APA matlamat program realiti TV terutama yang berbentuk keagamaan? Mencungkil bakat baharu? Mewarnakan dunia dakwah? Mencari glamor? Atau mahu mencari keuntungan lumayan? Ini yang menjadi kebimbangan.

Kebelakangan ini, program realiti TV agama semakin mendapat sambutan,  Semua stesen TV berlumba-lumba menerbitkannya. Para peserta tidak dipilih berasaskan kepada kehebatan ilmunya, tetapi lebih kepada kebolehan melawak dan menyanyi.

Sedih! bila melihat, buka sahaja mulut, tiba-tiba dah melawak, tiba-tiba dah sedih. "Apo ko bendo ni!" Perlu diingat, asas program realiti adalah ilmu dan dakwah. Kebolehan dan kepintaran menyampaikan sesuatu dengan baik, itulah kehebatannya.   

Pengucapan awam adalah suatu cabang ilmu dan seni. Seperti juga seni suara yang memerlukan kepada kemahiran vokal dan pitching. Ia perlu dipelajari. Nasihat pakar. Bukan pakai terjah. Terus ke pentas semberono, walaupun tidak dinafikan ada yang berjaya.

Amat malang sekali apabila tenaga pengajar tidak dapat memberikan konsep-konsep asas dalam pengucapan awam seperti ethos, pathos dan logos. Walaupun teori ini datang dari barat, mahu tidak mahu kita perlu menimbanya. Sudah tentu kita akan menjadi lebih hebat apabila dikaitkan dengan teknik pengucapan awam Baginda Rasulullah SAW.

Sedih sekali apabila kita hanya mengajar peserta program realiti menghafal apa yang mahu mereka ucapkan. Sehari suntuk kerjanya menghafal. Bila terlupa skrip, mulalah terkial-terkial. Apabila soalan ditanyakan secara spontan, menjadi terkulat-kulat. Begitulah canggungnya bila ilmu tidak mantap.

Pelopor teori pengucapan awam, Socrates mengemukakan tiga konsep dalam ilmu pengucapan awam iaitu ethos, pathos, dan logos. Tiga konsep komunikasi ini sangat berguna dan bermanfaat bagi kita semua dalam apa bidang sekalipun. Bacalah wahai para pendakwah untuk memantapkan lagi dunia dakwah.

Ethos adalah karakter (kredibiliti) daripada seorang penceramah. Sebelum penceramah memulakan syarahannya, persoalan berikut perlu diajukan. Adakah orang mempercayai diri kita? Justeru, diri kita mesti baik dan boleh dicontohi. Cakap mesti serupa bikin. Jadilah diri sendiri dan bukannya meniru orang lain. Tingkatkan kepakaran ilmu dan keterampilan. Tonjolkan keaslian diri atau personal branding, ditambah dengan disiplin diri yang tinggi.

Manakala pathos adalah emotional appeals. Kebolehan penceramah mempengaruhi emosi penonton melalui gaya bahasa dan keterampilannya. Kita seolah-olah terpukau dengan ceramah yang disampaikan. Kadangkala air mata membasahi pipi tanpa disedari, tanpa dibuat-buat, seperti yang berlaku dalam realiti hari ini, termasuk penceramah yang dikategorikan terkenal. Penggunaan cerita, lawak jenaka, visual (gambar atau video), bahasa badan, penekanan kata atau intonasi boleh menarik perhatian.

Logos adalah bukti logik dengan sokongan fakta dan statistik yang disampaikan oleh penceramah. Elakkan cakap kosong atau mengada-ngadakan cerita tanpa bukti logik. Sebagai seorang Islam, sudah tentu sandaran al-Quran dan Hadis amat dialu-alukan.

Justeru, bagaimana mengembangkan logos ketika berceramah? Pastikan ada tiga perkara, mudah difahami, hujah yang konkrit, dan disertakan dengan bukti fakta serta statistik.

Elakkan memberi fakta yang sulit dan rumit sehingga sukar difahami dan diterima logik. Jika tidak, cerita tidak masuk akal, maka tidak perlulah dijaja semata-mata untuk menarik emosi seseorang. Misalnya, cerita-cerita Israeliyyat dan hadis palsu.

Yakinlah! sesuatu hujah yang berlandaskan fakta dan contoh-contoh konkrit cenderung lebih mudah diterima oleh penonton. Semakin baik fakta yang ditunjukkan maka semakin besar pula kepercayaan penonton terhadap diri kita.

Amat malang sekali mendengar ceramah, tiba-tiba, belum apa-apa penceramah sudah menangis, seolah-olah dibuat. Sedangkan tangisan itu perlu datang dari hati, barulah kita boleh mempengaruhi penonton.

Jika semua tiga komponen ini ada, kita tidak perlu ada rasa bimbang terhadap kepercayaan penonton. Namun, jika sebaliknya, buatlah atau berilah latihan sebanyak dan selama mana sekali, peserta program realiti tidak akan ke mana.

Begitu juga selebriti (artis) yang bertanya soalan atau para juri. Apabila berada dalam pentas agama, mereka seolah-olah seperti malaikat, bertanyakan soalan yang cukup Islamik. Keluar dari dewan realiti agama, sudah menjadi orang lain. Apakah Islam ini seperti cerita filem, adakalanya berlakon baik, adakalanya jahat. Masuk masjid jadi mujahid, keluar masjid menjadi mujahat. Adakah ini bentuk Islam yang ingin ditonjolkan? Tidakkah Islam itu way of life? Insaflah semua, kembalilah kepada jalan yang benar.


* Prof DR Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPA, UNISZA