TULAR di media sosial apabila dua wanita Islam disebat di Mahkamah Syariah Terengganu baru-baru ini. Kesalahan mereka adalah musahaqah (perempuan bersekedudukan dengan perempuan) disabitkan atas pengakuan bersalah mereka sendiri, malah mereka juga diberikan tempoh merayu terhadap hukuman yang dikenakan tetapi memilih untuk tidak merayu.

Oleh kerana rayuan tidak dikemukakan kedua-dua wanita tersebut, dilaksanakan hukuman yang telah dijatuhkan antaranya ialah sebatan syariah. Namun ramai yang tidak mengetahui apakah sebatan syariah tetapi mahu menjuarai isu ini.

Dalam menelusuri akan kaedah-kaedah sebatan yang diguna pakai oleh sesebuah institusi kehakiman sudah semestinya mempunyai perbezaan dari sudut cara, kaedah, bahan yang digunakan dan semestinya matlamat sebatan itu sendiri juga mempunyai perbezaannya.

Malaysia sebuah negara unik yang mempunyai dua sistem perundangan dan kedua-dua sistem ini haruslah saling melengkapi antara satu sama lain serta menghormati pihak yang satu lagi.

Ramai daripada kalangan masyarakat yang bercakap mengenai sebatan syariah tetapi terkeliru dengan apa sebenarnya sebatan syariah itu.

Kekeliruan ini ditambah pula apabila mereka dimomok dengan betapa zalimnya kesan sebatan tersebut tanpa menyelidik sebatan itu bukanlah sebagaimana yang ditetapkan dalam syariah. Malah ada yang terpengaruh dengan sebatan yang dilakukan dan ditonjolkan dalam cerita Melayu juga.

Sebatan syariah jauh lebih ringan daripada sebatan sivil. Realitinya sebatan syariah hanya untuk mendisiplinkan bukan untuk mencedera. Ia tidak lebih dari sebatan yang dibuat oleh guru disiplin di sekolah-sekolah suatu masa dahulu.

Undang-undang memperuntukkan bagi sebatan syariah rotan yang digunakan tidak lebih 1.22 meter, tebal tidak lebih 1.25 sm. Jika pesalah tersebut dalam keadaan hamil, hukuman akan dilaksanakan selepas 2 bulan pesalah melahirkan anak. Sebatan tersebut juga tidak boleh kena pada muka pesalah, kepala, perut, dada atau bahagian sulit. Bagi pesalah lelaki, mereka akan disebat dalam keadaan berdiri manakala bagi yang perempuan dalam keadaan duduk.

Sebatan syariah juga dilakukan dengan kekuatan yang sederhana dan tukang sebat tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala serta ia tidak melukakan kulit pesalah. Kesemuanya itu telah termaktub di bawah Seksyen 125 dan 126 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560).

Kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang melibatkan hukuman sebatan sebagai contoh dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 ialah doktrin palsu, perbuatan sumbang mahram, pelacuran, muncikari, persetubuhan luar nikah, liwat dan musahaqah.

Bagi sebatan sivil pula ia amat ketara dengan sebatan syariah di mana rotan yang digunakan terdiri daripada berbagai saiz. Pesalah akan ditanggalkan pakaiannya dan digantikan dengan pakaian cawat sahaja. Pakaian cawat hanya menutupi bahagian kemaluan depan, manakala bahagian daging punggung akan terdedah untuk disebat. Pesalah juga akan dibaringkan secara berdiri pada patung yang dikhaskan dan diikat kedua kaki dan tangannya.

Sesetengah tukang sebat menyebat dengan cara terus dan sesetengah tukang sebat menyebat dengan cara sentapan. Sebatan dengan cara sentapan lebih menyakitkan kerana pesalah dapat merasakan cebisan kulit tersentap keluar dari punggungnya yang bisa membuatkan seseorang pesalah itu pengsan setelah disebat dan tidak mampu berjalan untuk beberapa minggu lamanya sehingga bahagian yang disebat tersebut benar-benar sembuh.

Sebatan adalah satu bentuk hukuman dalam perundangan Islam yang bertujuan memberi pengajaran kepada penerima hukuman dan orang yang melihatnya. Hukuman sebat juga berupaya menghindar dan membersihkan masyarakat daripada perbuatan dan tabiat keji dan hina.

Bagi penulis sebatan syariah telah jelas dinyatakan dalam hukum syarak. Malah al-Quran juga menyebut tentang sebatan bagi kesalahan tertentu. Sesiapa yang menyanggahnya samalah seperti menyanggah al-Quran.

Namun kita perlu membezakan di antara orang yang menyanggah sebatan syariah dengan orang yang berpandangan sebatan syariah belum sesuai dilaksanakan lagi dengan pelbagai alasan. Pihak yang menyanggah juga perlu berhati-hati agar tidak mempersoalkan al-Quran itu sendiri.

Penulis menasihatkan mereka yang tidak memahami hukuman sebat syariah ini supaya membuat kajian yang menyeluruh mengenai hukum yang sudah termaktub dalam al-Quran dan sunnah terlebih dahulu dan bukannya mengelirukan masyarakat disebabkan kejahilan mereka.

Falsafah dan objektif sebatan syariah bukanlah untuk mendera tetapi sebagai pengajaran (ta’dib) kepada orang yang kena sebat dan juga masyarakat yang menyaksikan pelaksanaan sebatan itu sendiri. Rasa gerun terhadap sebatan tersebut akan meresapi ke dalam diri masyarakat dan berupaya membuat masyarakat berfikir kembali, sama ada mahu melakukan kesalahan yang membawa hukuman sebat atau sebaliknya.

Tumpuan sepatutnya diberikan kepada falsafah hukuman untuk menyedarkan masyarakat kesan buruk daripada kesalahan dilakukan seperti minum arak, persetubuhan luar nikah, persediaan persetubuhan luar nikah, bukan kepada hukuman sebatan itu saja.

Justeru, penulis merasakan sudah tiba masanya, kaedah sebat syariah ini harus dipertontonkan kepada masyarakat dengan lebih luas lagi di Malaysia khususnya supaya salah faham ini boleh diperbetulkan dengan bijaksana.

Hukuman sebatan adalah sebagai satu bentuk hukuman dalam Islam yang bertujuan menjaga kebaikan dan kepentingan umum. Islam sentiasa memandang dan mementingkan kebaikan orang ramai lebih utama daripada individu kerana ia boleh menghindari kerosakan, keruntuhan moral dan memberi rasa keinsafan kepada pesalah. Pelaksanaannya bukanlah bertujuan menzalimi pesalah sebaliknya memberi rasa keinsafan dan pengajaran.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia