RAMAI yang menjangkakan bahawa Barisan Nasional akan sekali lagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu, seperti mereka telah lakukan berkali-kali sebelum ini. Ramai yang fikir bahawa walaupun Pakatan Harapan akan berjaya tembus beberapa kawasan BN, mereka tetap tidak akan berjaya mendapat kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Apatah lagi dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak bertindak mengikut kepentingan rakyat.

Sebelum pembubaran Parlimen lagi, parti-parti pembangkang telah terkesan dengan persempadanan semula yang dibuat oleh SPR. Persempadanan semula telah dilaksanakan untuk memberi kelebihan kepada kerajaan pada ketika itu, dan tidak ada penjelasan diberikan oleh SPR mengapa ia dilaksanakan seperti itu.

Permohonan semakan semula yang telah difailkan oleh pelbagai pihak di seluruh negara telah dibantah oleh Kamar Peguam Negara, dan malangnya bantahan ini telah diterima oleh mahkamah. Ini bermaksud, cadangan SPR tidak boleh dicabar, dan rakyat tidak mempunyai remedi.

Kemudian pula, SPR mempunyai keputusan tidak masuk akal untuk menetapkan hari mengundi di tengah-tengah minggu. Sehingga kini, SPR langsung tidak memberi penjelasan mengapa hari Rabu telah dipilih. Tetapi rakyat Malaysia membantu satu sama lain untuk mengatasi cabaran hari mengundi dengan inisiatif-inisiatif seperti #UndiRabu dan #PulangMengundi.

Tetapi itu bukan penghujungnya. SPR mengeluarkan pula ‘syarat-syarat tambahan’ untuk bahan-bahan kempen, untuk memastikan bahawa gabungan Pakatan Harapan tidak boleh mempamerkan gambar-gambar Pengerusinya, Tun Mahathir Muhamad. Gambar Tun Mahathir dipotong atau di’hitamkan’, berbanding gambar Datuk Seri Najib yang memenuhi setiap pelosok negara.

Tidak cukup lagi, berlaku pula kegagalan SPR mengenai kertas undi pos. Warganegara Malaysia di seluruh negara menerima kertas undi mereka lambat dan tidak dapat menghantarnya pulang pada tarikh yang ditetapkan. Walaupun demikian, orang Malaysia sekali lagi bantu membantu untuk mengatasi kegagalan ini dengan mengumpulkan kertas-kertas undi dan menghantarnya pulang dengan sendiri.

Pengerusi SPR, setelah selesainya PRU14, telah mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa terdapatnya manipulasi ke atas proses pengundian. Beliau dilaporkan telah menggunakan kemenangan Pakatan Harapan sebagai ‘bukti’ bahawa tidak ada manipulasi oleh SPR.

Tetapi realitinya adalah, Pakatan Harapan menang walaupun dengan halangan yang diletakkan oleh SPR.

Adalah menjadi tanggungjawab SPR untuk memastikan bahawa kawasan pilihan raya adalah lebih kurang sama, tetapi mereka telah bahagikan sesetengah kawasan dengan tidak sekata, bertentangan dengan kehendak Perlembagaan.

Adalah menjadi tanggungjawab SPR untuk memastikan peratusan keluar mengundi pada tahap yang tinggi, tetapi mereka tetapkan hari mengundi pada hari Rabu.

Adalah menjadi tanggungjawab SPR untuk memastikan semua pengundi dapat mengundi, tetapi mereka kendalikan undi pos dengan begitu teruk sehinggakan ramai yang tidak dapat mengundi.

Maka adalah jelas bahawa anggota-anggota SPR telah gagal menjalankan tanggungjawab mereka terhadap rakyat. Mereka tidak boleh dibenarkan untuk terus memegang jawatan mereka. Mereka harus letak jawatan, atau dibuang mengikut peruntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Suatu perubahan menyeluruh harus dilakukan ke atas SPR untuk memastikan bahawa perkara-perkara yang berlaku pada PRU14 tidak berulang kembali.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur