MENYAMBUNG artikel minggu lalu, lembu import babi eksport berkaitan pertanian. Pergilah ke kedai atau pasar raya, lihat harga produk tempatan yang paling mudah hidup seperti pisang, keladi, keledek, ubi kayu, cempedak, durian belanda dan lain-lain.

Pasti harganya jauh lebih tinggi daripada ubi kentang yang diimport. Kenapa produk tempatan jauh lebih mahal daripada yang diimport?

Seorang petani memberikan respons, “Dasar Pertanian Negara sebenarnya sudah cukup bagus, namun perlaksanaannya sahaja yang perlu diperbaiki... banyak dipengaruhi oleh unsur politik serta pihak-pihak yang berkepentingan. Siapa yang untung?

Tanah kita bukan sahaja subur tetapi bermineral seperti bauksit. Malangnya kita jual tanah subur bagi mendapat keuntungan cepat. Kita tinggalkan tanah kontang dan gersang. Sedih sekali.

Sepanjang lebuh raya Utara-Selatan misalnya, jika ditanam pokok yang boleh mengenyangkan perut, tidak boleh dibayangkan kesannya kepada ekonomi negara. Tetapi sepanjang lebuh raya penuh dengan hutan dan semak-samun. Sesekali terlihat beberapa pokok jati.

Kepada UPM, Mardi, Jabatan Pertanian, Felda, Felcra, Risda dan sebagainya selaku pemegang taruh dalam bidang pertanian, berapa banyak tanah terbiar dimajukan? UPM misalnya, ke mana pergi kata keramat “Pertanian” setelah jadi “Putra”.

Dahulu, ada kedai telur, tetapi sudah ditutup. Kini, ada UPM Mart. Itu pun macam hidup segan mati tak mahu. Hasil produk mahal, produk luar lebih banyak daripada produk sendiri. Menjadi Research University, tetapi lebih banyak berteori daripada praktik.   

Saya pergi pusat semaian herba UPM untuk mencari anak benih. Pekerja yang telah pencen, tidak diganti. Kawasan semaian menjadi semak-samun. Bila ditanya kenapa tidak dijaga kawasan ini, jawapannya tiada pekerja. Kekuatan UPM sebenarnya dalam bidang apa?

Pergilah ke bawah kabel elektrik, lihat Cina bercucuk tanam. Mereka tidak pernah masuk UPM atau buat research. Tetapi tanah terbiar dimanfaatkan. Tabung Haji sibuk membuka ladang sampai ke Indonesia, tanah di tanah air sendiri terbiar.

Dalam sektor perikanan, kita masih berteori mengkaji kualiti hidup nelayan. Kualiti apa jika sebahagian nelayan dan anak-anak nelayan Pantai Timur mula terlibat dengan dadah.

Banding dengan kualiti hidup Cina di Bagan, termasuk Bagan Datoh. Majoriti Cina ada lesen laut dalam. Ini tidak termasuk lesen Melayu yang jual kepada mereka.

Nelayan Melayu hanya bermain di tepian pantai. Kita ada Universiti Awam yang membuat kajian kekayaan lautan dalam dan maritim, malangnya nelayan kita masih tidak ke mana.

Orang Cina, tidak ada pun kajian dibuat, tetapi mereka berani, berani gagal. Mereka redah lautan dalam, mereka menjadi kaya-raya. Kita terus berteori, teori yang tidak berpijak di bumi nyata.

Tiga hari Cina ke laut, keuntungan dikaut berlipat ganda. Perniagaan berkembang, daripada gudang kecil kepada gudang besar, sehingga boleh dieksport. Turut menjadi pengeluar produk berasaskan ikan dan bebola ikan. Tersenarai dalam bursa saham.

Lihatlah Pulau Ketam, Selangor. Siapakah yang menerokai dan menghuninya. Cina sanggup duduk dan bangunkan pulau. Hari ini pulau tersebut menjadi lubuk duit. Kita melopong.

Langkah yang mesti diambil. Pertama, kerajaan mesti laksanakan Dasar Pertanian Negara. Pertanian itu jihad, bukan hanya menjadi bahan kempen sedap di mulut. Kurangkan berpolitik.

Kedua, ibu bapa perlu disedarkan bahawa bertani adalah kerja mulia. Jangan asyik nak kan anak jadi doktor, jurutera, akauntan, peguam dan sebagainya. Tidak ada gunanya mereka jika rasuah. Jadikan mereka doktor tani dan doktor ikan.

Jika berasa terhina kerana membuat kerja ‘kotor’ sebab di tangan ada ijazah, kita ada ramai lagi yang gagal SPM, kenapa biarkan mereka melepak, merempit, mendedah dan mendadah?

Ketiga, gemblengan segala kekuatan semua agensi kerajaan terlibat. Jangan berpolitik dan mahu menunjuk pandai. Bayangkan jika Felda pada masa sama mengusahakan tanaman pisang, betik, ternakan, selain sawit dan getah. Betapa hebatnya kita hari ini?

Keempat, fokus kepada DPN meskipun menteri bertukar. Lupakan soal daun ketum, tetapi ingat nasihat Nabi: “Sesiapa yang memiliki tanah, hendaklah dia mengusahakannya, namun jika dia tidak berupaya melakukannya, maka hendaklah diberikan kepada saudaranya (supaya diusahakan) dan janganlah dia menyewakannya.” (Riwayat Abu Daud).

“Sesiapa yang menjayakan tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa (yakni tanah kerajaan), maka dia lebih berhak terhadapnya.” (Riwayat Imam Ahmad, Malik dan Bukhari).

Mohd Ridhuan Tee Abdullah,
INSPIRE/FUPL, UniSZA