SETIAP daripada kita ada kepakaran masing-masing, mengikut jurusan yang dipelajari ketika di universiti. Seperti saya, pengkhususan dalam bidang sains politik. Sebab itu, saya banyak menulis mengenai isu-isu politik dan semasa.

Itu bukan bermakna, saya jahil dalam Islam. Jika tidak, apa erti saya memeluk Islam. Lagipun, ALLAH tidak sebut pula syurga itu, hanya untuk orang agama, tetapi untuk orang yang beriman dan bertakwa. Pendek kata, Islam ini untuk semua orang (manusia). Terpulang, sama ada nak masuk atau tidak.

Namun, bukan semua orang boleh bercakap pasal agama. Jika saya tidak tahu, maka saya akan merujuk kepada orang agama, kerana mereka pakar dan faham al-Quran dan hadis. Saya perlu merujuk mereka, kerana saya bukan pakar.  

Budaya ilmu sebegini seolah-olah tidak berlaku hari ini. Terlalu ramai mahu menjadi pakar. Dialah pakar dalam semua bidang, termasuk dalam bidang agama, meskipun sepatah ayat Quran tidak difahami.

Terbaharu, kenyataan kumpulan jahil yang diketuai oleh wanita gondol mengenai undang-undang khalwat. Kenyataan mereka semakin lama, semakin menyesatkan. Peliknya, perkara batil dan jahat tidak pula dibantah. Orang mahu menjadi baik, menjadikan dia marah.

Kumpulan ini amat bahaya jika dibiarkan berleluasa, kerana dia boleh menyesatkan manusia. Justeru, kita perlu mengenali ciri-ciri yang ada pada mereka.  

Antara cirinya adalah, pertama, yang benar dikatakan salah, yang salah dikatakan benar. Mereka bermati-matian mempertahankan pendapatnya yang disangka betul, walhal batil. Ingatan Nabi; sebahagian tanda-tanda hampirnya hari kiamat adalah banyaknya bacaan (ramai yang pandai membawa) dan sedikit antara yang mengerti agama, banyak umarak (pemimpin) tetapi ketenteraman berkurang (Riwayat Thabrani).

Kedua, si jahil ini dengan mudah mengutuk ulama jika pendapat ulama itu tidak mengikut nafsu dan ideologi mereka. Sedangkan, ulama mengeluarkan pendapat bersandarkan al-Quran dan Sunnah, si jahil ini menggunakan logik akal, malah ada mereka yang tidak boleh membaca al-Quran.

Saya tidak kata semua ulama itu betul dan kita perlu taksub kepada mereka. Tetapi itulah bidang kepakaran mereka, maka rujuklah jika ada ilmu yang bukan dalam bidang kepakaran kita.

Ketiga, si jahil ini begitu mudah membela orang jahil, daripada mereka yang berilmu. Jarang kita dengar kenyataan mereka menentang hak asasi manusia, seperti LGBT. Kerap kali mereka mengutuk ulama dan menghina undang-undang Islam.

Hari ini mereka mahu menghalalkan khalwat, katanya ia urusan peribadi. Adakah mereka selama ini suka dan tidak melarang anak-anak mereka berkhalwat? Jangan tersalah faham makna khalwat yang bersifat baik, mendekatkan diri dengan ALLAH.

Keempat, si jahil ini banyak terpengaruh dengan ajaran sesat seperti illuminati dan freemason, perosak agama. Kumpulan ini mempercayai kepada satu kuasa yang mereka puja. Kuasa itulah yang mereka kenali sebagai ‘tuhan atau god’. Tuhan yang mereka kenali sebagai the all seeing-eye, Mata yang dapat melihat segala sesuatu.

Itulah mata satu yang selalu digunakan. Simbol ini terdapat pada wang kertas Amerika, USD1. Ajaran ini tidak percaya kepada agama, lebih kepada membawa manusia menyembah syaitan. Kumpulan ini amat berbahaya jika mereka menguasai media elektronik.

Kelima, hanya mengambil petikan al-Quran yang berpihak kepada mereka. Walaupun ada yang boleh membaca al-Quran, mereka akan memilih-milih ayat-ayat al-Quran tertentu bagi menjustifikasikan tindakan. Misalnya, pada mereka wanita tidak wajib menutup kepala. Sebab itu, ramai yang gondol. Tidak mustahil golongan solat hanya menggunakan niat sahaja.  

Keenam, percaya kepada undang-undang manusia lebih daripada undang-undang ALLAH. Kumpulan ini lebih berbangga dengan perlembagaan penjajah daripada al-Quran dan Sunnah. Sumber ini akan diperlekeh dan sesiapa yang mengikutinya akan menjadi mundur dan Arabisation.

Akibatnya, jika si jahil ini berleluasa, maksiat akan turut bermaharajalela. Maka, akan berpestalah maksiat. Tidak ada lagi yang peduli dengan orang hal lain. Jaga tepi kain sendiri, jangan jaga tepi kain orang.

Lanjutan daripada itu, perpecahan sesama sendiri akan menjadi semakin menjadi-jadi. Ultra kiasu yang menang dan terus mengambil kesempatan. Akhirnya, tidak mustahil generasi akan datang menjadi semakin tenat kerana terdidik dalam keadaan jahil dan perpecahan tanpa sudah.

Ambillah ingatan ALLAH yang bermaksud: dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hari semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya (al-Israa, 36).

* Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE, PPA, UNISZA