MINGGU lalu saya berada di Brunei, mengisi Majlis Ilmu 2014, undangan Jabatan Perdana Menteri Brunei, membentangkan kertas kerja bertajuk 'Manfaatkan Sains Martabatkan Islam'.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Sultan Brunei, bertemakan sains dan teknologi pemangkin pembangunan dan meningkatkan kualiti hidup ummah.

Ucapan baginda sultan penuh dengan penegasan dalam melaksanakan Islam tanpa menolak kepentingan sains dan teknologi. Sains dan teknologi akan terus diperkasa menjadikan Brunei negara maju 2035.

Selepas perasmian, Mufti Brunei memberi ucaptama dan sultan turut berada sama dan begitu khusyuk mendengar. Saya tersangat ingin perkara itu berlaku di Malaysia.

Ucapan mufti begitu bernas dan tegas di hadapan pemimpin tertinggi negara itu. Sains dan teknologi mesti berpandukan iman dan takwa.

Secara tegas dan berani ucapan itu dituju kepada pemimpin negara. Soal syurga, neraka dan balasan akhirat dibangkitkan jika pemimpin tidak melaksanakan tanggungjawabnya.

Walaupun fokus utama mengenai kepentingan institusi sedekah, tetapi isinya tidak lari daripada mengingatkan pemimpin negara, secara terang dan berani. 

Apakah kita di sini ada keberanian seperti itu? Setakat yang saya lihat, tidak ramai kalangan kita yang berani menegur pemerintah, meskipun secara berhikmah. Yang banyak adalah ucapan memuji dan membodek pemimpin untuk kekal kuasa, dapat kuasa dan habuan yang lain.

Bilakah negara kita ingin mencontohi Brunei? Semua pemimpinnya mahukan Islam, dan yakin dengan hukum ALLAH yang mesti ditegakkan.

Saya akur, negara kita bukan Brunei. Bukan Islam hampir separuh. Tetapi, sekurang-kurangnya mulakanlah dengan melaksanakan cara hidup beragama, kalaupun tidak mahu nama Islam itu ditonjolkan.

Misalnya, budaya dan tatacara berada di dalam pesawat. Berada di dalam Royal Brunei Airlines (RBA), seolah-olah begitu yakin berada di udara, ALLAH bersama kita. Dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan salam yang begitu indah.

Anak-anak kapal begitu bersopan dan manis sekali. Pakaiannya menutup aurat. Makanannya semua halal. Tidak ada arak dan benda haram yang lain.

RBA tetap penuh dengan penumpang tempatan dan asing. Brunei terus menjadi tumpuan pelancong. Tidak timbul soal laksanakan Islam, pelancong lari dari Brunei. Semakin ramai ada.

Inilah rahmat ALLAH yang mesti kita yakini. Apakah benar kata-kata jika arak tidak dihidangkan di dalam pesawat, pelancong akan lari.

Bukankah pelancong sudah bermandikan arak di negara mereka sendiri? Paling saya bimbang, yang suka arak bukan pelancong, tetapi kita.

Lagi pula, arak kita tidaklah sebaik arak mereka. Arak yang dihidangkan itu pun jenama negara mereka juga.

Kenapa kita takut untuk melaksanakan nilai-nilai murni dan adab sopan beragama di dalam sebuah negara yang kita isytihar sebagai negara Islam? Benar, negara Brunei adalah hampir seratus peratus Islam. Maka mudahlah bagi mereka melaksanakan hukum Islam.

Paling tidak pun mulakanlah dengan melaksanakan nilai-nilai agama. Saya amat yakin, semua nilai baik Islam sesuai dan akan diterima oleh agama lain. Pokoknya kita mesti ada keberanian.

Malangnya dalam perkara sekecil adab-adab di dalam pesawat pun kita tidak pernah berasa untuk melaksanakannya. Apakah pengajaran MH17 dan MH370 masih belum cukup lagi?

Ini belum termasuk isu-isu besar lain seperti zina, judi, hubungan sejenis, seks bebas, rasuah dan sebagainya. Saya tidak nafikan, hukuman itu telah ada.

Tetapi perlaksanaan masih tidak mencukupi. Kita terlalu takut kepada gerakan hak asasi manusia. Kenapa hak ALLAH tidak mahu dijaga? Bukankah orang bukan Islam juga mahu berkongsi ALLAH? Jadi, apa masalah melaksanakan hak ALLAH?

Contoh kecil lain, adab berpakaian sopan. Pergilah ke jabatan kerajaan yang selalu menjadi tumpuan, seperti Jabatan Pendaftaran Negara, imigresen, polis dan sebagainya.

Mesti ada notis ditampal mengatakan adab berpakaian bila berurusan. Peliknya, kita masih melayan pelanggan yang memakai seluar sejengkal panjangnya, sehingga sudah nampak....

Justeru, nasihat saya, sebelum bala ALLAH menimpa, mulakanlah dengan melaksanakan nilai-nilai murni agama. Usah pedulikan mereka yang tidak mahu masuk syurga. Mereka ini tajaan barat untuk menghancurkan umat Islam di negara kita.

Lakukanlah seperti apa yang Brunei lakukan. Baginda sultan tidak pernah ambil kisah apa masyarakat antarabangsa atau hak asasi manusia akan kata. Paling penting bagi baginda adalah mencari reda ALLAH dan mengelakkan azab-Nya yang amat pedih. Berhijrahlah sebelum terlambat.