BERSIH 4.0 nyata berbeza dengan bersih sebelum ini. Jika sebelum ini, majoriti pesertanya adalah orang Melayu (Islam). Tetapi pada kali ini berbeza sekali. Ultra kiasu paling ramai.

Sedangkan angka yang paling ditakuti mereka adalah angka 4 (si) bermakna mati. Lihat di mana-mana pun mereka berada, rumah, tingkat bangunan, lif dan sebagainya, nombor 4 pasti akan diganti dengan nombor 3A. 
 
Kenapa nombor 4 (si) atau mati sudah tidak lagi menakutkan? Adakah kerana ketuanya Cina Muslim? Saya tidak fikir dia tidak percaya kepada angka kerana darah Cina masih mengalir dalam badannya, sama seperti saya.

Sampai sekarang saya masih fobia kerana pembawaan sejak kecil. Kenapa kali ini jadi tidak percaya? Jawapannya, demi kuasa, mereka sudah tidak takut mati. Sebab, yang mahu “dimatikan”, bukan dia tetapi orang lain.
 
Watak yang ingin “dimatikan” adalah PM dan Presiden Pas. Sebab itu, penganjur Bersih 4.0 tidak berasa bersalah ke atas insiden memijak gambar kedua pemimpin ulung ini, oleh anak muda mereka. Inilah generasi yang dilahirkan oleh ultra kiasu hari ini. Mahukan orang lain mati, mereka sahaja yang hidup dan dapat berkuasa. 
 
Ada beranggapan bahawa memijak gambar itu perkara kecil. Jika sekadar memijak gambar Mat Sabu atau mungkin gambar saya, ya...itu mungkin kecil. Tetapi PM adalah pemimpin tertinggi negara. Manakala Presiden Pas, adalah presiden parti Islam dan juga Naib Ketua, Kesatuan Ulama’ Sedunia. 
 
Lebih menjengkelkan apabila pemimpin Parti Pekerja Malaysia mengatakan insiden ini tidak perlu diperbesarkan, kerana ia akan menjadi pengundi Cina jauh dari Pas. Apakah kewujudan Pas hanya untuk mendapat undi dan kuasa sama seperti parti lain?

Tidakkah kewujudan Pas lebih dari itu? Tanggungjawab, dakwah, kuasa dan lain-lain. Jika Pas kebulurkan kuasa, sudah lama Pas menjilat ultra kiasu. Kenapa hubungan Pas dengan PR terputus?
 
Nampak sangat Parti Pekerja Malaysia ini jahil dalam memahami dan menyertai Pas sekian lama. Perjuangan mereka semata-mata untuk kuasa, bukan yang lain. Sepatutnya awal-awal ini orang sebegini ditendang keluar. Orang sebegini tidak boleh dipercayai, sama seperti ultra kiasu. 
 
Dalam diri mereka penuh kebencian terhadap kerajaan. Sehinggakan  mereka tidak boleh bezakan antara parti memerintah (ruling party) dengan kerajaan. Ini akibatnya apabila tidak mengaji ilmu politik. 
 
Mereka boleh benci kepada parti, tetapi mereka tidak sama sekali benci dengan kerajaan, kerana kedua-duanya adalah perkara berbeza. Umno (BN) adalah parti yang memerintah kerajaan, sama seperti Pas di Kelantan, PKR di Selangor dan ultra kiasu di Pulau Pinang. 
 
Kerajaan Malaysia, Kerajaan Kelantan, kerajaan mana pun, kerajaan tidak bersalah, kerajaan sudah tertegak apabila negara sudah berdaulat atau merdeka. Kerajaan sudah wujud sebelum parti politik wujud.
 
Saya boleh benci pimpinan ultra kiasu, tetapi saya tidak boleh benci kepada Kerajaan Pulau Pinang atau Selangor. Kerajaan tidak bersalah, tetapi orang yang menerajui kerajaan itu yang salah kerana menyalahgunakan kuasa. 
 
Amat memalukan apabila menonton klip video di luar negara, kerana marahkan Perdana Menteri, mereka sanggup berkata “shame on you Malaysian government”. Orang sebegini tidak sepatutnya menjadi warganegara dan sepatutnya dihalang masuk Malaysia. Gunakan akta baharu, Pota bagi tujuan itu. 
 
Perdana Menteri mengetuai kerajaan. Beliau dipilih secara sah melalui saluran demokrasi. Jika tidak suka, tunggu sahaja PRU akan datang, seperti yang disebut oleh Presiden Pas. Platform Bersih hanya boleh menyuarakan, bukan menjatuhkan. 
 
Racun-racun kebencian terhadap kerajaan yang ditanam oleh ultra kiasu dalam minda kaum Cina di negara ini hanya akan merosakkan nama orang dan kaum Cina yang tidak bersalah.
 
Ramai rakan WhatsApp saya begitu benci dengan orang Cina selepas Bersih 4.0, sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata tersangat kesat. Saya respons, Islam tidak mengajar kita benci sebegini.

Jangan benci orang Cina kerana dia Cina. Orang Cina juga adalah makhluk jadian ALLAH. Mereka adalah khalifah seperti kita juga. Khalifah lebih mulia daripada makhluk lain. Bezanya hanya tidak seagama.  
 
Yang kita benci hanya sikap ultra kiasunya. Sikap itu yang perlu diperbetulkan, bukan membenci orang Cina. Jika kita benci Cina, bermakna kita benci kepada makhluk ALLAH. Hatta, babi yang diharamkan ALLAH untuk dimakan pun kita tidak boleh benci kerana ia tetap makhluk ALLAH.

Menjadi kewajipan kepada kita membantu orang Cina jika mereka kesusahan atau memerlukan pertolongan. Saya amat mengharapkan kita tidak terlalu beremosi selepas Bersih 4.0. 
 
Saya amat tertarik dengan pendapat Cheah Sin Chong, kebanyakan masyarakat Cina yang menyokong ultra kiasu tidak dapat berfikir secara matang dan rasional berikutan hidup mereka mewah dan tidak merasai kesusahan. Tidak ramai orang seperti Sin Cheong di Malaysia.
 
* Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA