ALLAH berfirman, ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, hai orang-orang yang mempunyai wawasan.” (Al-Hasyr, 59: 2)

Peristiwa MAS terpaksa berpatah balik, ekoran seorang penumpang (German) mabuk sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua, sebagai rakyat, dalam sebuah negara Islam, Malaysia. Kenapa tidak belajar daripada peristiwa buruk yang berlaku?

Tidak dinafikan ada sedikit kebaikan arak, kerana ada proses penapaian. Tetapi keburukan arak mengatasi kebaikannya, sebab itu ia diharamkan. Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi.

Katakanlah (Muhammad) pada keduanya ada dosa yang cukup besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya... (Al-Baqarah 2;219). Lihat juga an-Nisaa’: 43,  Al-Maidah: 90.

Nabi turut memberi amaran, arak adalah ibu daripada segala kejahatan, sama ada diambil secara berdikit atau pun banyak.

Nabi mengingatkan lagi, ALLAH akan melaknat sepuluh kumpulan manusia termasuk yang menjual atau memudahkan transaksi membekalkan arak, penghasil, penjual, penghantar, penolong membeli, pelayannya, pengguna wang hasil jualan arak, orang yang membelinya dan juga orang yang membeli arak daripada seseorang.”

Begitu juga dalam bible, minuman keras membuat orang mabuk dan merepek. Bodohlah orang yang menjadi mabuk (Proverb 20:1). Lihat juga Proverb 31:6-7, Ephesians 5:18.

Pendek kata, arak punca segala kejahatan. Arak telah menyebabkan masalah sosial dan hubungan kejiranan, kadar jenayah dan perceraian meningkat.

Justeru, apakah justifikasi ultra kiasu mahu arak dihalalkan? Teringat kata-kata Jomo Kenyatta, perdana menteri dan presiden pertama Kenya menjadikan saya tersentak.

When the Missionaries arrived, the Africans had the Land and the Missionaries had the Bible. They taught us how to pray with our eyes closed. When we opened them, they had the land and we had the Bible.

Bila berjumpa doktor, selain daripada merokok, soalan lain yang ditanya adalah “minum” atau tidak? Jika arak itu baik, beri wanita mengandung meminumnya. Begitu juga mereka yang memandu, termasuk pilot.

Sama juga dengan sokongan mereka ke atas Comango. Saya yakin mereka tahu bahawa pemangsanya adalah orang Islam. Maka, mereka mahu mangsakan kita semua agar kita tidak lagi sensitif terhadap agama, maka mudahlah bagi mereka untuk menghancurkan kita semua. 

Manusia di bawah pengaruh arak, tidak lagi sedar diri, seperti dadah. Otaknya tidak lagi rasional. Tidak hairan mereka bertindak ganas dan mengeluarkan kata-kata yang kotor.

Kes pelacuran, rogol, sumbang mahram, dan Aids, salah satu puncanya adalah daripada arak. Mengikut kajian di U.S. Department of Justice, setiap hari kes rogol berlaku disebabkan perogol dalam keadaan mabuk.

Lapan peratus rakyat Amerika melakukan sumbang mahram, satu daripada 12 rakyat mereka terlibat. Begitu juga dengan penularan  Aids. Pesakit utamanya adalah peminum arak.

Selain itu, pelbagai kajian telah dibuat mengenai mudarat arak. Antaranya, penyakit limpa dan hati, kanser kerongkong, kepala, leher, hati, usus dan sebagainya.

Begitu juga dengan tekanan darah tinggi, kerosakan hati, strok, sawan dan pelbagai jenis penyakit. Pendek kata, namakan sahaja apa penyakit, arak adalah antara penyumbang besar.

Kajian juga membuktikan, arak bermula dengan parti sosial (social drinker). Tidak ada peminum arak berniat menjadi peminum arak sejati. Tidak ada hujah untuk mengatakan kita tidak akan mabuk walaupun biasa minum arak.

Peliknya kenapa bila kerajaan negeri Melaka mahu mengharamkan arak di premis kedai 24 jam ditentang hebat oleh ultra kiasu. Akibatnya umat Islam terpaksa mengalah atas alasan hak asasi manusia. Nasib baiklah Terengganu dan Kelantan sudah lama melaksanakan.

Saya cadangkan tutup sahaja kilang arak yang tidak mendatangkan manfaat kepada manusia. Apatah lagi menghidangkannya dalam pesawat atau di mana sahaja, seperti yang dilakukan oleh Brunei. Ini kerana, semua agama menentang arak.

Tidak bolehkah semua kerajaan negeri lain turut mengikut langkah Terengganu dan Kelantan, terutama di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang. Jika Kristian di Sabah dan Sarawak yang turut menggunakan kalimah ALLAH, apakah mereka tidak takut dilaknat ALLAH membenarkan arak atas hal asasi manusia?

Kadangkala saya amat pelik, kita mengaku mahukan hak-hak agama, tetapi tindak-tanduk kita tidak menunjukkan sedemikian. Sebenarnya, kita mahukan agama atau tidak?

Kalau nak sangat minum arak, pastikan masuk syurga di akhirat nanti, kerana arak di sana ibarat air sungai yang mengalir. Minumlah sepuas-puasnya. Tetapi di dunia, tidak boleh, sebab membawa kerosakan. Ambillah pengajaran.

* Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA