HARAPAN emas negara tidak kesampaian apabila pemain badminton China, Chen Long menewaskan Datuk Lee Chong Wei dalam perlawanan akhir badminton lelaki pada sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.

Lee Chong Wei telah mengalahkan seteru dan sahabatnya Lin Dan, bagi membalas dendam ke atas kekalahannya kepada pemain China tersebut empat tahun lalu di London. Dengan kemenangan tersebut, rakyat Malaysia berharap akan kilauan emas akhirnya bersinar buat Malaysia di Sukan Olimpik. Selepas pungutan pingat yang paling baik buat negara, memenangi pingat emas akan menjadikan kembara Olimpik negara berakhir dengan jayanya.

Namun, hajat kita tidak kesampaian. Walaupun Lee Chong Wei berhempas pulas memberi yang termampu, Chen Long terbukti pemain lebih baik pada hari itu.

Tetapi walaupun tidak merangkul emas, kejayaan skuad negara di Sukan Olimpik kali ini telah banyak mengubati begitu banyak garis-garis pemisahan dalam kalangan rakyat. Sukan sekali lagi telah membuktikan bahawa ia merupakan faktor yang boleh menyatupadukan rakyat.

Sokongan yang diberikan kepada para atlet kita yang berjuang di Sukan Olimpik tahun ini telah merentasi bangsa, agama dan politik. Setiap kali atlet kita bersaing, negara bergabung untuk memberi sorakan dan galakan kepada mereka.

Nama-nama Pandalela Rinong, Cheong Jun Hoong, Azizulhasi Awang, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Goh Wee Shern dan Tan Wee Kiong sudah terukir pada sejarah sukan negara kita yang masih muda.

Saya telah menulis pada 2012 tentang bagaimana perlawanan akhir Lee Chong Wei menentang Lin Dan pada Sukan Olimpik di London telah berjaya menyatukan kita, walaupun beliau tewas dalam perlawanan tersebut. Tahun ini, beliau dan atlet yang lain telah sekali lagi berjaya menyatukan kita.

Ke mana hala tuju kita selepas ini? Adakah kita akan kembali melihat satu sama lain melalui lensa bangsa dan agama, walaupun untuk suatu ketika kita hanya melihat atlet kita sebagai warga Malaysia? Bolehkah kita mengorak langkah positif pada perpaduan yang telah kita bina melalui sukan?

Ini mungkin sekali penglibatan terakhir Lee Chong Wei di Sukan Olimpik. Kita mungkin tidak akan menyaksikan anak Malaysia ini, yang telah begitu lama berbakti dan berjuang untuk negara bersaing di peringkat sukan tertinggi dunia iaitu sukan Olimpik. Berakhirlah suatu era gemilang.

Selepas upacara penganugerahan pingat, Lee Chong Wei telah ditemu ramah oleh seorang wartawan. Lee Chong Wei, dengan sedih, memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat membawa pulang pingat emas.

Beliau tidak perlu memohon maaf. Lee Chong Wei, dengan tiga pingat peraknya, adalah atlet Olimpik yang terunggul buat Malaysia. Beliau juga merupakan antara atlet terhebat yang pernah mewakili Malaysia di persada dunia.

Ada yang menuduh kononnya beliau dan atlet lain hanya berjuang demi wang. Biarlah mereka berkata apa, kerana majoriti rakyat Malaysia tidak menganggap sedemikian dan menghargai pengorbanan beliau.

Ya, beliau tidak mendapat emas pada akhirnya. Tetapi beliau bertanding dengan dayanya, sedaya upaya dan usahanya telah memenangi hati kita semua. Kita hargai titik peluhnya demi negara. Maka apabila kita saksikan kekecewaannya, hasrat kita adalah untuk mengatakan padanya bahawa kita berbangga dengan pencapaiannya. Apabila air matanya berlinang, maka air mata kita juga turut menitis.

Terima kasih Datuk Lee Chong Wei, atas semua yang anda telah lakukan buat ibu pertiwimu. Yang paling penting, terima kasih kerana merapatkan kita semua sebagai rakyat Malaysia.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur