PEPATAH Melayu ada menyebut, ‘tak kenal maka tak cinta.’ Ungkapan ini, antara lain membawa maksud, jika kita tidak kenal dengan seseorang, bagaimana mungkin kita dapat menyintainya? Ia juga membawa makna, andainya kita tidak meluangkan masa untuk mengetahui sesuatu perkara, bagaimana kita boleh menyukainya?

Pepatah ini punyai konotasi yang positif. Seseorang mahupun perkara yang tidak digemari itu besar kemungkinannya akan disukai akhirnya apabila kita memperdalami seluruh sisi dan aspek individu atau sesuatu perkara itu secara holistik.

Inilah pandangan yang kita biasa pegang secara umum. Pendek kata, tidak ada perkara yang kita akan kekal benci seandainya kita cuba mendekati dan memahaminya.

Baguslah jika kita dapat menyukai sesuatu dengan cara apresiasi. Namun, daripada sudut pandangan yang kontradik, apakah kita sedar, ada banyak perkara yang kita cintai meskipun kita belum mengenalinya?

Jika mengenali sesuatu untuk memutikkan rasa cinta itu adalah jalan yang baik, menyukai sesuatu tanpa kita mengenali secara mendalam adalah tindakan yang tidak adil kepada diri sendiri!

Pada hari ini, banyak sekali perkara yang kita cintai meskipun kita belum mengenalinya. Inilah yang menimbulkan masalah kepada ramai di kalangan kita. Ada yang kesal kerana tertipu kerana keindahan mahupun kebagusan sesuatu yang hanya dipandang daripada luar lagi jauh.

Suka kepada sesuatu skim duit buat duit, beli rumah murah gila, pergi umrah pakej bajet diskaun luar biasa, ubat dan mekap yang menjadikan kulit flawless di laman sosial, mengakibatkan ramai di kalangan kita sanggup berhabis wang ringgit untuk melangganinya.

Kita mengheret rakan taulan dan sanak saudara untuk ikut serta dalam skim yang diuar-uarkan. Kita promosikan segala barangan ini dengan penuh kepercayaan bahawa inilah perkhidmatan mahupun produk paling top.

Apabila wang habis dan janji tinggal janji, barangan dan perkhidmatan itu indah khabar dari rupa, si penaja menghilangkan diri dan laman yang dikunjungi sudah tutup, baharulah kesal datang bersarang. Mana nak letak muka.

Menyukai kepada personaliti sama ada pemimpin, ustaz mahupun selebriti misalnya,  semata-mata kerana wajahnya sering muncul di media tanpa usul periksa bakal mengundang padah dan kekesalan.

Si pemimpin memang pakar dalam menaikkan semangat dengan ucapan retoriknya. Dia boleh menjanjikan bulan, bintang, matahari, malah planet. Tanpa kita mengenali saudagar mimpi ini secara mendalam lalu mempercayainya, mulut kita mungkin ternganga apabila suatu hari, kita terpandang dia dikenakan baju oren untuk ke mahkamah.

Ustaz juga tidak semestinya guru asalkan dia berjubah, berjanggut dan berkopiah. Apabila kita menyukainya semata-mata kerana jumlah likes di Facebooknya mahupun ratusan ribu views videonya di Youtube, kita tertipu apabila lebih menyukai dirinya daripada apa yang dibicarakannya.

Ramai yang taksub dan fanatik kepada sesetengah ustaz hingga kita benarkan apa yang dia benarkan, tetapi menyalahkan apa yang dia katakan salah. Walhal dahulu, dia juga yang kata ‘benar’ mengenai sesuatu… tetapi pada hari ini dia kata ‘tak benar’ pula. Pendek kata, kita hanya sami’na wa’ata’na dengan segala kata-katanya.

Menjadi peminat setia kepada seseorang selebriti itu sudah menjadi suatu budaya di dalam masyarakat. Tanpa usul periksa, kita menyukai seseorang selebriti kerana ramai orang lain suka. Oleh kerana dah jadi peminat, ramai di antara kita menjadi pembelanya tanpa elaun.

Apa yang dilakukannya, meskipun melanggar sopan dan budaya, kita sukai.

Pandangan-pandangan negatif peminat lain dianggap sebagai pandangan haters yang harus diperangi habis-habisan. Malah, bila dia mati pun kita jadi pengikut yang sanggup meraung dan meratap akan pemergiannya.

Kalaupun dia mati dengan bunuh diri, kita masih menyanjunginya meskipun ia melanggar fitrah insan yang siuman.

Sememangnya payah jika kita dah menyintai sebelum kita mengenali. Sikap demikian menyukarkan kita mengubah pendirian seandainya sesuatu atau seseorang yang dicintai itu sebenarnya tidak baik buat kita.

Tanpa kita sedari, kita terperangkap dengan pendirian kita sendiri. Barangkali malu untuk memperbetul kesilapan pendirian, kita terus berpegang kepada sesuatu yang tidak elok.

Jika tak kenal maka tak cinta itu sesuatu yang perlu dialami untuk mendapatkan kebagusannya, kita juga perlu bersikap, sudah kenal tak jadi nak cinta.

Pendek kata, kita perlu berani berubah pendirian untuk menyukai mahupun membencikan sesuatu untuk kebaikan diri kerana apa yang kita buat itu akan dipersoal nanti.