Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Rembau, dan ahli-ahli Kelab Penyokong BN (BNBBC), telah mencadangkan supaya diadakan pindaan tambahan terhadap cadangan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang telah dibaca kali pertama di Dewan Rakyat pada 9 April lalu oleh Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi.

Perkara utamanya ialah Seksyen 15(1) yang membenarkan pelajar menjadi ahli parti politik. Ia mendapat sokongan bulat BNBBC. Tetapi, apa yang menimbulkan masalah ialah kerana terdapat Seksyen 15(2)(c) yang melarang pelajar memegang jawatan organisasi pelajar dalam kampus jika memegang jawatan parti politik; dan Seksyen 15(2)(d) yang melarang pelajar terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam kampus.

Menurut Khairy, 15(2)(c) tidak wajar kerana takkanlah seseorang yang memegang jawatan politik yang kecil, contohnya, ahli jawatankuasa biro sukan, tidak dibenarkan menjadi ahli jawatankuasa biro sukan pelajar.

Beliau juga tidak bersetuju dengan 15(2)(d) kerana kalau kerajaan hendak melakukan transformasi politik yang melibatkan pelajar, maka, ia perlu dilakukan dengan sepenuhnya, bukannya sekerat jalan.

Pendirian saya terhadap Auku adalah jelas dan konsisten sejak di kampus lagi. Ia dirakam, antara lain, dalam rencana saya “Benarkan Mahasiswa Berpolitik” yang telah saya bentang di mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada tahun lalu.

Membenarkan pelajar berpolitik adalah soal hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan meningkatkan partisipasi pelajar dalam proses membuat keputusan. Ia sebahagian daripada transformasi politik yang komprehensif.

Sebenarnya, 15(2)(c) dimasukkan lewat dalam cadangan ini. Ia tidak dibincangkan dalam perundingan-perundingan pindaan Auku yang diadakan beberapa bulan lalu. Alasan memasukkan perkara ini bersandarkan pendapat lama yang tidak lagi sesuai dengan pemikiran kontemporari. Kini, jawatan parti tidak semestinya sepenting beberapa dekad lalu. Ramai yang tidak memegang jawatan tetapi lebih berpengaruh daripada yang berjawatan.

Kalau untuk menjamin keberkecualian kampus, maka, saya bimbang tidak ramai yang benar-benar faham maknanya yang sebenar. Ini kerana saya sering melihat pelajar dilabel “pro-pembangkang” dan “anti-kerajaan” atas alasan yang tidak munasabah. Kalau termaktub seksyen ini, saya bimbang ia mengundang perbalahan yang tidak diperlukan, kalaupun tidak disalahgunakan.

Khaled menerima baik pandangan BNBBC, membawanya ke Kabinet pada 13 April 2012 dan seksyen ini akan dikeluarkan. Seksyen 15(2)(d) adalah berasaskan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 15 September 2011 dan keputusan Kabinet pada 25 November 2011.

Kalau seksyen ini dikekalkan, maka, cabarannya ialah bagaimana menyeimbangkan antara kebebasan yang diberikan dengan kekangan yang dikenakan. Kita perlu dipandu dengan sebaik-baiknya oleh keputusan mahkamah oleh Tan Sri Gopal Sri Ram, dan beberapa orang hakim luar negara, tentang “menafsir kebebasan dengan cara yang luas dan menafsir kekangan atas kebebasan yang dijamin itu dengan cara yang sempit”.

Dalam konteks ini, kita perlu benar-benar komited melakukan transformasi politik untuk mewujudkan politik baru, iaitu demokrasi yang progresif dan matang. Perlu berani, konsisten dan artikulasi menyuarakannya tanpa menunggu orang lain menyetujuinya.

Apabila ditegakkan melalui pasukan, maka anggota pasukan perlu menghayatinya sepenuh hati, bukannya separuh hati. Kalau ada kelemahan, anggota yang menyedarinya perlu membetulkannya. Tanggungjawab kolektif tidak termasuk membiarkannya begitu sahaja. Khairy dan BNBBC memahami hal ini. Kesimpulannya, kita tak boleh berkata, “berenanglah, tapi jangan basah!”