MINGGU lepas, saya dan beberapa sahabat pergi bercuti di sebuah destinasi di dalam negara. Percutian kami pendek, hanya bermalam semalam, tetapi bagi kami ia merupakan peluang untuk kami mengimbau kembali kenangan silam.

Kami tinggalkan kerja, isteri dan anak selama 24 jam dan meluangkan masa bersama seperti yang kami lakukan hampir tiap-tiap hari lebih dari 15 tahun dahulu.

Saya kenal mereka sejak di bangku sekolah lagi. Mereka sama kelas dengan saya sewaktu tingkatan 4 dan 5. Ada di antara mereka yang saya kenal lebih lama dari itu. Walaupun sudah 15 tahun kami melangkah meninggalkan zaman persekolahan, hubungan kami tetap akrab.

Walaupun dalam 15 tahun yang lepas kami meneroka kehidupan kami sendiri; menimba ilmu, mengejar karier, mendirikan rumah tangga dan menimang cahaya mata, kami tetap rapat seperti dahulu.

Ras, agama dan warna kulit kami mungkin berbeza, namun ikatan yang telah kami jalin mengatasi semua ini. Hakikatnya, kami bersaudara dan persaudaraan ini tidak mudah terlerai hanya kerana perbezaan yang ada.

Bukan kami tidak sedar tentang perbezaan tersebut. Cuma, kami meraikannya. Kepelbagaian kami adalah kekuatan kami. Ia membawa warna dan corak kepada hubungan kami.

Kepelbagaian ini bermakna kami boleh saling mengunjungi semasa musim perayaan, contohnya, atau menjadi jendela untuk kami menyingkap budaya lain dan akhirnya menerima dan memahami budaya tersebut.

Pemahaman dan penghayatan saya sendiri tentang kepelbagaian etnik dan budaya di Malaysia dipelajari daripada interaksi dan hubungan saya dengan mereka.

Melalui hubungan saya dengan sahabat-sahabat saya ini, saya faham dan sedar bahawa sebenarnya kita rakyat Malaysia mempunyai lebih banyak persamaan jika dibandingkan dengan perbezaan.

Kalau dikupas ras, agama, budaya, warna kulit, ideologi dan macam-macam lagi, kita sebenarnya mahukan perkara yang sama. Kita mahu hidup di dalam negara yang baik, bersama-sama dengan masyarakat dalam keadaan yang aman damai.

Majoriti rakyat di luar sana tidak mahu huru-hara dan persengketaan. Saya juga sedar bahawa ramai di luar sana, tidak kira bangsa atau agama, melihat Malaysia ini sebagai negara mereka sendiri. Tidak ada negara lain yang mereka anggap sebagai ibu pertiwi mereka kecuali negara ini.

Oleh sebab itu, apabila ada sesetengah pihak yang sering mempersoalkan kesetiaan bangsa lain atau sering menggesa bangsa lain untuk ‘balik’ ke ‘negara asal’ mereka, saya sedih dan marah.

Bagi saya, orang seperti ini tidak pernah benar-benar bersahabat dengan mereka yang berlainan bangsa. Mereka menganggap rakyat senegara sebagai seteru dan sentiasa melihat ‘yang lain’ dengan prasangka buruk.

Ada di antara kita yang hanya dapat melihat semua perkara melalui kanta mata ras. Semua isu dilihat dari aspek perkauman. Kenaikan harga barang, pilihan raya majlis kerajaan tempatan, pembinaan kondo mewah dan macam-macam isu lagi semua dilihat melalui sudut bangsa dan agama.

Persaingan kita sebenarnya dengan dunia luar. Bukan sesama kita. Negara membangun lain semakin mengatasi kedudukan kita. Kita seharusnya bersatu dan saling membantu, bukan saling berkelahi. Hanya dengan perpaduan kita dapat bersaing dengan dunia luar.

Saya bernasib baik kerana mengenali sekumpulan manusia yang saya anggap saudara walaupun tiada pertalian darah. Tatkala masyarakat kita menghadapi cabaran hubungan antara kaum yang cukup membimbangkan, sahabat-sahabat saya ini sentiasa mengingatkan saya tentang prinsip-prinsip sebenar negara ini dibina. Perpaduan dalam kepelbagaian.
Terima kasih, wahai saudaraku semua.


*Penulis ialah seorang peguam.