SEKEPING foto membawa 1,000 erti. Pelbagai tafsiran terlintas di layar minda kita apabila menatap gambar Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang bersalaman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua hari lalu. Salam mereka bukannya salam biasa yang formal. Sebaliknya, kedua-dua tangan kanan dan kiri mereka saling bersilang dan saling tergenggam erat.

Body language keakraban itu menggambarkan perasaan rindu dua sahabat, pertautan kembali dua insan yang pernah menjadi mentor-mentee dan silaturrahim dua buah ketua keluarga yang sudah lama terpisah. Kedua-duanya pasti sudah berkirim salam, bertanya khabar dan berkomunikasi melalui pesan memesan sebelum mereka bertemu lalu terakam sebagai detik bersejarah dua orang insan. Indah, tenang dan hening amat, jika kita teliti daripada sudut kemanusiaan.

Namun, salaman itu adalah salaman yang ada makna. Ertinya dalam. Walaupun kita tidak tahu apa yang Tun M dan DS Anwar perbualkan, hampir pasti bahasa tubuh mereka sudahpun memberi mesej Let’s talk business.

Bila memikirkan itu, segala momen yang indah, tenang dan hening yang terlihat mula berubah menjadi riak, kocak, ombak, gelombang dan gelora.

Barangkali, inilah tafsiran kebanyakan daripada mereka yang melihat dari sudut politik. Daripada setinggi-tinggi kepimpinan sehinggalah serendah-rendah ahli parti-parti politik, masing-masing akan melihat ia sebagai sebuah kejayaan mahupun sebagai suatu cabaran; bergantung dari sudut mana mereka memerhati. Justeru, ada yang melihatnya dengan helaan nafas panjang ~ kerana lega. Ada juga memandangnya dengan helaan nafas panjang ~ kerana kesesakan paru-paru!

Kita tidak boleh tidakapakan foto yang ditatap itu. Itu penolakan kepada kenyataan. Jangan nafikan bahawa ia tidak apa-apa jika tidak mahu terperosok dalam sindrom penafian. Ia benar. Ia berlaku. Tidak perlu spekulasi lagi bahawa Tun M dan DS Anwar tidak mungkin akan bertentang empat mata.

Ia bukan teka-teki kerana tidak pernah merebak pun tanda-tanda mereka akan bersefahaman, apatah lagi bertentang mata dan bersalaman penuh akrab.

Namun, apabila ia berlaku, ia tidak memperlihat bahawa ia suatu tindakan yang spontan. Sebaliknya, ia adalah sesuatu yang sudah diatur. Pasti ia direncana oleh seseorang yang dipercayai oleh kedua-dua personaliti itu.

Jadi, selepas ini apa, ya? Kita harus lihat, DS Anwar sebagai seorang tokoh pembangkang yang diterima oleh mana-mana pihak. Di PKR, DAP, Amanah, malah Pas dan kini bakal parti Bersatu telah menyaksikan persetujuan awal DS Anwar dengan kehadiran Tun M di blok pembangkang.

Mereka di Pakatan Rakyat yang belum boleh menerima Tun M mungkin terdiam memikirkan pendirian apabila DS Anwar boleh bertukar senyuman dengan tokoh politik itu. Faktor DS Anwar telah memberi imej bahawa Tun M kini sudah sah bersama mereka.

Di pihak BN dan Umno pula, Tun M dilihat semakin jauh dari mereka. Bagai sudah berpatah arang dengan parti yang pernah diterajuinya. Mereka yang kecewa dengan langkah Tun M ke pihak pembangkang khususnya bila duduk semeja dengan Lim Kit Siang mula mencongak kebarangkalian pendirian apabila melihat Tun M sudah berbaik dengan DS Anwar.

Bagaimana dengan mereka yang tidak menyertai mana-mana blok politik seperti ramai di luar sana? Memilih parti mana yang diyakini kini kian sukar. Tun M, TS Muhyiddin, DS Mukhriz yang pernah menjadi pemimpin Umno kini sudah bersama pembangkang.

Bekas tokoh-tokoh Pas seperti Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa kini menerajui Amanah. Dan, Pas yang dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah boleh kelihatan berbaik-baik dengan Umno. Tetapi Ikatan yang berbaik dengan Pas pula tidak begitu baik dengan Umno meskipun ada pemimpinnya daripada Umno atau pro-BN. Menepati pepatah politik ~ tidak ada persahabatan kekal; tidak ada juga musuh yang kekal.

Political fusion ini sedang berlaku. Ramai yang tidak boleh menerima apa yang terjadi. Ramai yang tidak boleh menerima melihat tindakan-tindakan individu yang dahulunya mereka hormati. Kita boleh ketawa ataupun marah dengan tindakan-tindakan mereka ini. Namun, yang harus diteliti ialah kesan terhadap tindakan mereka ini kepada kumpulan masing-masing.

Betapa pun, semuanya akan mengendur buat seketika apabila Bersatu wujud sebagai sebuah parti politik yang sah. Ketika itu nanti, akan kelihatan garisan jelas yang memisah dua pihak yang saling bertentangan. Seolah-olah sudah bersedia untuk bertempur di medan pilihanraya.

Namun, sebaik sahaja angin PRU bertiup, sebuah lagi political alignment akan berlaku. Apakah faktor sokongan yang bakal memberat ke kiri atau ke kanan akan ditentukan oleh Pas kerana pendirian parti itu masih belum terserlah? Ketika itu, akan berakhirkah sebuah permulaan, dan bermulakah sebuah pengakhiran?