SAYA cukup teruja dengan pandangan Pengerusi, Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK), Lim Kham Hong, berkata mereka menyambut baik usaha yang dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, memberi kaunseling kepada wanita berpakaian ketat, menjolok mata dan seksi.

Malah turut mengalu-alukan jika pendekatan sama dibuat kepada wanita bukan Islam dengan syarat ia tidak melanggar batas tertentu.

Secara peribadi kata Lim, beliau bersetuju sekiranya bukan Islam berpakaian sopan, sebab kalau terlampau mendedahkan aurat dia akan menjatuhkan imej masyarakat Cina Kelantan.

Terus-terang, orang Cina seperti inilah yang selalu saya puji dan hormat serta diramaikan. Tidak ultra kiasu. Saya tidak label semua Cina ultra kiasu.

Peliknya kenapa MCA dan ultra kiasu lain gatal punggung? Bukan kena pada mereka pun. Masih tidak kenal MCA dan rakannya? Musuh atau kawan? Syukurlah saya telah meninggalkan parti anti Islam ini? Melayu beri kemenangan, dia tentang balik Melayu.

Kenapa Cina Kelantan sebegitu lunak? Pertama, disebabkan oleh proses asimilasi. Cina Kelantan sudah tidak ada beza dengan Melayu. Mereka sangat memahami cara hidup dan sensitiviti orang Melayu.

Bukan seperti MCA. Mereka lebih memilih segregasi. Jenguklah laman web MCA, sepatah pun BM tidak digunakan, kecuali bahasa ibunda dan BI. MCA tinggal di mana? Hong Kong? Taiwan?

Saya cabar pemimpin mereka berbaju Melayu dan bertanjak dalam pembukaan Parlimen akan datang atau ketika berkunjung ke rumah terbuka PM sempena hari raya, jika MCA beranggapan bahawa Umno adalah rakan Melayu sejati mereka.

Pemimpin Umno dan Melayu lain telah tunjukkan keterbukaan dengan berpakaian Cina dan makan bersepit ketika menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina. Memanglah pakaian bukan segala-galanya, tetapi sekurang-kurang dapat menunjukkan siapa kita?

Kedua, sejak dahulu MCA tidak pernah lunak dengan Islam. Apa jua nilai-nilai Islam yang cuba diterapkan mesti ditentang. Misalnya, kaunter mengikut jantina, bonceng motosikal bukan mahram dan lain-lain lagi. Jangan cakaplah soal mahkamah syariah dan Akta 355.

Ketiga, pemimpinnya dan kalangan ultra kiasu memang suka yang singkat. Nak kata budaya Cina tidak juga. Sebab pakaian tradisi Cina amat bersopan. Tidakkah mereka berasa malu apabila berseluar pendek?

Keempat, atas alasan apa MCA mempertahankan pakaian seksi? Hak asasi manusia? Atau apa? Semuanya berpunca MCA dan sekutu ultra kiasunya tidak mahu nilai-nilai Islam mengakari negara ini. Mereka bimbang, jika ini berlaku, ia akan membawa kepada perlaksanaan hukum Islam.

Kelima, sudah sampai masanya MCA membina kekuatan di kawasan majoriti Cina, bukan menumpang undi ihsan orang Melayu. Ketika itu, saya bersetuju dengan lantikan menteri yang diberikan. Jangan jadikan Melayu serba salah untuk mengundi apabila MCA bertanding di kawasan majoriti Melayu. Akhirnya, pembangkang menang, MCA kalah.

Keenam, kepada pemimpin Umno, jika MCA masih berkeras untuk bertanding di kawasan Melayu sebelum ini dan meminta lagi kawasan baharu, yang mana kita sudah tahu dengan meletak MCA akan kalah, maka jangan dilayan sebelum Umno hilang kuasa pada PRU akan datang.

Ketujuh, punca segalanya adalah ekonomi. MCA takut perniagaan mereka terjejas jika Islam dilaksanakan. Jangan sama sekali kerajaan luluskan sebuah lagi bank MCA, Bank Koperasi Kojadi. Jika lulus, akan berleluasa lagilah perniagaan haram mereka dan menjadi ancaman kepada negara dan Melayu.  

Kesimpulannya, strategi politik matang ini mesti dilakukan sebelum terlambat. Trend pengundian politik Malaysia masih tidak dapat lari daripada garisan kaum, berbanding dengan negara Barat yang lebih terbuka.

Terus-terang, saya lebih suka pemimpin Cina BN dari Sabah dan Sarawak dilantik menjadi menteri menggantikan MCA, kerana mereka lebih memahami kehidupan bermasyarakat majmuk daripada parti ini.

Jika MCA ikhlas, buktikan dengan menyokong RUU 355 ini. MCA tidak rugi apa-apa sebab MCA akan terus menang di kawasan majoriti Melayu yang ditandingi. Kecuali MCA boleh buktikan mereka boleh menang satu kerusi di kawasan majoriti Cina.

* Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Felo Utama, INSPIRE dan pensyarah PPI, UniSZA