RAKYAT telah membuat keputusan radikal dalam PRU14, iaitu, buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, menukar kerajaan Persekutuan dengan memilih Pakatan Harapan (PH) menggantikan BN.

Dengan mengambil kira pelbagai pendapat para penganalisis tentang keputusan tersebut, dan dengan pengalaman peribadi terlibat secara langsung, ingin saya kongsikan faktor-faktor yang membawa kepada kemenangan rakyat ini.

Pertama, perkara-perkara negatif yang berkaitan dengan Datuk Seri Najib, contohnya, GST, melambungnya kos sara hidup, meningkatnya pengangguran, skandal 1MDB dan rasuah berleluasa.

Kedua, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri. Terdapat beberapa elemen yang berkaitan dengan Dr Mahathir. Apa yang paling penting ialah elemen penentu keputusan PRU14, iaitu undi Melayu. Ini kerana, tanpa berganjaknya undi Melayu kepada PH, BN akan menang.

Dalam hal ini, Dr Mahathir ternyata meyakinkan orang Melayu untuk menyokong PH. Di samping itu, terdapat juga mereka yang mengundi PH kerana mengimpikan gandingan dua ikon pimpinan Melayu, iaitu Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.  

Ketiga, penggunaan satu logo. Oleh kerana PH tidak dapat menggunakan logonya, maka, kami memutuskan untuk menggunakan logo Keadilan. Pokoknya, PH menggunakan satu logo. Tanpa satu logo, sesetengah pengundi mungkin terkeliru apabila calon-calon PH menggunakan pelbagai logo. Satu logo juga menunjukkan PH bersatu dan kuat.

Keempat, rekod baik kerajaan PH di Selangor dan Pulau Pinang. Satu daripada cara berkempen yang berkesan ialah dengan menunjukkan contoh-contoh yang nyata berkaitan dengan apa-apa yang terkandung dalam manifesto.

Oleh kerana kerajaan PH di kedua-dua buah negeri telah menunjukkan kemampuannya mentadbir dengan lebih baik berbanding dengan kerajaan BN sebelumnya, dan lebih baik daripada kerajaan-kerajaan BN di negeri-negeri lain, maka, ia meyakinkan pengundi bahawa PH berkemampuan melaksanakan manifestonya apabila mentadbir negara.  

Kelima, kesan gerakan rakyat beberapa dekad. Sejak tahun 70-an, telah terdapat pelbagai bentuk gerakan yang bangun di tengah-tengah masyarakat. Contohnya ialah aktivisme mahasiswa, gelombang kebangkitan Islam, reformasi, pilihan raya yang bersih dan adil (Bersih) dan sebagainya.

Semua ini membentuk satu jaringan kesediaan rakyat untuk melakukan perubahan yang telah disaksikan dalam PRU12 dan PRU13 serta memuncak pada PRU14.     

Dan keenam, kalahnya Politik Ras. Menurut Dr Ong Kian Ming, dalam PRU14, terdapat 83 kerusi Parlimen bercampur, iaitu yang tiada mana-mana kaum membentuk lebih 70% daripada pengundinya. PH menang 73 (88%) daripada kerusi tersebut.

Tetapi, sekiranya SPR bersih dan adil, jumlah kerusi bercampur ialah kira-kira 60%-70%. Sekiranya PH menang 80% daripadanya, maka, politik ras yang menjadi resipi BN benar-benar boleh terkubur.  

Sebagai seorang demokrat, saya melihat faktor terakhir ini sebagai yang paling mustahak. Ini kerana ia memberi ruang untuk kita bergerak ke hadapan, bukan sahaja untuk melakukan reformasi institusi, malah, lebih penting lagi ialah membangunkan ‘centripetalism’, iaitu konfigurasi politik pelbagai kaum dan moderat yang benar-benar melambangkan rakyat Malaysia.

# Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd