MEDIA sosial telah mengecilkan dunia. Kini, perbincangan dan perbahasan boleh berlangsung merentasi benua dan zon masa. Jika sesuatu berlaku di pedalaman Amerika Syarikat, ia akan dibincangkan sejauh Asia Tenggara. Internet secara umumnya, dan media sosial secara khususnya telah membolehkan maklumat sampai kepada begitu ramai umat manusia.

Kumpulan insan yang tidak akan dapat berinteraksi sebelum ini, kini dihubungkan dengan sekelip mata. Dalam konteks negara Malaysia, media sosial telah mendekatkan lapisan-lapisan masyarakat yang ada.

Melalui media sosial, seorang yang tinggal di Johor Bahru boleh berhubung dengan seorang yang tinggal di Kota Kinabalu. Melalui media sosial, individu yang berada di strata kelas atasan, boleh berinteraksi dengan individu yang tinggal di kawasan luar bandar.

Semasa tercetusnya revolusi media sosial, ini telah menghasilkan pertukaran maklumat yang dinamik dan progresif. Buah fikiran dan maklumat ditularkan, dibincangkan dan dicabar. Di Malaysia, media sosial menjadi gelanggang pandangan alternatif, bertentangan dan di pinggiran. Pandangan-pandangan yang biasanya tidak akan mendapat peluang di saluran arus perdana.

Semasa tercetusnya revolusi media sosial, kita menikmati kebebasan yang kita kecapi dan kita menghargai pandangan yang berbeza.

Namun, semakin media sosial membesar dan menjadi berpengaruh, interaksi kita semakin regresif. Kini, media sosial sekadar menjadi ruang gema pandangan-pandangan yang selari dengan kita, atau menjadi laman bagi gerombolan-gerombolan yang memburu mereka yang berbeza pandangan.

Kini, apabila kita bersuara, kita hanya mahu sampaikan kepada mereka yang sudah pun bersetuju dengan kita. Kita hanya puas hati apabila kita diangkat dek mereka dengan retweet, shares dan likes. Kita mencari pengiktirafan kosong seperti ini. Kita tidak lagi mempedulikan apa yang dikatakan oleh orang lain.

Untuk pandangan yang bertentangan pula, kita mencari pendapat bertentangan bukan untuk berbual atau bertukar fikiran, tetapi untuk membungkam. Kita berburu dalam kumpulan, menghentam dan melabel mereka yang tidak sebulu dengan kita. Kadangkala, kita mengambil jalan menyerang peribadi lawan kita.

Media sosial tidak lagi mendekatkan kita. Media sosial telah mendalamkan jurang-jurang di antara kita. Pendirian kita sudah begitu mengeras sehinggakan kita tidak ada toleransi untuk pendapat yang lain.

Pendekatan ini tidak akan membantu, apatah lagi mereka yang memperjuangkan sesuatu perkara. Kita tidak boleh meyakinkan orang lain tentang hujah kita sekiranya kita mahu mendiamkan mereka dan kita anggap mereka bodoh atau di bawah kita, atau membuat serangan peribadi. Kita tidak boleh meyakinkan orang sekiranya kita tidak ambil inisiatif untuk memahami orang tersebut.

Kita harus cuba memahami satu sama lain. Kita harus pedulikan apa yang mereka cuba sampaikan. Kita harus mendengar dan jangan menolak pandangan mereka ke tepi sahaja.

Peduli tidak bermaksud kita kompromi pendirian kita. Peduli tidak bermaksud kita kena setuju dengan apa yang dikatakan. Tetapi peduli itu boleh membenarkan kita memahami di antara satu sama lain.

Barulah kita boleh melangkah ke hadapan dan menjadi suatu masyarakat yang majmuk, progresif dan demokratik.