TIDAK lama lagi, kita akan menyaksikan dua pilihan raya kecil yang akan berlangsung di kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar. 

Oleh itu, penulis ingin mengambil peluang ini untuk menulis tentang Parlimen dan ahli-ahlinya. 

Secara amnya, Parlimen mempunyai fungsi untuk menggubal dan meminda undang-undang, mengawal penggunaan wang negara, memantau bagaimana Kerajaan Persekutuan mentadbir negara dan membincangkan isu-isu yang dihadapi rakyat.

Parlimen terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan dua Dewan yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat. 

Dewan Rakyat mempunyai 222 ahli yang dipilih oleh pengundi Malaysia. Mereka dikenali sebagai ‘ahli parlimen’. 

Dewan Negara terdiri daripada 70 ahli yang dikenali sebagai ‘senator’. 

Sidang Parlimen adalah mesyuarat dalam kalangan ahli parlimen di Dewan Rakyat atau senator di Dewan Negara. 

Selepas setiap pilihan raya umum, YDPA akan memanggil persidangan Parlimen. YDPA haruslah mengikut nasihat perdana menteri atau Kabinet untuk berbuat demikian.

YDPA juga menangguhkan sidang Parlimen tetapi harus bertindak atas nasihat perdana menteri atau Kabinet. 

Akan tetapi, apabila perdana menteri atau Kabinet memohon untuk bubarkan Parlimen, YDPA boleh menolak untuk berbuat demikian. 

Parlimen harus bersidang dalam masa 120 hari dari tarikh pilihan raya umum yang terakhir. 

Parlimen bersidang mengikut penggal. Namun begitu, Parlimen tidak boleh membiarkan jarak 6 bulan di antara penggal-penggal. 

Parlimen terbubar secara automatik lima tahun selepas sidang pertamanya setelah pilihan raya umum. Parlimen boleh dibubarkan lebih awal dari lima tahun dengan kebenaran YDPA. Apabila Parlimen dibubarkan, pilihan raya umum harus dijalankan dalam masa 60 hari.

Rakyat Malaysia yang tinggal di Malaysia, berumur sekurang-kurangnya 21 tahun boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya untuk menjadi seorang ahli parlimen. 

Manakala seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Malaysia yang berumur sekurang-kurangnya 30 tahun boleh menjadi senator. 

Senator dilantik untuk penggal tiga tahun dan setiap senator hanya boleh berkhidmat untuk dua penggal. 

Setelah menjadi ahli parlimen atau senator, seseorang itu boleh hilang kelayakan menjadi ahli parlimen atau senator sekiranya beliau tidak sempurna akal, menjadi seorang bankrap, memegang jawatan berpendapatan, membelanjakan wang lebih daripada apa yang dibenarkan bagi kempen pilihan rayanya, didapati bersalah bagi jenayah dan hukumannya adalah satu tahun penjara atau lebih, atau denda RM2,000 atau lebih atau menjadi warganegara negara lain. 

Di samping itu seseorang ahli parlimen atau senator juga boleh meletakkan jawatannya. 

Sekiranya seseorang itu meletakkan jawatan ahli parlimen atau senator atau hilang kelayakan, maka beliau tidak boleh menjadi ahli parlimen atau senator selama lima tahun selepas itu. 

Kekosongan berlaku apabila seorang ahli parlimen atau senator meninggal dunia, meletakkan jawatan atau hilang kelayakan, seperti apa yang berlaku di kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar. 

Kekosongan ini harus diisi dalam masa 60 hari. Ini bermakna seorang ahli parlimen baharu mesti dipilih melalui pilihan raya kecil dalam masa 60 hari atau senator baharu dilantik dalam masa 60 hari. 

Namun demikian, sekiranya kekosongan bagi ahli parlimen itu berlaku dalam dua tahun sebelum terbubarnya Parlimen secara sendirinya, kekosongan itu tidak perlu diisi. 

Ahli parlimen dan senator bersumpah untuk menjalankan kewajipan mereka dengan jujur dan dengan segala upaya, bahawa mereka akan taat dan setia yang sebenar kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Parlimen mempunyai fungsi yang amat penting di dalam negara. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia harus memahami peranan ahli parlimen dan senator di dalam negara.

 

* Penulis seorang peguam di sebuah firma gu aman di Kuala Lumpur