UNGKAPAN ‘jauh perjalanan banyak pengalaman’ dan ‘bagai melukut di tepi gantang’ maknanya amat menarik jika direnungkan. Namun, jika direnung susun atur letak perkataan dalam pembentukan ungkapan tersebut akan bertambah menarik lagi maknanya.  

Dalam konteks ‘jauh perjalanan banyak pengalaman’ menggambarkan satu perjalanan yang mungkin jarak mengikut kiraan kilometernya banyak serta mengambil masa yang panjang.

Natijah daripada perjalanan yang jauh dan mengambil masa yang lama begitu sudah pasti melalui banyak perkara yang membentuk banyak pengalaman.  

Begitu juga rangkaian perkataan ‘bagai melukut di tepi gantang’ telah mengambil kira satu unit melukut iaitu kedudukan ketulan patahan biji beras yang terlalu kecil berada di tepi dalam satu gantang menampakkan betapa tingginya keinginan melukut berada di situ, namun keberadaannya tidak memberi kesan apa-apa kepada sukatan gantang tersebut.

Dalam ruangan ini, penulis cuba mengaitkan kedua-dua peribahasa ini dengan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu di tanah air ini.  

Perjalanan sejak merdeka hingga sekarang adalah perjalanan yang agak jauh kerana mengambil masa lebih setengah abad. Jauhnya perjalanan begini sudah pasti pelbagai perancangan bahasa telah dialami oleh bahasa tercinta kita ini termasuklah pengalaman dalam perkembangan ilmu untuk kemajuan warganegara kita.  

Pengalaman begini juga telah dialami oleh bahasa di negara Jepun, Korea, Jerman dan sebagainya sehingga kemajuan negaranya dinikmati bersama-sama dengan kemajuan bahasanya.

Setiap penerokaan ilmu disertakan dengan bahasanya sendiri sehingga seolah-olah bahasanya yang menjadikan negaranya maju. Alangkah baiknya jika gambaran begini berlaku pada bahasa kebangsaan kita.

Setiap detik perkembangan kemajuan ilmu di negara kita, bahasa Melayu diutamakan oleh pengembang ilmu negara kita. Ilmu daripada negara lain dicedok dan disalin serta dibawa pulang ke negara kita menggunakan bahasa kebangsaan yang kita cintai.

Bahasa ini sesuatu yang hidup dan memerlukan elemen-elemen untuk kesuburan hidupnya supaya segar-bugar dan sentiasa berada dalam keceriaan.  

Dalam hal ini, ruang dan peluang sentiasa diperlukan. Jika ruang dan peluang kepada bahasa Melayu tidak diberi dalam perkembangan ilmu, sudah pasti bahasa Melayu berada dalam keadaan ‘tidak segar’. Kekusaman wajah bahasa Melayu semakin lama semakin bertambah dan kita amat bimbang jika idah masa dipanjangkan dalam keadaan begini, bahasa Melayu akan berwajah suram dan akan karam dalam ‘wajah yang menyerabutkan’ di tanah airnya sendiri.

Pakar dalam pelbagai bidang ilmu sewajarnya iktibarkan kedua-dua peribahasa ini untuk menanamkan simpati terhadap bahasa kebangsaan kita. Curahkan sedikit pengorbanan untuk bahasa kita supaya mampu memperkatakan tentang ilmu yang dimiliki itu sebagaimana para ilmuwan di negara Jepun, Korea dan Jerman itu.  

Apabila bahasa kita mampu memperkatakan tentang ilmu yang tuan-tuan miliki itu, sudah pasti bahasa kita menjadi bahasa yang hidup dan bangsa kita juga mempunyai identiti yang tinggi.  

Selain itu, kemujaraban terhadap ilmu yang diperkatakan oleh bahasa kita sendiri lebih berkesan daripada bahasa pinjaman. Sebagai pencinta bahasa, kita ingin merakamkan terima kasih yang tidak terhingga kepada mana-mana ilmuwan yang telah mencuba menjadikan bahasa kebangsaan sebagai landasan pengaplikasian ilmunya. Mudah-mudahan pengorbanan begini menjadi pencetus kepada ilmuwan muda pada masa akan datang.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka