SEDAR atau tidak, sejak akhir-akhir ini laman web dan akhbar ultra kiasu sengaja mensensasikan isu-isu tertentu yang ada kena-mengena dengan Islam, memburuk imej Islam, seolah-olah menampakkan negara Malaysia mengamalkan dasar ‘taliban’. 

Psywar dan psyop ultra kiasu adalah, apa sahaja perkara yang merugikan Islam akan disensasikan, agar orang jauh dari Islam. Strateginya, kepada orang Islam, meliberalkan mereka. Manakala, kepada bukan Islam, menjauhkan mereka dari Islam, agar mereka tidak mudah tertarik kepada agama Islam dan seterusnya beralih kepada agama lain.  

Misalnya, isu berpakaian tidak sopan (menjolok mata) ketika berurusan dengan pejabat kerajaan. Ini bukan isu baharu. Sudah lama peringatan dan kenyataan dipaparkan. Mereka sengaja gatal dan mahu menguji kita. Mahu jadikan Malaysia lebih barat dari barat. 

Malangnya jabatan kerajaan terbabit, tanpa usul periksa dan takut hilang jawatan, cepat melatah, terus meminta maaf, apabila pengawal keselamatan melaksanakan tanggungjawabnya. Adakah peraturan itu salah? Adakah suatu masa nanti, bila ultra kiasu bertelanjang ke pejabat, baru nak bertindak? Tidak ada agama yang membenarkan pakaian menjolok mata. 

Ini bukan soal kita suka melihat bahagian atas atau bawah wanita. Saya tidak berminat, nak termuntah. Persoalannya, kenapa suka sangat dedah dan belah? Tidak takut digigit serangga? Kelakar sungguh melihat mereka yang berskirt terlalu pendek, apabila duduk dalam kenderaan awam seperti bas dan LRT, terkulat-kulat mengepit pahanya serta cuba menarik skirtnya agar turun sedikit. 

Selalu saya lihat, kalangan mereka suka memakai baju nampak ketiak dan berseluar tersangat pendek, sehingga nampak yang tersurat tersirat. Apa yang nak ditunjukkan? Bila kena raba, marah! Apa semua ini! Nak show off kah?  

Inilah perjuangan mereka, ke arah negara sekular, demokrasi tanpa had dan hak asasi mutlak. Begitu juga soal seks bebas, LGBT dan sebagainya. Apakah umat Islam yang menyokong dan menyertai ultra kiasu tidak sedar bahawa tindakan mereka boleh menjejaskan akidah? 

Amat tepatlah sekali kenyataan Presiden Pas bahawa partinya akan hanya bekerjasama dengan semua orang, kecuali mereka yang cauvinis atau cauvinis ultra kiasu. 

Dalam konteks politik dan kenegaraan, cauvinis merujuk kepada seseorang yang sangat yakin partinya sahaja yang betul dan dengan fanatik menyerang sesiapa sahaja yang tidak ‘sebulu’ atau berbeza pandangan dengannya.

Manakala dalam konteks kaum pula, cauvinis bermaksud terlalu cinta dan bangga akan bangsanya sendiri sehingga menganggap bangsanya sahaja yang ada kelas (kasta tertinggi), dengan memandang rendah kepada bangsa lain. 

Cauvinisme juga merujuk kepada kesetiaan ekstrem terhadap suatu pihak atau keyakinan tanpa mahu mempertimbangkan pandangan alternatif. Inilah ultra kiasu, semua orang salah, mereka sahaja yang betul. Sekadar makluman, istilah cauvinis diambil daripada nama Nicolas Chauvin, seorang perajurit, yang hidup pada zaman Napoleon Bonaparte. 

Peliknya, kenapa ultra kiasu Pas yang dikenali sebagai G18 begitu mempertahankan ultra kiasu cauvinis, sehingga tergamak memberi tempoh 100 hari kepada ulama Pas agar menarik balik keputusan yang telah dibuat sebelum ini, iaitu bercerai. Dalam al-Quran pun ada satu surah bernama at-talaq. Dah cuba bersatu, tak boleh juga, maka ketika itu bercerai adalah lebih baik. 

Kenapa ultra kiasu Pas tidak nampak semua itu? Dalam kepala mereka hanya mahu jatuhkan Umno dan jadi menteri. Malah, mereka sanggup menubuhkan parti baharu, dan tidak segan silu memberi amaran kepada ulama Pas, supaya cermin diri dan membaca perlembagaan ultra kiasu yang sebenarnya tidak cauvinis. 

Nak kenal seseorang itu cauvinis atau tidak, tak cukup sekadar membaca perlembagaan. Tindak-tanduk mereka sudah jelas. Apatah lagi membaca sejarah Peristiwa 13 Mei 1969 dan perjuangan Malaysian Malaysia.  

Dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara. Pas tidak rugi melepaskan duri dalam daging ini. Malah pengaruh Pas akan menjadi semakin kuat, meskipun ultra kiasu cauvinis tidak mengundi Pas selepas ini. Pas tidak mengemis simpati kepada musuh Islam. 

Cuma, Pas perlu lebih bijak dan berstrategi dalam percaturan ini agar tidak terperangkap, kerana dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku. Kenalilah siapa kawan sebilik, rakan serumah dan di luar rumah, serta musuh di luar rumah.

Rakan serumah dan di luar rumah tidak boleh dibawa ke bilik, kerana tidak mustahil mereka bersekongkol dengan musuh di luar rumah. Mereka ini belum tentu mengundi Pas dalam pilihan raya. Mereka hanya memperalatkan Pas untuk menjatuhkan Umno, bagi memudahkan laluan ke Putrajaya, seterusnya melepaskan ketua mereka dari penjara.

Mulai sekarang, berbincanglah dengan kawan sebilik, apakah jalan terbaik untuk menyelamat negara ini daripada jatuh kepada ultra kiasu cauvinis. 
 
* Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA