KEDUDUKAN Islam, Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu (Bumiputera) dan hak istimewanya serta Bahasa Melayu (BM), sudah muktamad dan dimaktubkan dalam Perlembagaan. Kenapa perlu dibangkitkan lagi? Ke mana arah negara ini hendak dibawa?

Apakah tidak perlu ada langsung identiti? Malang sungguh negara ini yang asal-usul berasaskan sistem kenegaraan Melayu, identiti hilang begitu sahaja, disebabkan oleh tangan-tangan jahat.

Akhirnya, kita rugi, ultra kiasu untung besar dan menjadi semakin bongkak. Ruang dan peluang digunakan dalam psywar dan psyop mereka secara strategik dan terancang. Wakil-wakil mereka berada merata tempat, dalam kerajaan, luar kerajaan.

Lihatlah bagaimana mereka memanipulasikan isu Jakim, BM vs bahasa Inggeris (BI), sehinggakan negara ini seolah-olah tidak ada Perlembagaan. Apa sudah jadi dengan Melayu?

Justeru, bangunlah wahai umatku, sekat kemaraan mereka ini sebelum terlambat. Pertamanya, jika mereka berkuasa nanti, jawatan-jawatan penting akan dibolot adalah Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Kerja Raya, Menteri Kesihatan, Menteri Luar dan lain-lain kementerian strategik. Segala polisi mereka yang tentukan seperti Pulau Pinang.

Kedua, negara ini akan menjadi semakin sekular. Akan bermaharajalelalah segala kemungkaran dan kemaksiatan.

Ketiga, kebanyakan agensi Islam yang sedang beroperasi seperti Jakim, Yadim, Yapeim, jabatan agama dan lain-lain berkaitan dengan Islam tidak mustahil akan ditutup.

Keempat, peruntukan sekolah-sekolah agama akan dikurangkan. Begitu juga dengan masjid dan surau. Akan melambaklah lagi rumah ibadat bukan Islam dikatakan masih tidak cukup, walaupun di kawasan yang sangat minoriti.

Kelima, lebih banyak sekolah jenis kebangsaan, sekolah persendirian dan sekolah antarabangsa akan dibina. UEC diiktiraf tanpa syarat. Mereka akan masuk dalam semua perkhidmatan kerajaan, meskipun gagal BM. Ketika itu, orang Melayu menggigit jari.

Keenam, mereka akan berpakat dengan ultra kiasu negara jiran, untuk menghenyak orang Melayu agar tidak boleh bangun lagi.

Ketujuh, BM akan pupus, kerana bagi mereka tidak penting. BI dan bahasa ibunda sahaja yang penting. Lihatlah kenyataan ultra kiasu Sarawak dalam Parlimen.

 Kelapan, ultra kiasu akan terus membina banyak rumah sehingga tidak mampu dibeli oleh orang Melayu. Jika adapun yang mampu, Melayu mengambil keputusan berhijrah. Lihatlah taman perumahan hari ini, berapa ramai Melayu yang ada daya tahan tinggal di sana.

Banyak lagi faktor lain. Justeru, negara tercinta ini mesti dielakkan daripada jatuh kepada mereka. Ingatlah, Melayu adalah 50 peratus, pecah tiga, empat, dan tidak mustahil berpuluh kumpulan, berbanding dengan ultra kiasu yang sangat bersatu hati.

Melayu mesti bersatu. Ya, sukar menyatukan Melayu. Tetapi Melayu mesti pandai mengurus perbezaan. Pada saya, politik Pas, Umno dan segelintir Melayu PKR, mutakhir ini semakin matang. Kenal siapa kawan dan lawan. Perkara ini juga hendaklah berlaku dalam jabatan kerajaan dan NGO Melayu. Bila saya sebut Melayu itu bermaknanya orang Islamlah. Jangan tuduh saya lebih Melayu dari Melayu. Tidakkah kita mengambil iktibar bagaimana kedutaan Amerika mengumpul orang-orang tertentu berjumpa Obama?

Lawan sebenar kita adalah ultra kiasu. Saya tidak merujuk ultra kiasu ini kepada orang Cina. Tetapi kepada mereka yang mahu menghancurkan Melayu dan Islam, dan perkara berkaitan dengannya.

Saya tabik Menteri Komunikasi dan Multimedia yang begitu berani mempertahankan kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan dan perpaduan. BM merupakan bahasa penyatuan rakyat pelbagai kaum di Sabah dan menjadi bahasa lingua franca masyarakat majmuk negeri ini sejak awal kemerdekaan. Sabah berada di jalan yang betul dalam memartabatkan BM tanpa meminggirkan BI. Inilah sifat negarawan sebenar. Layak menjadi PM pada masa akan datang.

Peranan bahasa tidak hanya boleh dilihat dari sudut bisnes atau nilai komersial semata. Tetapi ia hendaklah sebagai warisan khazanah tamadun sesuatu bangsa. Jika negara tidak maju, bukan salah bahasa, tetapi sikap Melayu yang tidak mahu berubah.

Saya tidak pernah dengar pemimpin besar dunia seperti China, Jepun, Turki, Korea dan lain-lain, ketika berucap di PBB menggunakan BI, melainkan dalam bahasa kebangsaan mereka. Mereka berjaya menjadikan bangsa dan bahasa mereka penting, berdarjat dan bermaruah. Bait-bait kata ibarat mutiara mesti didengari dan ketahui. Siapa yang menterjemahkan bahasa mereka di PBB?

Bangsa lain tidak perlu gusar dengan bahasa ibunda mereka, kerana negara bangsa China dan India akan terus wujud. Tetapi jika BM pupus, maka akan pupuslah Melayu itu. Sebab itu, slogan bahasa jiwa bangsa, bukan perkara main-main, tetapi amat serius.

* Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah INPIRE/PPA, UNISZA