• SRI DIAH SRI DIAH
1 /

Ulama pondok memberi sumbangan besar dalam membentuk pandangan alam (worldview) Melayu Nusantara yang bertepatan dengan Islam sebenar. Melalui kitab dan buku yang mereka hasilkan, ajaran agama Islam disebarkan dan berakar kukuh di rantau ini.

Kedatangan penjajah Barat ke Asia Tenggara tidak dapat mengubah pandangan alam itu, malah terus dimanfaatkan oleh para intelek dan pengkaji hari ini, terutama dalam menjawab cabaran dan serangan pelbagai aliran seperti liberalisme, pluralisme dan ajaran sesat.

Antara mereka yang berperanan penting dalam proses Islamisasi dan pengislaman pandangan alam bangsa Melayu Nusantara ialah ulama dari Patani. Tokoh-tokoh agama ini menghasilkan kitab dan buku bahasa Melayu-Jawi secara berterusan, dan dalam jumlah yang banyak.

Mereka juga menterjemah kitab Bahasa Arab ke Bahasa Melayu atas kepentingan dan keperluan pendidikan bagi masyarakat tempatan agar lebih mudah memahami ajaran Islam.

Tiga bidang ilmu yang penting ialah tauhid atau usuluddin, fiqah atau syariah, dan tasauf. Terdapat juga penghasilan dalam bidang tafsiran al-Quran, hadis, tajwid dan sejarah Islam, tetapi tidak berapa banyak.

Banyak pondok di Malaysia, sejak peringkat awal sehingga negara kita mencapai kemerdekaan, diasaskan oleh ulama dan tok guru yang berasal dari Patani. Ramai juga yang menjadi mufti, qadhi dan pembesar agama di peringkat negeri, termasuk Kedah, negeri kelahiran saya.

Ustaz Haji Wan Ismail bin Mustafa al-Patani atau dikenali dengan nama Cik Dui Kedah adalah ulama dan tokoh agama yang disegani. Sheikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq (1874-1935) adalah Sheikhtul Islam kedah.

Sheikh Wan Ibrahim bin Abdul Qadir al-Patani atau dikenali juga dengan gelaran Pakcu Him Kedah telah menubuhkan sebuah pondok terkenal, sehingga mempunyai pelajar dari seluruh Semenanjung dan dari Sumatra pada zamannya.

Seorang lagi pengasas pondok di Sik, Kedah ialah Ustaz Haji Yakqub al-Patani, iaitu datuk kepada Allahyarham Tan Sri Abdul Hamid Othman, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pengasas pondok Sungai Dua, Seberang Perai ialah Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Patani (atau Tuan Minal), seorang ulama besar yang telah menghasilkan beberapa kitab dengan sahabatnya, Sheikh Abdus-Samad Kelumbung al-Patani.

Selain beliau, seorang lagi tok guru yang mengasas pondok di Seberang Perai iaitu di Sungai Lalang ialah Sheikh Ahmad Al-Patani. Di Perak, mufti pertamanya ialah seorang ulama besar berketurunan Patani-Kelantan bernama Ustaz Wan Muhammad.

Malah, ramai pemimpin di Perak adalah keturunan Patani termasuk beberapa Menteri Besar dan Tan Sri Rafidah Aziz. Di Pantai Timur, peranan dan sumbangan ulama Patani sangat besar.

Hubungan antara Patani dan Kelantan bukan sahaja rapat dari segi geografi, malah wujud pertalian darah dan kekeluargaan. Antara ulama tersohor ialah Sheikh Wan Ali Kutan al-Kalantani (1820-1913), Sheikh Abdus-Samad (Tuan Tabal) dan Ustaz Nik Mahmud bin Ismail (Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan).

Datuk nenek ulama terkenal Tok Kenali berasal dari Cahaya (atau Chaiya) di utara Patani. Ulama-ulama terkenal Terengganu seperti Sheikh Abdul Qadir bin Abdur-Rahim al-Patani (atau Tok Bukit Bayas), Sheikh Wan Hasan bin Wan Ishak al-Patani dan Sheikh Muhammad Amin (atau Tok Duyung), semuanya berasal dari Patani.

Di Pahang, ada dua ulama Patani yang sangat menonjol pada zaman mereka iaitu Sheikh Utsman (Mufti Pahang pertama, meninggal 1918), yakni guru kepada pahlawan Mat Kilau, dan Ustaz Haji Abdul Mubin al-Patani (1885-1948), yang menjadi guru kepada Al-Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin dan Sultan Abdullah Muzaffar Shah.

Ulama Patani paling berpengaruh di Negeri Sembilan ialah Tuan Guru Haji Muhammad Sa’id (1875-1926). Beliaulah yang membaca doa sewaktu pengisytiharan kemerdekaan dan pelantikan Yang di-Pertuan Agong pertama.

Anaknya, Sheikh Haji Ahmad dan cucunya, Sheikh Haji Murtadha, menjadi Mufti Negeri. Bekas mufti dan Hakim Besar Johor, Sheikh Haji Abdullah bin Musa, berketurunan Patani-Kelantan; begitu juga Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur-Rahman al-Patani (1876-1956), yang menjadi Sheikhtul Islam Selangor sewaktu pemerintahan Sultan Sulaiman.