Kejutan hanya untuk yang tidak tidak menjangka sesuatu akan berlaku di luar dugaan dan dalam politik, tidak ada mustahil. Segala yang mungkin pasti berlaku dan yang hanya ‘mengejutkan’ rakyat adalah ‘waktu’ dipilih untuk sesuatu berlaku, menyebabkan ada tersalah sangka dan tersilap jangka.

Tetapi untuk ahli politik, adalah lumrah bersedia untuk semua kemungkinan, termasuk apa yang dipopularkan suatu ketika dahulu - dengan perkataan dibahasa Inggeriskan iaitu perkara yang ‘un-sangka-rable’.

Siapa sangka setelah hampir empat tahun berlalu sejak 2008 perkara yang ‘un-sangka-rable’ berlaku, iaitu ‘tsunami politik’ yang menghakis kekebalan majoriti dua pertiga BN di Parlimen, kembalinya lima negeri termasuk Wilayah Persekutuan ke tangan rakyat dan kemenangan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh yang memungkinkan pelantikan Ketua Pembangkang baru?

Siapa sangka akibat hasil ‘tsunami politik’ pilihan raya ke-12 mencetuskan tindak balas BN yang berbilang serampang penuh konspirasi - pelantikan perdana menteri baru, episod fitnah dua dengan tuduhan salah laku terhadap Anwar Ibrahim dan rampasan kuasa negeri Perak?

Siapa sangka suara rakyat Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, walaupun ditentang dengan kuku besi, telah mencipta lembaran baru kuasa rakyat di mana Jawatankuasa Terpilih Parlimen Reformasi Pilihan raya terbentuk dan satu rang undang-undang Perhimpunan Awam secara segera dan terburu-buru diluluskan?

Siapa sangka gagasan Pakatan Rakyat yang perjuang berbagai isu dengan mengeluarkan pelbagai dasar demi rakyat akan ditiru perdana menteri seperti saranan Reformasi Politik dan Pemulihan Demokrasi, termasuk - Penghapusan Deklarasi Darurat, ISA, Auku, PPPA - dan belanjawan alternatif 2012?

Siapa sangka isu ‘barang naik’ yang telah sekian lama didukung Pakatan Rakyat telah memaksa BN melahirkan berbagai skim kaya akronim seperti KRIM, PRIMA dan BRIM yang dengan jelas - mengaku kebenaran analisa Pakatan Rakyat bahawa rakyat bertambah miskin akibat dasar-dasar ekonomi BN yang anti-rakyat seperti penswastaan berat sebelah, ketirisan wang keluar negara sebanyak RM1 trilion, kegagalan implementasi DEB, korupsi di peringkat tertinggi dan monopoli perniagaan?

Siapa sangka pihak berkuasa terpaksa mengaku apa yang sekian lama disebutkan oleh Pakatan Rakyat bahawa takrif pendapatan isi rumah miskin yang digunakan BN, iaitu RM800 sebulan terlalu rendah dan salah?

Siapa sangka ‘Tawaran Jingga’ yang berpaksikan empat tawaran utama bagi ‘Bersihkan Malaysia’ - Pelaksanaan Federalisme Tulen untuk kembalikan kuasa dan hak kepada semua negeri, Reformasi Felda demi kesejahteraan peneroka, Memperkasakan Perkhidmatan Awam sebagai penggerak pembangunan negara dan Polisi Anti-Monopoli untuk kurangkan kos sara hidup rakyat akan menggegarkan Putrajaya?

Siapa sangka susulan 9 Januari 2012 bawa kepada rayuan Peguam Negara untuk mengetepikan penghakiman yang mendapati Anwar tidak bersalah dalam kes Fitnah 2 diteruskan - manakala rayuan melibatkan Razak Baginda dalam perbicaraan pembunuhan Altantuya tidak dibuat - hanya membuktikan laungan awal oleh perdana menteri tentang kebebasan institusi kehakiman tidak benar?

Siapa sangka di negeri lahirnya Umno yang dikatakan parti nasionalis beradab dan beradat telah berlaku peristiwa baling batu rosakkan kereta ketua pembangkang hanya meyakinkan kita memang benar budaya ‘baling batu sorok tangan’ adalah teras perwatakan Umno yang semakin berasa terancam dengan tuntutan reformasi rakyat?

Siapa sangka dua pemimpin parti MCA dan DAP berbahasa Tionghoa berani berdebat secara langsung di kaca TV, sebaliknya seorang pemimpin parti Melayu terbesar yang pernah berucap tidak pernah ‘gentar’ dengan sesiapa pula mengelak berdebat dengan ketua pembangkang?

Siapa sangka tawaran alternatif Pakatan Rakyat kepada rakyat yang menduduki flat kos rendah diberikan pilihan melalui skim Pembiayaan dua peratus seperti NFC atau konsep Sewa Hingga Milik Tanpa Faedah berbanding tawaran kerajaan dengan pinjaman dari sumber KWSP dengan kadar 6.5 peratus langsung tidak diendahkan oleh menteri?

Siapa sangka Pakatan Rakyat yang sudah teruji dengan liku-liku perjuangannya, sudah membuktikan kemampuan merangka dasar dan dengan izin Maha Esa, sudah bersedia memerintah di Kerajaan Pusat jika dipilih rakyat, akan diberikan laluan mudah oleh Umno?

Jadi, janganlah kita putus harap, terus istiqamah bersih nama Malaysia dan bebaskan minda serta jiwa kerana apa yang kehidupan dan politik ajar kita adalah - semua itu mungkin walaupun ‘un-sangka-rable’.