KITA semua tahu mengenai  hasrat Pas, melalui Presidennya yang juga Ahli Parlimen Marang, untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali dengan Akta 355.

Menurut apa yang diusulkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Akta 355 mahu dipinda supaya mahkamah syariah mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman denda sehingga RM100,000, penjara 30 tahun dan 100 kali sebatan.

Banyak pihak telah melontarkan pandangan dan pendapat. Ada yang sokong, ada yang tidak. Tetapi yang penting, semua rakyat Malaysia harus dibenarkan untuk berbincang tentang isu ini dengan terbuka, dan mana-mana pihak tidak patut membuat dakwaan bahawa ia harus disokong atau tidak.

Pas  sendiri  sudah  mengumumkan bahawa ia akan menganjurkan suatu perhimpunan bagi menyatakan sokongan terhadap RUU 355 ini. Dilaporkan, Himpunan 355 ini akan diadakan pada 18 Februari ini. Dilaporkan juga Himpunan 355 ini akan diadakan di Dataran Merdeka (DM).

Pada masa yang sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur telah menyatakan bahawa Pas tidak dibenarkan untuk mengadakan himpunan tersebut di Dataran Merdeka. Pas dilaporkan mahu berjumpa dengan Datuk Bandar untuk membuat rayuan supaya dibenarkan tetapi buat masa ini keputusan itu kekal.

Pas sebenarnya patut tahu bahawa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sememangnya tidak akan membenarkan apa-apa aktiviti parti pembangkang atau anti-kerajaan di Dataran Merdeka. Sebelum ini, apabila Pas terlibat dengan perhimpunan Bersih sebelum Pas menjadi lebih mesra dengan Umno, Pas tentu tahu tentang pelbagai usaha yang dilakukan untuk menghalang peserta Bersih sebelum ini untuk berhimpun di Dataran Merdeka.

Menurut Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan (Dataran Merdeka) (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), yang dibuat melalui kuasa yang diberikan oleh Akta Kerajaan Tempatan, Datuk Bandar diberikan kuasa yang luas ke atas Dataran Merdeka. Menurut undang-undang kecil tersebut, tiada seorang pun yang boleh makan, minum, berbaring atau tidur, antara lain, di Dataran Merdeka tanpa kelulusan Datuk Bandar secara bertulis.

Undang-undang kecil ini juga memperuntukkan bahawa tiada sesiapa boleh menggunakan Dataran Merdeka bagi maksud mengadakan apa-apa perhimpunan di Dataran Merdeka tanpa permit daripada Datuk Bandar.

 Jadi jika dilihat melalui sudut undang-undang ini, maka Datuk Bandar sememangnya mempunyai  kuasa untuk menghalang Pas  daripada  berhimpun  di Dataran Merdeka.

Tetapi kita tidak boleh lupa bahawa hak untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata adalah hak yang termaktub buat semua, tidak kira kaum, agama dan pegangan politik. Hak ini dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, dan tidak boleh sewenangnya disekat oleh mana-mana pihak.

Atas dasar ini, Pas harus dibenarkan untuk mengadakan Himpunan 355 di Dataran Merdeka. Hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak membezakan apa yang diperjuangkan, asalkan hak itu diamalkan dengan aman dan tanpa senjata. Samalah juga, mana-mana pihak yang menentang RUU 355 ini juga wajar dibenarkan berhimpun untuk meluahkan pandangan mereka pada hari yang berlainan.

Tidak ada alasan yang munasabah mengapa suatu perhimpunan aman tanpa senjata, walaupun dianjurkan oleh sebuah parti yang bukan dalam kerajaan Persekutuan, untuk dihalang daripada menggunakan Dataran Merdeka untuk aktivitinya.

Sekiranya Pas masih tidak mendapat kebenaran, Pas mempunyai pilihan untuk mencabar keputusan tersebut di mahkamah.

Dataran Merdeka milik rakyat. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hanyalah ‘penjaga’ (custodian) bagi Dataran Merdeka. Pas, Bersih atau penyokong Barisan Nasional adalah rakyat Malaysia, walaupun berlainan ideologi. Mereka punya kepentingan yang sama dalam Dataran Merdeka. Tidak wajar ada diskriminasi dalam menentukan siapa yang boleh menggunakan Dataran Merdeka.