AKIBAT kekangan bajet, ramai profesor pencen iaitu mereka yang telah berusia 61 tahun ke atas, tidak disambung kontraknya. Saya lebih suka menggunakan istilah ilmuwan berbanding profesor, disebabkan tidak semua profesor terserlah keilmuannya (profess).

Ada yang pandai menulis (mengajar), tetapi tidak pandai mendidik. Apatah lagi untuk merakyat. Mereka hanya pakar dalam bidang sahaja.

Berbanding dengan profesor di barat, bukan sahaja keilmuan mereka terserlah, mereka turut merakyat, bukan hanya sesekali turun padang. Entah diterima atau tidak ‘ketinggian’ ilmunya oleh masyarakat.  

Apa pun kerjaya ilmuwan hendaklah dibezakan dengan penjawat awam. Mengikut undang-undang, mereka yang berada di universiti adalah pekerja universiti bukan penjawat awam. Ada beberapa kes pensyarah kalah dalam perbicaraan kerana menggunakan istilah penjawat awam.

Ilmuwan dengan penjawat awam berbeza. Ilmuwan, ilmunya penuh di dada. Penjawat awam hanya tahu mentadbir. Ilmuwan boleh mentadbir. Pentadbir belum tentu boleh mendidik. Inilah perlu diketahui oleh pemimpin politik masa kini agar jangan terlalu berpolitik.

Tidakkah pemimpin hari ini tidak sedar bahawa berdirinya mereka hari ini adalah disebabkan oleh didikan profesor mereka? Justeru, fikirkanlah beberapa perkara berikut. Pertamanya, ilmuwan yang bergelar profesor tidak wajar disamakan dengan penjawat awam yang lain kerana perkhidmatan dan sumbangan akademik mereka melebihi penjawat awam lain.

Saya bersetuju dengan kenyataan bahawa kerajaan  harus mewujudkan badan khas untuk memastikan kehebatan ilmu yang dimiliki oleh para ilmuwan tidak terbiar begitu sahaja, meskipun telah pencen, terutama dalam mencorakkan hala tuju negara. Majlis Persatuan Akademik Negara (MAAC) hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya, selain Majlis Profesor Negara (MPN).

Kedua, umur pencen ilmuwan hendaklah dinaikkan kepada 65 atau 70 tahun, selaras dengan amalan antarabangsa. Kebanyakan mereka yang dilantik ke jawatan profesor, pada ketika lingkungan usia 50-an. Sayang sekali ilmu keprofesoran mereka hanya dimanfaatkan beberapa tahun sahaja sebelum pencen.

Tidak dinafikan hari ini ramai juga pensyarah muda yang dilantik ke jawatan profesor disebabkan oleh kejayaan menghasilkan artikel dan penyelidikan berkualiti. Malangnya golongan ini hanya pandai menulis tetapi tidak pandai bercakap dan bermasyarakat. Sebab itu, jangan syok sendiri.

Ketiga, profesor hari ini janganlah terlalu bergantung harap untuk disambung kontrak. Menyebarkan ilmu tidak hanya di dewan kuliah, tetapi juga bermasyarakat. Pergilah mendampingi surau, masjid dan institusi lain untuk menyebarkan ilmu yang terpendam. Syaratnya, jangan buta agama. Mestilah pandai mengislamisasikan dan mengintegrasikan ilmu kepakaran dengan ilmu agama.

Bidang kepakaran saya adalah Sains Politik. Saya rasa bersyukur kerana selain daripada berada di bilik kuliah, saya diberi kesempatan untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat sehingga digelar sebagai ustaz. Terima kasih UniSZA. Saya yakin ilmuwan lain telah lakukan lebih dari itu.  

Perlu diingatkan, profesor berada dalam kedudukan ketiga, kalangan 15 profesional yang paling boleh dipercayai selain daripada doktor perubatan dan guru. Pemimpin politik berada pada kedudukan terakhir iaitu ke-15 yang tidak boleh dipercayai. Kenapa? Sila rujuk kajian BEIM.

Pepatah Cina ada berkata, jika mahu menjadi pemimpin, pastikan rumah tangga dipimpin baik. Bagi memastikan rumah tangga dipimpin baik, diri sendiri perlu dipimpin baik. Bagi memastikan diri sendiri dipimpin baik, hati perlu dipimpin dengan baik. Bagi memastikan hati dipimpin baik, asasnya mestilah ikhlas. Belajar erti ikhlas.

Jarang kalangan kita yang ikhlas. Kebanyakan kita menjadi pakar bodek. Malang sungguh mereka yang dilantik menjadi profesor tidak menjadi  profesor sebenar. Tidakkah mereka sedar bahawa suatu hari nanti mereka akan pencen?

Dahulu ketika mereka dinaikkan menjadi profesor, tidak susahlah sangat seperti yang disyaratkan pada hari ini. Apabila kita berada di atas, kita susahkan mereka yang mahu naik menjadi profesor. Sedangkan penjawat awam yang lain, misalnya, PTD begitu mudah untuk naik pangkat, berbanding mereka yang setengah mati mengaji sehingga mendapat PhD. Malang sekali bila dapat PhD, ia bertukar menjadi perasaan hasad dengki.

Lebih malang lagi ada profesor yang sudah bertaraf JUSA masih tidak dianugerahkan darjah kebesaran, berbanding penjawat awam lain, ada masih begitu muda sudah bergelar ‘dato’. Kenapa? Jawapannya ilmuwan tidak pandai membodek seperti ahli politik dan penjawat awam. Teringat kata Albert Camus, some people talk in their sleep but lecturer talk while other people sleep.

 

* Prof Dr Mohd Ridhuan tee Abdullah, Felo Utama, INSPIRE dan pensyarah PPI, UniSZA