KETUA akhbar ultra kiasu membidas saya gara-gara tidak dibenarkan masuk ke Singapura. Walhal saya nukilkan dalam satu para sahaja dalam akhbar ini. Saya boleh rahsiakan. Kenapa saya beritahu? Sedih? Menagih simpati? Jawapannya, tidak! Sekadar mendedahkan kebobrokan ultra kiasu agar umat Islam buka mata.

Ultra kiasu sangat gembira dengan tindakan tersebut. Tidak menjadi masalah langsung kepada saya, kerana saya ini terror, bukan terrorist.

Setiap kali menulis atau berceramah, tidak terlintas menagih simpati mahupun menjadi lebih Melayu daripada Melayu. Cuma ingin berkata benar dan menyedarkan kita betapa bahayanya ultra kiasu.

Sebab itu, bermati-matian mereka canangkan diversiti, agar identiti. Saya menerima diversiti, tetapi mesti berpandukan sejarah dan beridentiti.

Berkaitan artikel Pulau Batu Putih, saya bertanggungjawab sepenuhnya. Pulau Batu Putih tetap kepulauan Melayu, walaupun telah terlepas kepada ultra kiasu. Sebab itu namanya Batu Putih.

Nasihat saya, pastikan beberapa pulau lagi seperti Pulau Pisang tidak terlepas. Pastikan kita tidak dapat pisang, orang lain dapat pulau. Hak tetap hak. Pertahankan hingga ke titisan darah terakhir.

Jangan buat sekali kesilapan dengan membawa kepada ICJ. Kita akan kalah. Untuk menang, bersedialah dengan segala kekuatan yang ada (Al-Anfal: 60).

Teringat kata-kata strategik Latin, "si vis pacem para belum", jika mahukan keamanan bersedialah untuk berperang. Inilah kejayaan negara maju yang kuat hari ini. Apabila mereka sentiasa bersedia, tidak ada negara kuat yang lain berani memperkotak-katikkannya.

Malangnya, negara-negara Islam tidak ada atau pernah kuat, mereka asyik bergaduh melondehkan kelemahan sesama sendiri, sehingga musuh dapat membaca.

Wahai saudaraku, berpolitiklah selagi mana ia tidak meruntuhkan maruah agama, bangsa dan negara. Tetapi, jika sudah nampak tanda-tanda kehancuran itu melalui perancangan licik ultra kiasu, kembalilah bersatu berhadapan dengan musuh yang sebenar.

Jangan biarkan negara yang berasaskan sistem kenegaraan Melayu ini hancur disebabkan terlalu mempercayai mereka dengan memusuhi Perdana Menteri. Wajarkan dengan hanya satu (1) kesilapan atau kesalahan, menutupi 1,000 kebaikan yang dibuat.

PM sudah memberi jaminan, semua masalah yang berlaku akan dapat diselesaikan sebelum penggal berakhir. Berikanlah peluang kepada beliau. Jika beliau gagal, rakyat ada hak untuk bertindak pada PRU14 nanti. Sudah tidak lama. Negara tidak akan menjadi bankrap hanya kerana beberapa ‘skandal’. Tetapi negara akan hancur jika ultra kiasu bersekongkol.   

Saya amat bimbang jika ultra kiasu ini terus menerus dibiarkan berleluasa di Pulau Pinang. Apakah nasib Melayu di pulau Melayu ini? Pahatkan dalam memori apa yang pernah berlaku di Singapura dan Pulau Batu Putih. Jangan berputih mata lagi.

Justeru, hamba merafak sembah, memohon dan merayu kepada Duli Tuanku Sultan Kedah, ambillah kembali pulau bertuah ini ke pangkuan Tuanku. Kasihanilah umat Islam yang semakin tertindas di sana.

Benar, sejarah telah menjadi sejarah. Tetapi Duli Tuanku mampu melakukannya. Selama ini ultra kiasu menganggap dia insan mulia, jauh daripada salah silap, bersih dan berintegriti. Hari ini, sedikit demi sedikit ALLAH telah tunjukkan.

Sekarang bukan lagi masa untuk menuding jari siapa yang benar, siapa salah. Tetapi membuktikan apa yang benar, apa yang salah. Setelah terbukti, carilah jalan untuk bersatu.

Kebobrokan ultra kiasu mesti dihentikan sebelum terlambat dengan bersatu. Kerana hanya dengan bersatu sahaja yang boleh menakut dan menundukkan mereka. Jika kita terus bersengketa, yakinlah negara ini akan jadi porak-peranda.

Wahai Melayu! Saudara semua sudah tidak ada banyak waktu. Mereka semakin kuat menghimpit. Mereka mahu kerajaan buka segala ruang dan peluang untuk mereka. Tetapi adakah mereka melakukan perkara yang sama? Memberi ruang dan peluang untuk anak bangsa.

Kajian demi kajian telah dibuat bahawa syarikat-syarikat mereka lebih selesa mengambil pekerja-pekerja dalam kalangan mereka sahaja. Bahasa Mandarin dijadikan syarat untuk mengetepikan orang Melayu.

Pekerja Melayu dikatakan tidak kompeten, walaupun ada kelayakan. Jika adapun kalangan kita yang diambil bekerja, sekadar untuk melariskan jualan dan produk.

Politik tetap politik, tidak dapat lari daripada korupsi dan kroni, kecuali mereka yang ada jiwa takut akan ALLAH. Mungkin tidak lama akan terbongkar satu-persatu. Bersedialah. Setakat ini, semua memandang kepada kebobrokan dan negeri yang diperintah BN, seolah-olah pembangkang itu malaikat.

 

* DR Mohd Ridhuan Tee Abdullah Felo Utama, INSPIRE dan pensyarah PPI, UniSZA