AKHIR-akhir ini, kita banyak mendengar bantahan pelbagai pihak terhadap gabungan yang dikenali sebagai Comango.

Comango adalah singkatan daripada nama gabungan ini iaitu ‘Coalition Of Malaysian NGOs In The UPR Process’.

Ia adalah sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan atau NGO tempatan yang telah menghantar laporannya ke Majlis Hak Asasi Manusia (HRC), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi tujuan Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review) (UPR) di Geneva yang berlangsung untuk menyemak prestasi hak asasi manusia bagi negara-negara PBB, termasuk Malaysia.

Penulis tidak mahu menyentuh dengan panjang lebar matlamat Comango dalam rencana ini. Cukup untuk dikatakan bahawa walaupun penulis tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan Comango, penulis percaya bantahan terhadapnya terbit daripada salah faham asasi berkenaan dengan proses UPR itu sendiri.

Harus diingat, proses UPR tidak akan dapat mengubah undang-undang, perlembagaan dan kedaulatan negara sama sekali.

Apa yang penulis ingin ulas adalah mengenai ‘pengharaman’ Comango oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 8 Januari 2014. Menurut pengumuman tersebut, Comango adalah ‘pertubuhan haram’ kerana terdiri daripada beberapa pertubuhan tidak berdaftar.

Menurut Akta Pertubuhan, mana-mana pertubuhan dalam negara haruslah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. Kegagalan untuk berdaftar menjadi satu kesalahan.

Namun demikian, ‘pengharaman’ ini pada asasnya tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang kerana tidak mengikut peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan.

Pertama sekali, Comango bukanlah sebuah pertubuhan. Ia adalah  sebuah gabungan pertubuhan-pertubuhan.

Sekiranya terdapat pertubuhan-pertubuhan yang tidak berdaftar dalam gabungan tersebut, maka tindakan boleh diambil terhadap setiap pertubuhan itu sendiri, bukan dengan Comango itu sendiri. Ini tidak boleh dijadikan alasan untuk ‘mengharamkan’ gabungan tersebut.

Pada pemahaman penulis Comango itu sendiri tidak mempunyai anggota individu. Ia terdiri daripada NGO-NGO yang bergabung, maka keahliannya adalah NGO-NGO tersebut.

Menurut Seksyen 2 Akta, ‘pertubuhan’ mempunyai keahlian seramai 7 individu atau lebih, bukannya pertubuhan.

Kedua, jika Comango ditakrifkan sebagai pertubuhan sekalipun, Akta Pertubuhan tidak memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk ‘mengharamkan’ suatu pertubuhan atas kegagalannya mematuhi peruntukan.

Ya, memang ada dalam Seksyen 5 Akta Pertubuhan kuasa Menteri Dalam Negeri untuk mengisytiharkan sesebuah pertubuhan itu sebagai pertubuhan haram atas alasan pertubuhan tersebut mempunyai matlamat yang memprejudiskan keselamatan negara, ketenteraman awam atau moraliti.

Tetapi, kuasa menteri di bawah Seksyen 5 ini tidak boleh diguna pakai untuk mengharamkan pertubuhan yang tidak berdaftar, tanpa apa-apa elemen
yang disebutkan tadi.

KDN juga tidak menyatakan dalam pengumumannya bagaimana Comango memprejudiskan keselamatan negara, ketenteraman awam atau moraliti. Di samping itu, pengisytiharan di bawah Seksyen 5 hanya boleh dibuat menteri, bukan penjawat awam seperti apa yang dilakukan oleh KDN. Ia juga harus diwartakan.

Atas sebab-sebab ini, penulis merumuskan bahawa ‘pengharaman’ Comango tidak dilakukan di bawah Seksyen 5 Akta kerana tidak memenuhi syarat-syarat.

Persoalannya, apakah status pengumuman KDN? Penulis berpendapat bahawa ia tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.

Sekadar ‘pendapat’ sahaja, kerana KDN tidak punya kuasa untuk ‘mengharamkan’ Comango seperti ini. Jika ahli-ahli Comango didakwa sekalipun, pihak pendakwaan masih perlu membuktikan ia pertubuhan yang tidak berdaftar dan pengumuman KDN tidak dapat membuktikan apa-apa.

Oleh yang demikian, penulis berharap pihak KDN dapat mengkaji semula pengumumannya kerana memberi gambaran yang tidak tepat dan tidak mengikut nas-nas undang-undang, walau apa pun pendirian kita terhadap Comango.

*Penulis seorang peguam muda yang mengamal undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MEDIA sosial telah mengecilkan dunia. Kini, perbincangan dan perbahasan boleh berlangsung merentasi benua dan zon masa. Jika sesuatu berlaku di pedalaman Amerika Syarikat, ia akan dibincangkan sejauh Asia Tenggara. Internet secara umumnya, dan media sosial secara khususnya telah membolehkan maklumat sampai kepada begitu ramai umat manusia.
  • PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) akan tiba tidak lama lagi. Kita akan melalui pilihan raya yang mungkin paling penting dalam sejarah negara kita. Pada ketika ini, fokus kita terlalu tertumpu pada PRU14 sehinggakan kita tidak dapat melihat, melangkaui pilihan raya yang akan datang.
  • SEWAKTU timbul isu dobi ‘Mesra Muslim’, yang hanya membenarkan orang Islam menggunakan dobi tersebut, saya berada di Kota Kinabalu dengan beberapa sahabat rapat.
  • TRAGEDI yang menimpa 23 orang - murid dan guru sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat akibat kebakaran telah mengejutkan rakyat Malaysia.
  • AWAL tahun ini, Mahkamah Persekutuan telah memberi suatu keputusan penting dalam kes Semenyih Jaya Sdn Bhd lawan Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.