NAMPAKNYA laman web dan NGO ultra kiasu begitu memberi publisiti besar-besaran kepada sarjana Iran Amerika Syarikat, Reza Aslan, mengenai pandangannya terhadap Malaysia, terutama isu berkaitan kalimah ALLAH dan tindakan pihak kerajaan terhadap stesen radio BFM yang pernah menginterviewnya.

Katanya, Putrajaya bertindak seperti 'ibu bapa' dan bukan kerajaan yang dipilih, apabila mengharamkan penggunaan kalimah 'ALLAH' dalam kalangan bukan Islam dan menetapkan bagaimana umat Islam Malaysia perlu mengamalkan kepercayaan mereka.

Pihak berkuasa agama tidak perlu wujud secara berpusat di negara-negara yang mengamalkan ajaran Islam, kerana ia umpama merampas kuasa daripada Nabi Muhammad. Reza mengumpamakan, tindakan kita seperti rejim komunis Korea Utara kerana menyekat suara rakyat.

Malaysia dikatakan menjadi bahan ketawa dunia.

Kita tidak perlukan nasihat orang luar. Ramai pakar dalam negara ini yang lebih baik dan berkebolehan daripada beliau. Apa yang beliau tahu tentang Malaysia, sejarah, perlembagaan dan budaya masyarakat di sini? Peliknya, laman web dan NGO tersebut begitu beria-ia  mendapatkan pandangannya.

Biarlah seluruh dunia mentertawakan kita, asalkan kita dapat menjaga negara dan rakyat dengan baik. Apa guna menjadi negara sanjungan dunia, tetapi mendapat laknat ALLAH?

Apakah negara Barat tidak menjadi bahan ketawa dunia, apabila merendah martabat manusia lebih hina daripada binatang atas nama demokrasi, seperti membenarkan LGBT, hubungan dan perkahwinan sesama jantina?

Kenapa perkara ini tidak ditegur oleh Reza dan kuncu-kuncunya di Malaysia. Saya fikir inilah yang dimahukan oleh puak-puak liberalis, pluralis dan sekularis. Termasuk NGO wanita yang peralatkan nama Islam.

Penyelidik lelakinya, begitu marah terhadap saya apabila saya mengakui saya adalah fundamentalis, bukan moderat. Beliau mahukan saya 'shut up' dan melabelkan saya seperti IS di Syria. Ada aku kisah! Janji saya kenal siapa diri saya.

Seperti pakar bahasa Arab lagaknya, beliau berkata, moderat itulah makna wasatiyyah. Saya pula kata, terjemahan wasatiyyah perlu beriringan dengan makna moderat dan fundamental, barulah agak menepati.

Imam Ibnu Al-Qayyim mahukan manusia mengambil sikap moderat dan fundamental, untuk menyelamatkan kita daripada pelanggaran. Jadi, kita mendapatkan kedudukan tengah antara dua ekstrem yang paling seimbang dan adil, yang mana seseorang akan menemui semua manfaat dan kemudahan hidup di dunia dan akhirat.

Moderat bukanlah terjemahan yang tepat kepada makna wasatiyyah. Begitu juga dengan maksud sederhana, walaupun kita terpaksa menggunakannya, bagi tujuan penyampaian.

Inilah kehebatan bahasa al-Quran berbanding bahasa lain. Satu huruf al-Quran kadangkala membawa makna yang amat dalam. Saya tidak kisah puak liberalis dan pluralis nak kata apa.

Wasatiyyah adalah wasatiyyah. Ummah wasat, bukan bermakna umat moderat atau sederhana, sehingga menjadi liberalis, pluralis dan sekularis. Tetapi mesti fundamental dan terbaik. Tun Mahathir selalu berkata beliau adalah fundamentalis Muslim.

Sama juga makna kalimah ALLAH, tidak tepat diterjemahkan kepada makna Tuhan. ALLAH adalah ALLAH. Terjemahan Tuhan terlalu umum. Semua orang ada Tuhan. Apa yang membezakan Tuhan mereka dengan Tuhan kita, adalah ALLAH.  

Sebab itulah kita amat sensitif apabila kalimah ini mahu direbut oleh orang lain. Bukan kita tidak benarkan. Tetapi kalimah ini terlalu dekat dengan kita dari segi budaya dan sejarahnya. Inilah isu yang tidak difahami oleh orang jahil yang mengaku Islam.

Maaf, saya bukan jenis manusia yang suka pegang anjing tanpa sebab. Kecualilah binatang ini memerlukan pertolongan. Ketika itu, baharulah saya akan memegangnya.

Nasihat saya kepada laman web dan NGO ultra kiasu ini, pertama, selamatkan akidah saudara sebelum bertambah sesat dan terkeluar. NGO wanita ini telah diharamkan di negeri Selangor.

Kedua, bahasa Arab tidak boleh diterjemahkan sesuka hati tanpa merujuk kepada pakarnya. Kenapa kita langsung tidak mahu merujuk kepada pakar apabila terdapat kekeliruan dalam hal ehwal agama?

Ketiga, tafsiran NGO wanita ini terlalu moderat sehinggakan ramai pemimpin dan ahlinya yang tidak menutup aurat. Majoriti masih gondol kepalanya. Sejauh manakah kemampuan memahami arahan al-Quran untuk mengatakan menutup kepala itu tidak wajib jika tidak ada asas bahasa Arab?

Jangankan agama Islam, lihat sahaja pemimpin agama lain, kebanyakannya berpakaian sopan, seolah-olah menutup aurat. Ada yang sanggup botakkan kepala meskipun wanita. Kenapa NGO ini terlalu moderat? Sehingga mahu menghalalkan ratu cantik dan LGBT atas nama hak asasi manusia?

* Penulis ialah pensyarah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam UniSZA