SEDARKAH kita, dalam hidup ini, kita akan hadapi momen di mana kita akan bersendirian meskipun dikelilingi ramai? Ada momen yang kita selalu alami. Ada juga yang jarang-jarang, malah ada yang belum pernah kita lalui lagi.

Pada saat-saat kita mengalami momen itu, kita benar-benar akan berasa keseorangan. Meskipun orang yang disayang ada di sisi, kita bagai tidak dapat menyedari akan kehadirannya. Apakah momen-momen yang saya maksudkan ini?

Tatkala kita kecil, ia adalah saat-saat doktor menghalakan sebatang jarum suntikan ke bahu ketika kita sakit. Pada saat itu, walaupun ibu ada di sisi, kita sudah tak peduli apa. Kita akan menjerit belum pun jarum mencecah ke bahu. Barangkali terus meraung berasa mahu mati walaupun ibu sentiasa berbisik memujuk untuk menenangkan kita.

Yang lelaki pula, tentulah ketika melihat gunting dan penyepit doktor yang ingin menyunat kita. Mata kita terpejam, air mata mengalir kerana kengerian. Seolah-olah dunia di sekeliling kita menjadi gelap. Suara ayah yang cuba memberi kata-kata semangat sudah tidak kedengaran lagi.

Loya pertama seorang pengantin yang membuat dia berasa lain macam kerana mengandung diikuti dengan muntah-muntah adalah sesuatu yang dirasakan azab. Lutut berasa lemah, kepala jadi pening dan badan terus longlai. Pada hari-hari berikutnya, dia akan bimbang lagi bila berdepan dengan momen loya dan muntah-muntah, meskipun suami sentiasa hadir untuk mengusap belakangnya.

Momen apabila melangkah ke dewan peperiksaan, momen melangut ke papan kenyataan sekolah untuk melihat keputusan peperiksaan, apabila menghadiri temu duga ataupun pada saat menghidupkan enjin untuk ujian memandu di JPJ adalah di antara momen-momen yang pernah kita lalui dengan rasa sendirian.

Begitu juga saat indah dan syahdu kita melafazkan nikah adalah momen-momen yang kita lalui meskipun ada orang lain di sekeliling kita. Hati berasa berdebar, jiwa terasa gentar pada saat-saat itu. Banyak lagi momen-momen lain yang berbeza lagi unik di antara kita.

Tetapi, hampir kesemua momen-momen yang dinyatakan itu khususnya setelah kita dewasa, kita depani dengan persediaan. Barangkali seorang pria yang ingin melafazkan rasa cinta kepada kekasihnya, akan puas mengulangi ayat-ayat cinta seperti artis menghafal skrip sebelum berani mengucapkannya di hadapan kekasih.

Begitu juga, bagi bakal isteri tentu sekali dia dinasihati oleh ibu sebelum melangkah ke alam rumahtangga. Cara melayani suami, makan pakai, mengambil hati hinggalah memahami biologi wanita dah hal-hal materniti adalah di antara persediaan untuk seorang gadis. Kesemuanya yang lain termasuk persediaan menghadapi peperiksaan mahupun menghadapi temuduga akan dihadapi dengan persediaan.

Namun betapa pun kita bersedia,  banyak juga insiden di mana apa yang dirancang itu tidak menjadi. Si pelafaz cinta mungkin terlupa skrip atau huru-hara apabila ucapannya ditolak pula mentah-mentah oleh si gadis. Si isteri yang sudah diajar ibu akan alam rumah tangga jadi takut apabila mengetahui dirinya mengandung hingga mengalami darah gemuruh.

Begitu juga walaupun sudah bersedia untuk peperiksaan, bagaimana jika separuh soalan yang muncul itu bukan soalan yang kita ramal? Itulah saat-saat di mana kita berasa benar-benar bersendirian.

Ada satu lagi momen di mana kita rasa bersendirian meskipun ramai yang sedang memerhati tindak tanduk kita. Momen itu adalah tatkala kita membuang undi. Sebaik melangkah ke pusat mengundi, itulah saat yang mendebarkan. Meskipun ada ramai pengundi yang berbaris bersama kita, kita menjaga diri agar sentiasa awas dan bersedia. Sambil beratur, berulang kali kita memeriksa sama ada kita membawa kad pengenalan.

Setelah menghulurkan kad pengenalan untuk disemak, terdengar nama kita dibaca oleh petugas, jari dicalit dakwat lalu mendapat kertas undi; semua itu kita lakukan dengan penuh tertib dan berhati-hati.  

Sebaik sahaja kita melangkah ke petak undi, itulah momen yang hening. Segala suara yang kita dengar melalui televisyen, radio mahupun telefon pintar sudah hilang. Wajah-wajah mereka yang sering muncul di laman-laman sosial, segala video, poster mahupun artikel yang tular kesemuanya sudah lesap.

Yang ada hanyalah kita dan kertas undi itu. Tiada apa yang lain pada masa itu. Dan kita berasa sedikit gementar, mungkin berdiri bulu roma kerana apa yang kita akan lakukan itu akan dikira sebagai satu undi yang akan menentukan kemenangan bagi siapa dan parti mana yang kita pilih.

Lalu kita menurunkan tanda pangkah dengan penuh hati-hati. Agaknya jika kita cikgu yang biasa memangkah, pangkahan kali ini dilakukan dengan penuh cermat, kerana itulah tanda pangkah yang amat bermakna untuk tempoh lima tahun.  

Ya, momen itu amat peribadi kerana undi itu rahsia yang zahirkan dari sanubari. Tiada sesiapa yang dapat mempengaruhi pada saat itu. Ia adalah the moment of truth.

Selamat mengundi!