas institusi-institusi yang lain. Tidak ada satu pun yang mempunyai kuasa mutlak. Inilah yang dikenal sebagai konsep pemisahan kuasa di dalam sesebuah negara.

Perkara seperti yang didedahkan oleh Dr Hamid Sultan menggugat kebebasan badan kehakiman. Di dalam negara demokratik dan berdaulat seperti Malaysia, badan kehakiman memainkan peranan yang teramat penting dalam kerangka pemisahan kuasa di dalam negara.

Badan kehakiman juga adalah benteng di antara undang-undang yang menindas dan kuasa eksekutif yang melampau, dengan hak asasi individu.

Oleh itu, kita harus memastikan bahawa kebebasan badan kehakiman sentiasa didukung dan tidak diganggu-gugat oleh mana-mana pihak sekalipun, sama ada dari luar atau di dalam.

Dengan pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu, adalah diharapkan bahawa perkara seperti apa yang berlaku kepada Yang Arif Datuk Dr Hamid Sultan tidak berulang kembali dan dijadikan pengajaran buat semua.  

Adalah diharapkan bahawa akan dapat melihat sebuah badan kehakiman yang benar-benar bebas dan memainkan peranan yang dimandatkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur