ANTARA perkara yang paling menyentuh hati ketika berlangsungnya Sukan Paralimpik di Rio, berlaku selepas kemenangan pingat emas atlit negara, Mohd Ridzuan Mohd Puzi dalam acara pecut 100 meter.

Seorang wartawan telah menemu ramah jurulatih Mohd Ridzuan, R. Jeganathan bersama-sama dengan Mohd Ridzuan sendiri. Apabila ditanya perasaannya dengan kemenangan anak didiknya, jurulatih kebangsaan tersebut menitis air mata, memeluk Mohd Ridzuan dan mengatakan bahawa Mohd Ridzuan adalah ‘anak’nya.

Peristiwa ini begitu menyentuh hati sehinggakan wartawan yang menemu ramah mereka juga menitiskan air mata.

“Ini adalah anak saya. Terima kasih. Terima kasih. Saya mungkin terlalu memberi tekanan atau memarahi kamu tetapi inilah hasilnya,” kata Jeganathan.

“Kini kamu faham sebab saya selalu marah ketika latihan.”

Baru-baru ini pula, saya ada membaca status Facebook seorang peguam berbangsa Melayu. Status tersebut adalah tribut kepada seorang peguam lain, yang juga merupakan bekas bosnya dan juga rakan kongsinya, yang berbangsa India, yang baru meninggal dunia.

Dalam status tersebut, peguam itu meluahkan perasaan sedihnya terhadap pemergian rakan kongsinya yang dia anggap seperti ayahnya sendiri, yang telah banyak mengajar dan berkongsi pengalaman dengannya. Rakan kongsinya itu juga telah menjadikan peguam tersebut seorang rakan kongsi dalam firma guaman mereka.

Walaupun saya sendiri tidak mengenali rakan kongsi peguam tersebut, saya tersentuh membaca status tersebut.

Kita sering mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, bangsa dan agama dan pada masa yang sama, hidup dengan harmoni.

Namun kita lihat, isu-isu perkauman semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini. Hubungan antara kaum juga bagaikan semakin meruncing beberapa tahun yang kebelakangan ini.

Pada masa yang sama, terdapat individu-individu yang sering menyemarakkan api perkauman demi kepentingan mereka sendiri. Setiap isu dilihat melalui lensa kaum, bangsa dan agama, walhal ia tidak punya kaitan sekalipun dengan kaum, bangsa mahupun agama.

Isu perkauman bukan sahaja menjadi halangan kepada perpaduan nasional kita, tetapi merupakan ancaman kepadanya. Sekiranya dibiarkan begitu sahaja, isu-isu ini akan mendatangkan lebih banyak masalah.

Sehingga kita mencapai perpaduan nasional yang benar-benar bermakna, kita sebagai negara merdeka tidak akan dapat mencapai potensi sebenar. Pembinaan negara-bangsa kita akan terbantut jika kita tidak mencapai perpaduan di antara kaum.

Perpaduan tidak bermakna kita harus menggugurkan identiti etnik, budaya dan bahasa kita. Perpaduan itu bukan homogeni, ia bermaksud kita menerima satu sama yang lain sebagai warganegara negara Malaysia.

Kisah Mohd Ridzuan dan R. Jeganathan adalah contoh terbaik apa yang dapat kita capai sekiranya bersatu padu dan bekerjasama melangkaui bangsa dan agama.

Seorang jurulatih berbangsa India melatih seorang atlit berbangsa Melayu sehinggakan atlit tersebut mencapai kemenangan terunggul di temasya sukan paling besar.

Untuk Jeganathan, Mohd Ridzuan seperti anaknya sendiri. Untuk peguam itu pula, rakan kongsinya seperti ayahnya sendiri.

Dua anekdot ini menunjukkan bahawa walaupun berlainan bangsa dan agama, apa yang menghubungkan kita sesama insan adalah kemanusiaan. Yang mengikat kita adalah kewarganegaraan kita bersama.

Rakyat Malaysia sebenarnya tidak ada masalah dan boleh hidup bersama di negara ini. Perpaduan nasional yang benar-benar bermakna bukanlah sesuatu yang mustahil dan boleh dicapai.

Jika sukan boleh menyatukan kita, mengapa tidak perkara-perkara lain?

Usaha ini perlu dijayakan oleh semua. Bukan sahaja pihak kerajaan, walaupun kerajaan memainkan peranan yang penting. Kita sendiri punya tanggungjawab dalam perkara ini.

‘Bersekutu bertambah mutu’ adalah moto jata negara kita. Tetapi untuk kita rakyat Malaysia, bukankah bersatu-padu itu juga akan menambah mutu negara kita sendiri?