MINGGU lepas saya menghadiri sebuah kursus pengurusan. Kursusnya ialah mengenai cara-cara meningkatkan prestasi kerja. Ia juga memberi panduan, bagaimanakah cara menjadi seorang pemimpin yang mampu memantau kerjanya dengan baik. Kursus itu turut memberi panduan bagaimanakah cara paling berkesan untuk menangani prestasi kerja anak-anak buah.

Seperti mana-mana kursus yang lain, saya lebih gemar mendengar dan menulis beberapa tip yang saya fikir berguna buat saya. Saya tidak mencatat segala-gala diconteng di papan putih atau yang ditutur penceramah seperti seorang siswa merakam percakapan seseorang pensyarah termasuk ‘err’ dan ‘ahnya.’

Bagi saya, kuliah sejam untuk sesebuah sesi  itu barangkali hanya memberi lima atau enam poin yang berguna buat saya. Apa yang saya rasa tidak penting, tidak akan saya catat. Apatah lagi, kursus yang dihadiri itu bukannya punyai ujian dengan pelbagai soalan dan mempunyai markah.

Secara berkala, kita perlu menghadiri kursus. Betapa pun, ramai yang lazimnya menganggap sesebuah kursus itu hanya berguna seandainya ia memberi sesuatu ilmu baharu. Anggapan sedemikian tidak tepat. Ilmu baharu, khususnya jika ia berkaitan dengan sesebuah pendekatan praktik mengenai sesuatu skop kerja itu sebenarnya hanyalah sudut pandang baharu mengenai sesuatu perkara. Ia baharu andai isinya berkaitan dengan hal-hal teknologi.

Kadangkala, sesuatu ilmu baharu itu tidak sempat dipelajari jika ia disampaikan dalam masa dua atau tiga hari. Lagi pula sering kali juga sesebuah ilmu baharu yang dipelajari di dalam sesebuah kursus itu tidak boleh dipraktikkan di alam pekerjaan, mungkin kerana kekurangan peralatan dan juga kefahaman. Justeru itu, kursus yang menyampaikan sesuatu ilmu baharu perlu diadakan dalam tempoh yang panjang. Mungkin juga modulnya dipecah-pecahkan ke beberapa sesi agar ilmunya boleh difahami dan dipraktikkan.

Dalam pada itu, ada juga di kalangan kita yang berandaian jika sesebuah kursus itu punyai isi yang lebih kurang dengan kursus sebelumnya, ia tidak bermakna langsung. Pandangan begini juga tidak tepat kerana kita tidak mungkin mendapat ilmu yang 100 peratus serupa, meskipun ia mengenai tajuk yang sama.

Penyampai yang berbeza mahupun kefahaman kita yang berlainan juga boleh menjadikan sesebuah kursus bermodul yang sama itu berbeza sama sekali nilai kefahaman walaupun jika kita menghadirinya buat kali kedua. Ia bagai memperoleh ilmu dari bacaan al-Quran. Surah dan ayat yang sama bisa mengubah pandangan kita terhadap erti sesebuah ayat itu apabila kita membacanya di waktu yang lain.

Menjelang tamat kursus pada hari yang pertama, penceramahnya  menemui saya lalu menyatakan bahawa kursus yang disampaikan itu lebih tertumpu untuk anak-anak buah saya. Ia bukannya khusus buat saya sebagai bosnya. Saya jawab yang saya tidak menghadiri kursus untuk bos-bos syarikat yang diadakan sebelum ini. Bagaimana pun, saya hadiri kursus ini bersama dengan anak-anak buah saya kerana dua perkara.

Pertama, saya inginkan ilmu yang disampaikan. Kedua, saya ingin mendalami penerimaan anak-anak buah saya terhadap kandungan kursus itu sendiri. Oleh kerana itu, saya tidak kisah seandainya berbincang sesama anak-anak buah saya di sepanjang kursus mereka sendiri.

Ada ketikanya, kita bukan sahaja perlu mengetahui apa yang dialami oleh mereka di bawah tanggungjawab kita. Tetapi, kita juga perlu sama-sama mempelajari apa yang anak-anak buah lalui demi mempunyai rasa empati terhadap mereka. Tambahan pula ia bagus untuk anak-anak buah apabila ketua mereka hadir sekursus dengan mereka.

Dalam kehidupan seharian pun, kita perlu mengambil tahu apa yang anak-anak kita belajar di sekolah. Juga kita perlu memahami apa yang diminati anak-anak kita sama ada ia adalah permainan sukan, minat hiburan, laman-laman sosial mereka dan juga fikrah yang sedang bercambah di minda mereka yang muda itu.

Dengan menaruh minat dan turut bergelumang di dalam dunia mereka, anak-anak akan lebih hormat dengan kita. Yang penting, kita kena cuba tahu apa yang mereka minati agar imej sebagai kita orang tua itu sentiasa positif dan dihormati anak-anak.

Di zaman ini, kita tidak boleh lagi menasihati anak-anak kita menyuruh mereka ‘belajar rajin-rajin, nanti lulus periksa,’ sepertimana yang ibu-bapa kita sering klisekan kepada kita di zaman persekolahan dahulu. Cara begitu akan membuat anak-anak sekarang mempersoalkan keprihatinan kita terhadap apa yang mereka lalui.

Dalam pada itu, kita bukan setakat perlu mengetahui apa yang anak-anak buah kita pelajari.  Sebaliknya, kita juga perlu ambil tahu apa ilmu yang dipelajari oleh bos atau pemimpin kita. Belajar ilmu orang bawah dan juga orang atasan. Sikap ini amat berguna kerana memahami apa yang bos kita pelajari itu boleh membuatkan kita faham pemikirannya. Apabila kita faham apa yang difikirkannya, akhirnya, kita boleh jadi bos sepertinya!