BARU-BARU ini, timbul pendedahan bahawa kakitangan sesetengah hotel yang bertugas di barisan hadapan, seperti di bahagian khidmat pelanggan, telah dilarang memakai tudung.

Menurut jurucakap Persatuan Hotel Malaysia (MAH), larangan ini bukanlah bertujuan untuk mendiskriminasikan, tetapi adalah prosedur operasi piawai, atau SOP yang diguna pakai oleh rangkaian hotel antarabangsa.

Dikatakan bahawa larangan tidak bertudung ini adalah sebahagian daripada ‘pakaian seragam’ rangkaian hotel yang berkenaan.

 Walau apa jua yang dikatakan, diskriminasi tetap diskriminasi. Walaupun ia menjadi norma antarabangsa.

Pemakaian tudung secara amnya adalah menurut kehendak agama dan seseorang wanita memakai tudung bagi tujuan tersebut.

Sekiranya ada larangan terhadap sesuatu perkara, yang hanya diamalkan oleh penganut sesuatu agama, ia dikira diskriminasi agama. Sama juga sekiranya terdapat apa-apa larangan, halangan atau kekangan ke atas individu-individu yang disebabkan sesuatu ciri ras, kerakyatan, ideologi serta warna kulit, juga merupakan diskriminasi.

Persoalan seterusnya adalah, adakah larangan tersebut boleh diberi justifikasi? Adakah terdapat alasan munasabah mengapa terdapatnya larangan sedemikian?

Dari segi ini, tidak cukup untuk dikatakan bahawa larangan bertudung itu norma industri perhotelan. Tidak cukup untuk mengatakan bahawa ia adalah SOP. Perlu ada alasan munasabah yang boleh diterima untuk larangan tersebut.

Berkenaan dengan larangan bertudung, tidak ada sebab munasabah mengapa ada larangan itu. Pemakaian tudung langsung tidak akan menjejaskan prestasi atau keupayaan seseorang wanita untuk melaksanakan kerjanya.

Kita harus ingat, ada diskriminasi yang munasabah. Contohnya, jika mana-mana majikan memberi kuota bagi kaum yang dipinggirkan, seperti Orang Asli, ini juga merupakan diskriminasi tetapi ia punya justifikasi.

Perbezaan di antara diskriminasi adil dan diskriminasi tidak adil adalah penting untuk menentukan apa jenis diskriminasi yang patut ditangani.

Perlembagaan Persekutuan melarang diskriminasi terhadap warganegara atas dasar ras, keturunan, jantina dan tempat lahir, melalui Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

Namun demikian, peruntukan Perkara 8(2) tidak boleh diguna pakai dalam situasi di mana yang melakukan diskriminasi itu adalah pihak swasta, dan bukannya badan awam.

Ini yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, iaitu dalam kes-kes di antara individu atau syarikat, undang-undang Perlembagaan tidak terpakai.

Malangnya, Malaysia juga tidak mempunyai undang-undang khusus untuk menangani diskriminasi tidak adil. Tidak ada akta yang digubal Parlimen untuk menghalang diskriminasi di sektor swasta.

Oleh itu, mereka yang dilarang bertudung tidak mempunyai penyelesaian mengikut undang-undang. Ini sesuatu perkara yang wajar diambil perhatian oleh pihak Kerajaan.

Kerajaan wajar mempertimbangkan untuk menggubal undang-undang yang dapat menangani kes-kes diskriminasi di antara individu atau syarikat. Undang-undang ini sepatutnya lebih luas dan tidak terhad kepada pekerjaan sahaja, tetapi dalam aspek-aspek yang lain juga.

Tetapi undang-undang ini tidak patut fokus pada menghukum. Untuk menangani diskriminasi tidak adil, yang paling penting adalah membuatkan masyarakat faham. Bukan dengan menghukum sahaja.

Maka undang-undang anti-diskriminasi yang dicadangkan harus mempunyai mekanisme untuk menyiasat dan mendengar aduan tentang diskriminasi bagi mencapai suatu penyelesaian tanpa menghukum.

Tanpa undang-undang yang khusus, masalah diskriminasi tidak adil yang berleluasa di negara ini tidak akan ada kesudahannya.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur