APA jaminan pengganti Najib akan menjadikan Malaysia lebih baik? Inilah yang perlu difikirkan. Justeru, berhati-hatilah agar tidak terpedaya dengan perancangan licik ultra kiasu, sama ada yang Islam atau tidak. Apakah kita sudah buta dengan matlamat menghalalkan cara mereka untuk mengaburi mata kita?

Mereka sedar, raja atau rakyat Malaysia tidak akan menerima ultra kiasu Cina sebagai PM. Namun, mereka sudah bersedia dengan calon ultra kiasu Melayu. Malangnya, ultra kiasu Melayu masih tidak sedar mereka diperalatkan. Jika adapun yang sedar, kuasa itu lebih utama daripada yang lain meskipun terpaksa menjadi boneka.

Tahniah kepada Pas atas pendirian bijaksananya untuk tidak menjatuhkan pemimpin negara ini secara tidak demokratik seperti yang sedang diusahakan oleh musuh Islam.

Pas mengambil pendirian tidak bermusuhan dengan pemimpin (ahli) Umno, sebaliknya bermusuhan dengan parti Umno itu sendiri. Ini politik matang. Orang Umno masih Islam. Jangan layan Umno seperti orang kafir. Jika dengan si kafir kita boleh berpeluk dan bercium mulut, kenapa sesama Islam perlu bergaduh sehingga menghancurkan negara?

Sejak dahulu Pas konsisten. Pas bukanlah parti yang kemaruk kuasa. Agenda Pas adalah untuk menegakkan syiar dan undang-undang Islam, jika diizinkan ALLAH. Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz pernah berkata Pas akan dibubarkan jika Umno laksanakan Islam.

Pendirian ini sepatutnya menjadi Umno sedar. Janganlah lagi berseteru dengan Pas. Fikirkanlah hasrat untuk mengimarahkan bumi ALLAH ini dengan Islam. Islamlah, kamu nescaya selamat.

Dalam situasi hari ini, jika Pas mengambil pendirian menyokong ultra kiasu, terbaharu kumpulan Tun Mahathir dan Umno lain, yang mahu menjatuhkan PM, sudah tentu kedudukan PM goyang. Tetapi Pas bertindak sebaliknya, meskipun ada peluang keemasan.

Pas boleh memanipulasikan segala ruang dan peluang untuk menjatuhkan PM dalam keadaan kritikal ini. Tetapi Pas menunjukkan politik matang berhikmah. Tidak mustahil Pas boleh menggantikan Umno. Jika Umno masih tidak berubah.

Cadangan berikut hendaklah diambil kira oleh pimpinan Umno. Pertama, jangan terlalu menyangka diri sendiri kuat. Mengeluarkan kenyataan bongkak. Mulakanlah dengan program tarbiah hati dalam kalangan pemimpin Umno dan ahli supaya lebih mengutamakan rakyat daripada perut. Kurangkan cakap, banyakkan kerja.

Kedua, realisasikan tag line 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Rakyat mahu melihat apa yang telah didahulukan. Saya memuji tindakan MB Perak yang sanggup tidur bersama rakyat di dalam masjid.  

Ketiga, segera laksanakan cara hidup Islam, jika masih berasakan undang-undang Islam tidak sesuai dalam masyarakat majmuk. Sekurang-kurangnya mulakan dengan mengamalkan cara hidup Islam untuk rakyat yang beragama Islam. Perkasakan maqasid syariah dan mahkamah syariah.

Keempat, Umno tidak perlu bertanding di kawasan yang telah dimenangi oleh Pas. Jika ultra kiasu mahu meletakkan calonnya melawan Pas, sama ada daripada ultra kiasu atau Melayu, maka Umno perlu menarik diri daripada bertanding. Berikanlah undi tersebut kepada Pas, bagi mengekalkan kemenangan Pas. Jika Umno dan Pas tidak mungkin bersatu, perlu ada perkongsian strategik.

Kelima, sebaliknya juga Pas tidak perlulah bertanding di kawasan kubu kuat Umno. Biar ultra kiasu Melayu sahaja yang bergasak. Ahli Pas, pakat-pakat undi Umno, seperti yang ultra kiasu lakukan kepada partinya.

Keenam, biarkanlah PM Najib terus menerajui Malaysia hingga berakhir penggal. Ikutlah proses demokratik. Setiap pemimpin datang dan pergi. Ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Pemimpin terdahulu ada juga kelemahan, tetapi berjaya ditutup dengan kejayaan. Pastinya PM ada resipi kejayaan untuk memperbaiki kesilapan yang dilakukan.

Ketujuh, apakah kita tidak nampak sumbangan PM kepada dunia Islam? Mendamaikan umat Islam yang berkonflik di Timur Tengah. Begitu juga minoriti Islam di negara bukan Islam, seperti Selatan Filipina dan lain-lain. Kita adalah contoh terbaik kalangan negara Islam hari ini, terutama mempelopori ekonomi Islam.

Kelapan, kepada yang telah mengambil keputusan keluar daripada Umno, cukup dengan serangan yang telah dilakukan. Banyakkan saranan daripada tekanan. Jangan biarkan negara ini hancurkan disebabkan oleh satu kesilapan. PM sedang sedaya upaya untuk menyelesaikan kemelut ini.

Mungkin inilah pertimbangan Pas terhadap PM. Jika tidak, sudah tentu peluang ini digunakan untuk membenamkan Umno. Apa kepentingan pemimpin Pas pada usia senja sebegini? Fikirkanlah.

Kepada Umno bangunlah daripada kebongkakan. Bertaubatlah sebelum terlambat. Pemimpin Umno tidak akan dipandang mulia selagi mana mereka tidak kembali kepada ajaran Islam dan berakhlak dengannya. Masalah semakin berlarutan kerana kita jauh daripada tali ALLAH.

* Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Felo Utama, INSPIRE dan pensyarah PPI, UniSZA