KEPUTUSAN terburu-buru Kerajaan Negeri Sarawak melarang saya memasuki Bumi Kenyalang ini amat mengecewakan, juga merugikan. Sebelum ini, saya bebas memberikan ceramah di sana, atas jemputan masjid, majlis daerah dan wakil rakyat.

Saya adalah saya, dulu sampai sekarang. Boleh tanya kepada penduduk Sarawak yang mengikut ceramah selama ini, adakah saya menanamkan politik kebencian antara kaum, semangat ekstremis dan apa jua konotasi yang negatif?

Apa yang pasti, kebanyakan berpuas hati dengan ceramah saya. Kita amat profesional dan menghormati budaya dan sensitiviti setempat. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

Kita adalah pendakwah, sampaikan walaupun satu ayat, bukan berpolitik. Setiap kali saya ke Sarawak, saya banyak menekankan soal meraikan kepelbagaian dalam Islam.

Islam tidak beranak di kawasan orang Islam. Tetapi lahir dan berkembang di kawasan orang bukan Islam. Bermula dari seorang, Nabi Muhammad SAW yang membawa Islam, berkembang hebat, sehingga seluruh Tanah Arab menerima Islam, sehinggalah ke seluruh dunia hari ini.

Jika Islam menanamkan politik kebencian atau melakukan kekerasan, sudah tentu orang bukan Islam tidak akan memeluk Islam. Islam tidak akan berkembang. Tetapi, hakikat berlaku sebaliknya.

Hikmah, kelembutan, keamanan dan contoh teladan, menjadikan bukan Islam tertarik dan seterusnya memeluk Islam. Terkini, aktor kacak barat, Liam Neeson, dikhabarkan akan memeluk Islam, meninggal agama Katoliknya. Alhamdulillah.

Inilah inti pati setiap kali saya berceramah di Sarawak dan Sabah. Juga, setiap kali saya memberikan syarahan kepada pelajar, saya selalu mengambil contoh Sabah dan Sarawak sebagai model 1Malaysia.

1Malaysia sudah lama dipraktikkan di sana, berbanding Semenanjung, yang walaupun hanya ada tiga etnik terbesar, Melayu, Cina dan India, asyik bertikam lidah, tidak pernah habis, hanya kerana politik. Keharmonian Sabah, Sarawak jauh lebih baik, meskipun parti politik mereka berasaskan pelbagai kaum. 

Apa pun saya terima dengan hati terbuka keputusan kerajaan negeri. Saya tidak rugi apa-apa pun jika tidak ke negeri tersebut. Banyak negeri lain yang sudi menerima dan boleh kita menyumbang.

Cuma saya amat terkilan tindakan terburu-buru. Sekurang-kurangnya, rujuklah Kerajaan Pusat terlebih dahulu, sama ada saya ekstrem atau tidak. Namun demikian, saya akui Sabah dan Sarawak memiliki kuasa imigresen sepenuhnya, merujuk perkara 18 dan 20, selepas kemasukan ke dalam Malaysia 1963.

Keputusan ini adalah keputusan politik. Saya adalah mangsa. Terus-terang, saya agak terkilan dengan kenyataan menteri mudanya dan orang pejabat Ketua Menteri.
Jika tidak benarkan saya masuk, tidak mengapa.

Ibarat pinggan tak retak, nasi tak dingin, orang tak nak, saya pun tak ingin. Tetapi tidak perlu mengeluarkan kenyataan seperti mengaitkan saya dengan budaya politik ekstrem Semenanjung. Kenapa perlu babitkan Semenanjung. Ia tidak baik untuk pembangunan politik bernegara.

Kami di Semenanjung tidak seburuk yang saudara semua sangkakan. Kami tahu membezakan antara baik dan buruk, sebab kami bukan ultra kiasu. Ya, tidak dinafikan ada yang ekstrem. Tetapi mengeluarkan kenyataan umum sedemikian, bukan ciri seorang negarawan.

Mungkin mereka terlepas pandang. Saya sebagai pendakwah dan pensyarah yang mengkhusus dalam bidang sains politik dan kerajaan, bercakap dan menulis mengikut bidang.

Menjadi hak saya sebagai pakar, memberikan input dan ulasan politik semasa, dalam sebuah negara mengamalkan demokrasi berparlimen. Sebab itu, saya tidak disukai dan menjadi mangsa sekumpulan ahli politik yang pandai mengaburi mata rakyat mengatakan mereka mewakili semua kaum dan menyeru kepada perpaduan.

Kenapa kita begitu bersikap tertutup? Kenapa kita mendengar sebelah pihak sahaja, terutama PKR dan DAP? Ceramah saya di Sematan adalah berkaitan Maulid Nabi.

Jika saya menanamkan politik ekstrem, yang mula-mula akan halang saya adalah Kerajaan Pusat di sini. Tetapi saya masih bebas keluar masuk TV. Jadi, apa masalahnya?

Sudah sampai masanya kita perlu matang. Jika beginilah sikap dan perangai pemimpin muda Sarawak dalam berpolitik, tidak mustahil suatu masa nanti Sarawak akan terlepas kepada tangan pembangkang.

Untuk mengetahui saya ekstrem atau tidak, sudilah kiranya, melayari YouTube yang telah diuploadkan oleh bekas pelajar saya ketika membuat assignment Hubungan Etnik, https://www.youtube.com/watch?v=-XN3ISZvoxU.

* Penulis ialah pensyarah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam, UniSZA