Mari kita bincangkan apa yang betul, apa yang salah, daripada menuding jari siapa betul siapa salah, mengenai pembangunan melibatkan dua blok kondominium 29 tingkat, disambung bersekali dengan pusat komersial di Batu Caves, yang sedang hangat diperkatakan.

Sekadar makluman, Batu Caves di mana terletak semua kuil dan patung itu, adalah tanah kerajaan yang diwartakan sebagai kawasan pelancongan. Bukan hak milik individu, kecuali kawasan persekitaran yang dimiliki individu dan syarikat tertentu, termasuk pemaju perumahan.

Bila disebut tanah kerajaan, sudah tentu ada keterbatasan dalam usaha membangunkan kawasan tersebut. Kerajaan Tempatan (Negeri dan Pusat) mesti dirujuk setiap masa dan ketika. Tidak ketinggalan pihak swasta yang mahu membangunkan kawasan kepunyaannya, termasuk rumah individu. Segala laporan berkaitan mesti disediakan sebelum kelulusan arahan merancang dikeluarkan. Setiap pemaju/individu, mesti akur dengan kehendak dan syarat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Saya kagum dengan keterbukaan rakyat Malaysia, terutama orang Islam meraikan kepelbagaian. Jika di negara lain, jangan harap orang Islam dapat diberi peluang sebegini. Bukan itu sahaja, walaupun bilangan umat Islam majoriti, bilangan surau dan masjid tidaklah sebanyak rumah penyembahan bukan Islam yang melebihi 200,000. Justeru, hargailah toleransi ini dan patuhi undang-undang dan Perlembagaan.

Lihat lagi toleransi yang berlaku, setelah menerima protes, Kerajaan Negeri dan kerajaan mahukan projek pembinaan tersebut dihentikan buat sementara. Sebuah jawatankuasa bertindak bebas akan dibentuk untuk menyelesaikan masalah ini. Ini adalah satu tindakan yang betul dan bijak dalam menangani hubungan antara agama. Apa juga keputusannya nanti terimalah dengan hati terbuka. Jika dikirakan rumah ibadat yang menjadi korban, berapa banyak surau dan masjid yang menjadi mangsa kerana memberi laluan kepada pembangunan.

Justeru, agak sukar untuk kita menerima alasan bahawa Batu Caves akan terlindung apabila pembinaan tersebut berlaku. Apa masalah jika terlindung sekalipun? Banyak bangunan bersejarah negara terlindung. Perlukah Batu Caves ditayangkan sepenuhnya untuk dilihat orang ramai dari lebuh raya. Bagaimana dengan sensitiviti orang Islam melihat patung-patung saban hari? Adakah perasaan mereka diambil kira?

Ditakdirkan patung tertinggi itu tumbang satu hari nanti, siapakah yang akan dipersalahkan? Sudahnya PBT akan dipersalahkan kerana tidak memantau pembinaannya sejak awal.

Saya tidak menyokong mana-mana pihak, kerana semuanya bertanggungjawab. Lagipun Islam menghormati hak bukan Islam untuk menjalani ibadahnya. Tidak perlulah menuding jari. Apa yang penting tindakan nanti haruslah berpandu kepada apa yang benar, apa yang salah, bukannya takut dengan ugutan atau undi pilihan raya.

Hujah yang mengatakan bahawa pembinaannya akan membahayakan nyawa pengunjung kuil dan pelancong dari seluruh dunia akibat (kemungkinan) benda jatuh berikutan pembangunan besar-besaran di tempat berhampiran kuil ini, hanyalah alasan. Pemaju lebih maklum tentang aspek keselamatan pembangunan hartanah.

Pada saya, langkah terbaik ialah  mengambil tindakan undang-undang jika apa yang dilakukan pemaju perumahan itu tidak betul. Isu sebenarnya adalah kepentingan individu, bukanlah isu agama. Saya amat mengharapkan PBT, Kerajaan Negeri dan pihak berkaitan dapat berbincang secara terbuka berkaitan isu ini dengan lapang dada.

Pihak pemaju mempunyai hak ke atas tanahnya bagi tujuan pembangunan setelah mengambil kira bantahan sebelum pembangunan dijalankan. Apatah lagi setelah diluluskan dalam mesyuarat penuh majlis pada 2008 dan disokong pihak yang menentang.

Persoalannya, ditakdirkan bantahan ini berjaya, siapakah yang akan bayar pampasan kepada pemaju, yang sudah mengeluarkan banyak belanja melakukan  kerja awal di sana? Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negeri?