KETIKA lahir, bayi menangis, orang lain melihat, tersenyum. Ketika mati, mayat tersenyum, orang lain melihat, menangis. Terasa kehilangan.

Ketika berkuasa, keberadaanmu disenangi. Tanpa kuasa, orang lain terasa rugi, terasa sepi. Namun, ke mana pergi, dituruti dan diikuti. Dapat bersalaman, peluk, cium pun jadilah. Bila mati, terasa kehilangan di hati. Pemergian ditangisi, kerana tidak ada galang ganti. Kenapa? Iman dan takwa tidak boleh dijual beli.

Harganya terlalu mahal. Itulah Tok Guru Nik Aziz (TGNA). Mendengar pemergiannya, secara tidak disedari, air mata ini berlinangan, walaupun saya tidak rapat dengan TGNA, tetapi pernah beberapa kali bertemu dan bersalaman. Melihat rumah dan pondoknya dari jauh.

Ada dalam beberapa perkara, saya tidak sependapat dengan TGNA, terutama mengenai ultra kiasu, tetapi itu bukan bermakna, saya menolak segala kebaikannya. Sifat tawaduk, zuhud dan gaya kepemimpinan TGNA amat saya kagumi.

Meskipun ada yang mendakwa Kelantan tidak maju, tetapi jauh di lubuk hati saya berkata bandar raya Kota Bharu, jauh lebih membangun dari bandar raya yang lain. Ingat, jangan ukur kemajuan dengan hanya kaca mata dunia semata, lihatlah sama dari kaca mata akhirat.

Tidak ramai pemimpin boleh ‘menolak dunia’ ketika berkuasa. Tetapi itulah TGNA. Bukan seperti kita, kadangkala baru sahaja dilantik jadi pemimpin sudah kaya.
Kehebatan TGNA menjadi sebutan sejak dahulu. Saya tidak pernah taksub kepada TGNA.

Ketika wacana di Kota Bharu, suatu ketika dahulu, saya ditanya kenal atau tidak dengan TGNA. Saya jawab, kenal. Tetapi saya tidak taksub.

Sebab itu, bila melihat gambar yang dikirim rakan-rakan dalam laman sosial, tentang awan mendung yang berarak, kalimah ALLAH terbentuk dan perkara pelik berlaku ketika pengebumian TGNA, saya tidak teruja untuk melihat. Itu secara kebetulan, saya berceramah pun awan mendung.

Bukan itu yang kita mahu lihat atau dengar tentang TGNA. Tetapi perkara lain yang lebih penting. Kehidupan, wibawa dan cara berpolitik. Soal lain yang pelik berlaku, serah kepada ALLAH.

Mana mungkin kita berjumpa dengan pemimpin seperti ini. Setiap pagi, TGNA menjadi imam Subuh dan memberi tazkirah. Makan minum seperti rakyat biasa.

Rumah dibuat daripada kayu, tiada marmar, atau hiasan yang mahal-mahal. Rumah tidak berpagar, tiada pengawal, apatah lagi CCTV. Sesiapa boleh masuk keluar berjumpa.

Ketika berkuasa, elaun rumah dan keraian, elaun buka puasa, malah elaun hari raya pun tidak pernah diambil. Sehingga hujung nyawanya, tetap istiqamah dengan Islam. Memberi amaran kepada ultra kiasu supaya jangan campuri urusan Kelantan untuk melaksanakan Islam.

Hina sungguh kepada mereka yang menjatuhkan fitnah kepada TGNA. Apatah lagi menyebarkan gambar-gambar TGNA yang tidak sesuai. Ingatlah, amaran ALLAH dalam surah An-Nur: 19 - "Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) ALLAH mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)."

Sempena dengan pemergian TGNA, saya merayu kepada semua umat Islam, tanpa mengira parti dan ideologi. Pertama, contohilah gaya kepemimpinan TGNA, walaupun tidak kesemuanya mampu untuk kita ikuti. Jangan dikutuk dan dihina insan yang telah pergi dan banyak berjasa.

Saya memuji PM dan isteri, MB Terengganu, serta pemimpin yang tidak bersefahaman, kerana menziarahi keluarga TGNA. Itulah sifat negarawan seadanya.
Kedua, jadikanlah TGNA sebagai katalis perpaduan umat Islam.

Umno tidak perlu bertanding di Dun Chempaka. Kalau boleh selepas ini, biarkan sahaja Kelantan di bawah Pas. Tidak perlu bertanding. Kita tidak akan rugi apa-apa, jika itu yang rakyat suka. Kelantan tidak pula makin mundur. Pi mai pi mai, di tangan umat Islam juga.

Kalau nak rampas juga, bukanlah Kelantan, tetapi Pulau Pinang dan negeri yang dikuasai ultra kiasu. Seteruk-teruk Kelantan, integriti masih lagi lebih baik berbanding negeri lain. Untuk BN kembali merampas Kelantan, selaku pengkaji politik, saya fikir hanya sia-sia.

Apatah lagi setelah perginya TGNA. Lagi 20 tahun pun belum tentu dapat. Gunakanlah wang ringgit bertanding dan kempen pilihan raya, untuk membantu mereka yang memerlukan, terutama mangsa banjir.

Ketiga, suka atau tidak, jika Umno mahu kekal berkuasa dan menambah kerusi, gaya kepemimpinan TGNA harus diikuti, terutama integritinya. Pastikan pemimpin cawangan, bahagian, negeri dan pusat meneladani. Berikanlah royalti. Ingat, kuasa bukan tiket untuk jadi kaya, tetapi untuk menghambakan diri kepada ALLAH dan memakmurkan anugerahNya.

Akhirnya, sejuk hati dan sangat teruja melihat isteri PM, datang menziarahi keluarga TGNA dengan bertudung. Alangkah baik jika terus dikekalkan. Rakyat pasti suka. Maaf, jika terlanjur berbicara.


* Penulis ialah pensyarah Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam, UniSZA