AKHIR-AKHIR ini, kita banyak membaca liputan tentang apa yang dikatakan sebagai ‘berita palsu’.

Kerajaan telah menyuarakan hasrat untuk memperkenalkan undang-undang baharu yang akan menangani ‘berita palsu’.

Dilaporkan bahawa suatu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk mengkaji undang-undang baharu bagi ‘membendung berita palsu yang kononnya boleh ‘mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.’

Kerajaan juga akan cuba membentangkan rang undang-undang anti-berita palsu ini pada sidang Parlimen yang akan datang.

Terma ‘berita palsu’ atau fake news mula-mula digunakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Beliau mentakrifkan berita-berita yang tidak berpihak kepadanya sebagai ‘berita palsu’, dan ungkapan itu melekat dan kini sering digunakan.

Penggunaan media sosial yang semakin meluas dan peningkatan penetrasi internet di seluruh negara telah membolehkan maklumat disebarkan dengan begitu pantas.

Oleh kerana begitu mudah untuk kita menerima dan menularkan maklumat, ada di antara kita yang tidak berhati-hati dan memeriksa kebenaran atau ketepatan maklumat yang diterima dan disebarkan.

Tidak dinafikan bahawa media sosial telah membolehkan maklumat yang salah atau tidak tepat disebarkan dengan begitu mudah.

Persoalannya adalah, adakah benar kita perlu undang-undang baru? Jawapannya tidak. Kita sebenarnya sudah pun mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk digunakan ke atas ‘berita palsu’. Kita tidak perlu undang-undang baru untuk diperkenalkan.

Bagi media cetak, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan ada memperuntukkan kesalahan menyiarkan ‘berita tidak benar’.

Menurut Seksyen 8A akta tersebut, jika terdapatnya penerbitan yang dengan niat jahat menerbitkan apa-apa berita tidak benar, maka mereka yang terlibat dengan penerbitan tersebut boleh dikenakan tindakan dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi portal berita atas talian pula, Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia menjadikan ia satu kesalahan untuk memuat naik sesuatu bentuk komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain dan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Penularan ‘berita palsu’ melalui media sosial juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233(1)(a) tersebut, kerana ia bukan terhad kepada portal berita atas talian sahaja.

Oleh itu, adalah jelas bahawa undang-undang yang sedia ada sememangnya mencukupi untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang menerbitkan atau menyebarkan ‘berita palsu’.

Apa yang dikhuatiri adalah bahawa undang-undang yang dicadangkan ini akan dijadikan alasan untuk mengambil tindakan ke atas suara-suara yang menentang kerajaan, dan bukannya untuk menangani berita palsu.

Kritikan ke atas undang-undang yang mengekang kebebasan bersuara sebelum ini mungkin akan berulang dengan undang-undang yang dicadangkan.

Apatah lagi sekiranya ‘berita palsu’ itu tidak diberi takrifan yang khusus dan boleh disalahgunakan bagi tujuan selain daripada apa yang diuar-uarkan.

Kita harus sentiasa peka dan berwaspada dengan apa-apa undang-undang baharu yang ingin diperkenalkan. Lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan kekangan ke atas kebebasan asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Adalah diharapkan bahawa kerajaan menyemak semula keperluan untuk memperkenalkan suatu rang undang-undang anti berita palsu. Undang-undang bukanlah jalan penyelesaian untuk semua permasalahan kita.

Cara yang terbaik untuk menangani berita palsu adalah dengan mendidik orang ramai untuk menggunakan media sosial dengan lebih berhemah, bukannya dengan menghukum.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur