BANYAK pihak sudah meneka bilakah PRU-14 akan diadakan. Pengulas dan penganalisis politik serta ramai kolumnis media telah cuba meramal tarikh itu. PM pun juga ditanya. Beliau sekadar menjawab, ‘belum dapat ilham.’ Walau bagaimana pun, SPR sudah pun memulakan taklimat persediaan kepada para petugasnya. Pilihanraya dah dekat.

Sekretariat parti-parti politik pula memperhebatkan aktiviti prasarana dan jaringan komunikasi serta prosedur operasi standard masing-masing.

Program memusatkan hala fikiran jentera parti melalui majlis-majlis ceramah, kuliah, perasmian malah retreat diperhebat.

Para pengundi pula dijenguk melalui laman sosial, telefon malah secara bersemuka. Survei dan dapatan kajian ini akan diulang kembali selagi PRU belum berlangsung. Segala maklumbalas ini akan didatakan guna mengimbas trend pemikiran pengundi.

Gendang PRU sudah dipalu. Parti-parti politik sudah membuka bunga-bunga langkah. Pencaknya sahaja yang belum dipersembahkan. Masing-masing menanti nafiri ditiup PM menandakan gelanggang akan dibuka. Sebaik sahaja tarikh PRU diumum, suasana akan jadi gegak gempita.

Mereka yang disenaraipendek, yang menawarkan diri, yang dirisik,  malah yang dipakaikan persalinan bakal ADUN mahupun Ahli Parlimen secara bidan terjun akan mula seram sejuk dan diserang demam pilihanraya.

Betapa pun, semua suasana penuh suspens ini hanya berkisar di kalangan mereka yang aktif dalam kepompong dan tempurung politik.

Bagaimana pula di luar sana? Betapa pula keadaan mereka yang berada jauh dari bahang dapur markas politik? Mereka ini daripada kalangan orang yang hanya mengikuti politik apabila terbaca mengenainya di media sosial mahupun akhbar.

Kerana, politik hari ini bermakna sindir menyindir, perli-memerli, kata mengata, ejek mengejek, fitnah dilapisi fitnah, persepsi mengatasi realiti, aku betul kau salah dan aku akan menang kau akan kalah. Ada juga yang mengata, kalau kau menang negara tergadai, tapi dalam diam, dua kali lima… aku menang negara jadi kedai.

Ini juga yang menjadikan ramai di kalangan mereka di luar  mengalami political fatique. Letih melayan segala yang berat-berat mengenai politik, apatah lagi cerita-cerita di sebalik tabir dan kelambu orang politik. Mereka akan ambil tahu juga apa yang berlaku.

Sekali-sekala memberi reaksi, walaupun sekadar meletak emoticon-emoticon atau komen noted kepada mesej Whatsapp kawan.

Itu pun sekadar mengambil hati. Lihatlah rating topik-topik yang paling hot  di mana-mana portal berita. Bukan ucapan retorik pak menteri, tetapi cerita-cerita human interest.

Ini adalah kerana, minda siapa yang tak celaru, fikiran siapa yang tak keliru bila mereka melihat orang politik beralih political allignment? Pas dan Dap yang berpimpinan tangan pada PRU-13 kini bermusuh.

Umno dan Pas yang berdekad-dekad bermusuh kini boleh duduk sepentas. Itu belum termasuk Amanah serpihan Pas dan Bersatu serta PKR dari serpihan Umno pula. Masing-masing berlaga angin.

Bagaimana pula persepsi boleh terbentuk bila sebelum ini ada gabungan bernama Pakatan Rakyat tetapi kini Pakatan Harapan pula? Memanglah jawapannya terletak pada RoS tetapi hakikatnya ia belum dapat membina mental picture  para pengundi selagi belum ada bendera yang satu.

Para pengundi di luar sana belum dapat make up their mind selagi tiada imej Pakatan Harapan yang jelas dan jitu pihak yang akan menandingi Barisan Nasional.

Dalam konteks pemasaran, brand itu amat penting. Jadi, Pakatan Harapan yang belum punya imej ini akan menghadapi masalah yang besar untuk dikenali apatah lagi diyakini.

Imej Barisan Nasional yang berlambang dacing itu sudah kukuh di minda pengundi. Namun, setakat itu sahajalah kerana kredibiliti mereka yang menganggotainya dijadikan persoalan. Punca kredibilitinya dipersoal tak perlu disebut kerana masing-masing boleh menelah ia mengenai apa.

Hendak membina memang sukar. Sebaliknya hendak meruntuhkan amat mudah. Pakatan Harapan sukar membina imejnya. Tetapi imej Barisan Nasional pula mudah dicalar-balar. Oleh kerana imej ini sahaja yang menyerlah, ia terjerumus dalam situasi sitting duck.

Justeru, siapa yang menjadi pilihan pengundi di luar sana? Siapa yang diyakini oleh orang biasa yang tidak menganggotai mana-mana parti politik yang kita sebut sebagai golongan atas pagar ini?

Mereka akan memilih wajah yang mereka kenal, orang yang selalu hadir bersama mereka dan individu yang cakna dengan keperluan mereka.

Informasi dan maklumat berlambak-lambak untuk dijadikan pertimbangan para pengundi. Kerana itu, pilihan pengundi terhadap calon dan bukan parti kian terserlah. Ia menjadi kriteria pertama. Pilihan bersandarkan parti hanya menjadi keutamaan kedua.  Barisan Nasional dan Pakatan Harapan tentu dah baca gelombang pemikiran pengundi atas pagar ini.