DILAPORKAN baru-baru ini bahawa seorang aktivis yang telah dituduh dengan 11 pertuduhan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan tiga pertuduhan di bawah Akta Hasutan berkenaan dengan status Facebook yang disiarkan olehnya.

Juga dilaporkan bahawa mahkamah di mana aktivis itu dituduh tidak membenarkan aktivis tersebut diikat jamin. Ini bermakna, aktivis itu akan ditahan sehingga perbicaraan kesnya selesai di mahkamah.

Dalam hampir semua kes sebelum ini, sekiranya seseorang tertuduh itu didakwa di bawah Akta Hasutan atau Akta Komunikasi dan Multimedia, mahkamah akan membenarkan tertuduh diikat jamin dengan sekurang-kurangnya seorang penjamin. Oleh itu, penafian jamin terhadap aktivis tersebut adalah sesuatu yang memeranjatkan.

Melepaskan seseorang tertuduh dengan ikat jamin bukanlah sesuatu yang wajar diambil ringan. Kita harus ingat bahawa sekiranya tertuduh itu tidak dilepaskan dengan ikat jamin dan ditahan sehingga kes selesai, tertuduh akan dinafikan kebebasan diri.

Kebebasan bergerak juga disekat. Tertuduh bagai dihukum walaupun pertuduhan terhadapnya belum dibuktikan lagi dan dia tidak disabitkan dengan apa-apa kesalahan lagi.

Sistem keadilan jenayah kita berpaksikan prinsip ulung bahawa seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bahawa orang itu bersalah, atau dalam bahasa Inggeris, ‘innocent until proven guilty’.

Sekiranya seseorang itu dituduh dengan kesalahan yang boleh dijamin, orang itu berhak dilepaskan dengan ikat jamin. Manakala bagi kes-kes yang tidak boleh diikat jamin, mahkamah punya budi bicara sama ada untuk melepaskan orang itu dengan ikat jamin atau tidak.

Mahkamah harus berpuas hati bahawa tertuduh itu tidak wajar dilepaskan dengan ikat jamin. Antara perkara yang diambil kira termasuklah sama ada terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa tertuduh adalah bersalah, sifat dan keberatan kesalahan tersebut, betapa berat hukuman yang bakal dikenakan sekiranya bersalah dan juga risiko bahawa tertuduh akan melarikan diri sekiranya tidak ditahan.

Faktor-faktor lain termasuklah perwatakan tertuduh, risiko bahawa kesalahan tersebut akan diteruskan atau diulangi, sama ada terdapat risiko bahawa tertuduh akan mengganggu saksi-saksi, peluang tertuduh membuat persiapan untuk pembelaannya, kemungkinan penahanan akan berpanjangan dan lain-lain faktor.

Budi bicara mahkamah ini diamalkan selepas mempertimbangkan kesemua faktor secara menyeluruh.

Dilaporkan bahawa antara faktor mengapa aktivis tersebut tidak dilepaskan adalah kerana sebelum ini, terdapat orang lain yang juga dituduh dengan kesalahan yang hampir sama dan orang tersebut telah melarikan diri ke luar negara.

Sekiranya benar, ini tidak wajar dipertimbangkan langsung dalam kes aktivis tersebut. Kes-kes lain, yang tiada kena-mengena langsung dengan kes aktivis tersebut tidak relevan dalam menentukan, sama ada aktivis tersebut wajar dilepaskan. Semua faktor yang perlu dipertimbangkan adalah faktor-faktor berkenaan kes aktivis itu sahaja.

Apa yang perlu ditunjukkan adalah, contohnya, aktivis itu sendiri mempunyai kemungkinan akan melarikan diri dan tidak hadir ke mahkamah. Barulah ia boleh dipertimbangkan oleh mahkamah.

Peguam-peguam yang mewakili aktivis tersebut dikatakan telah memohon di mahkamah tinggi untuk menyemak semula keputusan mahkamah dalam tidak membenarkan jamin. Dilaporkan juga bahawa aktivis tersebut kini telah dilepaskan dengan jaminan oleh mahkamah buat sementara waktu, sambil permohonan untuk menyemak semula keputusan itu didengar dan diputuskan.

Ini adalah suatu perkembangan yang positif. Tidak ada sebab mengapa aktivis tersebut harus ditahan sambil menunggu apa yang terjadi di mahkamah tinggi. Sambil itu, diharapkan bahawa para peguam aktivis tersebut dapat meyakinkan hakim mahkamah tinggi bahawa keputusan yang betul dalam kes tersebut adalah untuk membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin.


* Penulis seorang peguam di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur