TAJAM seperti biasa. Begitulah Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam warkah lapan halamannya yang sarat nilai dan berlaras bahasa tinggi dan indah. Meskipun mauduknya Deklarasi Rakyat (DR), namun ia mencerminkan penulis dan pemikirannya – intelektual dan fundamental. Ia dipenuhi pandangan dan harapan. Sesekali ia mencuit perasan, lalu ada yang berkaca matanya ketika menatap.

Warkah ini dari penjara. Kerana beliau tahanan politik. Kini, ia tersebar luas dan menggamit imaginasi ramai.  Ketika DR mula-mula dibincang pimpinan Keadilan, iaitu sebelum majlis menandatanganinya pada 4 Mac 2016, ada yang tidak pasti. Kerana memahami luka lama antara Anwar dan Tun Dr Mahathir. Anwar mengambil pendekatan bermoral tinggi dengan menyatakan Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Keadilan, iaitu Datuk Seri Azmin Ali dan Rafizi Ramli, harus hadir dan menandatanganinya.  

Keadilan, dan Pakatan Harapan, punya objektif jelas mengapa bekerjasama dengan Mahathir: menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan meningkatkan sokongan daripada pengundi Melayu. Tetapi, kami juga jelas bahawa kami mesti tetap dan terus dengan agenda reformasi yang menyeluruh: bebaskan Anwar, jatuhkan Umno/BN dan reformasi institusi.

Dalam program kami, iaitu “Muafakat Selamatkan Malaysia”, wajar mengundang Mahathir, tetapi mengelak keluarga Anwar (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah Anwar) daripada sepentas dengannya.

Inilah skrip penganjuran dua program yang berjaya, iaitu “Himpunan Bebas Anwar, Bebas Rakyat” di Pandan, pada 28 Mac 2016 dan “Himpunan Bantah-GST” di Dataran Merdeka, pada 2 April 2016. Mahathir berucap di kedua-dua program. Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah berucap di program kedua, tetapi tidak sewaktu dengan Mahathir.

Saya rasa Anwar kesal akan keseluruhan DR kerana ia tidak memenuhi seutuhnya tuntutan reformasi. Majlis Presiden Pakatan Harapan telah menetapkan bahawa meskipun kami harus menyokong DR, tetapi ia hendaklah dengan cara kami. Anwar sedih kerana kini ia kelihatan dibuat cara Mahathir.

Beliau menasihatkan agar waspada dan menjarak daripada agenda yang cacat, yang tidak selari dengan perjuangan, idealisme dan reformasi yang digerakkannya selama ini. Lebih buruk lagi, apabila agenda yang cacat ini kelihatan diketuai bekas autokrat yang juga musuh lamanya (yang tidak membalas baik sikap berjiwa besarnya, tetapi malah meneruskan serangan jahat terhadapnya), dan skema licik elit berkuasa yang hanya bertujuan mempertahankan sistem yang telah lapuk.      

Saya tidak berhajat meneruskan terjemahan warkah ini. Pembaca boleh menelitinya dan membuat tafsiran sendiri.

Tetapi, terdapat satu perkara yang pasti. Sekiranya ada sesiapa menyangka yang Anwar sudah tua atau kerana beliau dipenjarakan, lantas pimpinannya tidak bermakna, maka warkah ini dan dampaknya yang begitu besar telah membidas sangkaan itu.

Anwar memetik dua puisi penting. Pertama, daripada Shakespeare:

Ular yang pernah mematuk, kini memakai tengkolok.

Dan kedua, daripada sahabatnya penyair Tawfiq Ismail, “Memang Selalu Demikian, Hadi”, yang beliau minta izin dijadikan “Memang Selalu Demikian, Saudaraku”:

Setiap perjuangan selalu melahirkan sejumlah pengkhianat dan para penjilat.

Jangan kau gusar, Saudaraku.

Setiap perjuangan selalu menghadapkan kita pada kaum yang bimbang menghadapi gelombang.

Jangan kau kecewa, Saudaraku.

Setiap perjuangan yang akan menang selalu mendatangkan pahlawan jadi-jadian dan para jagoan kesiangan.

Memang demikianlah halnya, Saudaraku.

Kesimpulannya, warkah ini peringatan buat semua. Dan saya teringat Surah al-Asr: “Demi Masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka pula saling berpesan dengan kebenaran, dan saling berpesan dengan kesabaran”.

#Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd.