JIKA Pas keluar PR, sudah pasti Selangor tidak akan bermenteribesarkan PKR lagi. Insya-ALLAH, Pas mungkin boleh terus kekal di Kelantan, meskipun akan kehilangan beberapa kerusi di negeri lain. 

Semua orang tahu, PKR menang banyak kerusi selama ini, bergantung kepada undi Pas, selain ultra kiasu. Begitu juga kerusi ihsan yang diberikan kepada PKR oleh Pas di kawasan yang ditandingi Pas selama ini, terutama di Kelantan dan Terengganu. Negeri lain pun sama.

Rasionalnya, Pas tidak perlu menyerahkan kerusi yang ditandingi selama ini kepada PKR. Tetapi, atas dasar sepakatan, Pas rela berkorban. Inilah sifat mulia Pas. PKR tahu semua itu. Namun, sokongan Pas masih belum mencukupi tanpa sokongan ultra kiasu untuk kekal berkuasa di Selangor.

Maka tidak hairan, jika PKR akan terus berusaha untuk memastikan Pas tetap kekal dalam PR, walaupun telah didesak ultra kiasu agar Pas dikeluarkan.

Melayu PKR tertekan antara diluah mati emak, ditelan mati bapak. Ultra kiasu PKR mungkin tidak, kerana bila-bila masa mereka boleh pergi kepada parti ultra kiasu. Itulah realiti PKR.

Mengenali Pas sekian lama, Pas sudah kebal, sama ada bersendirian mahupun bersama PR. Parti Islam ini sudah diuji sekian lama. Tetap bertahan. Kepemimpinan dan ahli partinya amat komited dengan Islam.

Pasma dalam hal ini, tidak ada 'apa mende' kata orang Terengganu, kerana walak majoriti ahli Pas tetap kepada Pas, bukan Pasma.

Pendek kata, bercerai talak tiga sekalipun, Pas tetap survive. Parti lain belum tentu. Sebab itu, paling layak menjadi ketua pembangkang di Parlimen, adalah Pas. Pastinya ultra kiasu tidak pernah bersetuju.

Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Pas pernah melalui zaman sukar selepas keluar BN, namun Pas mampu bangkit dan menawan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-8 pada 1990, walaupun bersendirian.

Sebab itu, Pas tidak pernah takut apabila parti ultra kiasu sebelum ini mengugut memutuskan hubungan dengan Presiden Pas berikutan tindakannya yang bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

Ini disusuli Sarawak yang mengumumkan keluar daripada PR negeri itu minggu lalu atas alasan sama. Begitu juga Sabah.

Kita teruja untuk melihat apakah PKR Sabah Sarawak mampu untuk bertahan tanpa sokongan Pas. Memandang musuh hudud terlalu ramai, Pas sudah sepatutnya keluar dari PR. Jika mereka memusuhi Islam, maka mereka adalah musuh Pas.

Pas tidak perlu bersangka baik lagi, bagi tujuan dakwah. Sekian lama berdakwah dan menerangkan hudud, adakah mereka semakin lembut terhadap Islam dan hudud? Tidak sama sekali. Malahan sikap negatif dan bermusuhnya semakin menyerlah. 

Kajian mereka melaporkan 81% responden Melayu-Islam mahukan Kerajaan Kelantan memberi tumpuan kepada usaha pemulihan pasca banjir daripada pelaksanaan hudud.

Berbanding kajian Jawatankuasa Teknikal Hudud (JTH) negeri tahun lalu, membuktikan 91% rakyat Kelantan bersetuju dengan hudud. Kajian siapa yang betul? Logiknya sudah tentu kajian JTH lebih tepat, kerana responden tidak bias. Semua orang Kelantan.

Jika bertanya kepada musuh Islam, sudah tentu jawapannya sudah diketahui. Orang Islam sendiri ada yang menjadi penentang tegar hudud, terutama yang menganut fahaman sekular dan sosialis. Justeru, saya tidak pernah ambil kisah kajian ultra kiasu. Awal-awal lagi telah bias.

Eloklah renungkan kata-kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad. Hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan boleh dicapai jika sedia bermula dengan kesalahan terletak di bawah Senarai Negeri.

Beliau berkata antara kesalahan yang terkandung dalam Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan ialah kesalahan melakukan zina, menuduh seseorang berzina, meminum minuman memabukkan dan murtad.

Bagaimanapun, Parlimen perlu terlebih dahulu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk membolehkan Badan Perundangan Negeri berbuat demikian. Undang-Undang itu adalah di bawah Senarai Negeri, terpakai hanya kepada orang Islam dan ditadbir oleh mahkamah syariah.

Dalam PRU14 akan datang, saya cadangkan Pas ikut strategi ahli-ahli Gerakan dan MCA. Pakat-pakat mengundi ultra kiasu, mempermainkan BN. Sebab itu, di kawasan bandar, Terengganu, kenapa PKR boleh menang.

Pas pun boleh melakukan perkara yang sama. Sama ada kekalkan atau tidak dalam PR. Berikan undi kepada orang Islam yang tidak menentang hudud, meskipun dia Umno. Tidak mustahil jika Umno menambah kerusi di Selangor, kerusi menteri besar mungkin menjadi milik Pas.

* Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UniSZA