PEMIMPIN ultra kiasu parti Gerakan mengancam kerajaan supaya memindahkan penolong pengetua berbangsa India di sebuah sekolah jenis kebangsaan di Ipoh yang baharu dilantik. Sebelum ini, insiden yang sama berlaku di Mentakab.

Pendek kata, ultra kiasu Cina tidak mahu menerima guru bukan Cina yang tidak boleh berbahasa Cina. Mereka mahukan operasi 78 SMJK Cina dan lebih 1,300 SJKC seratus peratus Cina, menjadi sekolah satu warna. Apa semua ini?

Kita harapkan KPM tidak akan tunduk. Pembinaan sekolah dalam sekolah perlu dihentikan. Fikirkanlah sama perkara yang sangat penting iaitu pembangunan negara bangsa bermatlamatkan perpaduan nasional.

Saya sering dituduh sebagai rasis dan lebih Melayu daripada Melayu. Apakah tindakan ini tidak rasis? Hairannya, tidak ada seorang pemimpin Umno yang sensitif. Pembangkang lagilah takut.  

 Pertama, kerajaan perlu meneruskan dasar menempatkan lebih ramai guru-guru bukan Cina di SJKC dan SMKJ. Biar macam-macam ada. Warna-warni Malaysia. Baharulah 1Malaysia.

Kedua, jika Sekolah Kerajaan (SK dan SMK) boleh menerima guru bukan Melayu, tidak kira sama ada mereka mahir berbahasa Melayu atau tidak, kenapa sekolah Cina tidak boleh? Apa besarnya sekolah Cina? Bayangkan tindakan yang sama kita lakukan, iaitu menolak guru bukan Melayu di SK dan SMK?

Ketiga, jika merasakan sistem pendidikan di Malaysia masih tidak cukup, termasuk mendesak kerajaan mengiktiraf sijil UEC, maka carilah tempat lebih baik untuk membina sekolah sebegini. Mana ada kerajaan di dunia ini yang membenarkan sekolah sebegini dibina, kecuali Malaysia? Semuanya dibantu.

Di Malaysia bukan sahaja sekolah berasaskan kaum dibantu, pembinaan rumah ibadat bukan Islam pun dibantu sama, atas dasar toleransi.

Bandingkan negara lain, di India misalnya, rumah ibadat yang dibina menggunakan duit sendiri, tetapi dikawal kerajaan. Kerajaan mempunyai kuasa penuh terhadapnya, termasuk jumlah aset (derma) yang berjaya dikutip (baca www.thehindu.com dan indiafacts.org).

Keempat, perlulah bertanya kepada guru-guru bukan Melayu di SK dan SMK, bagaimana layanan pengetua Melayu terhadap mereka. Tidak kurang yang mendapat anugerah khidmat cemerlang setiap tahun. Apakah sama seperti yang berlaku di SJKC, guru Melayu dianaktirikan? Sebab itu, saya selalu mengingatkan supaya menghargai toleransi orang Melayu. Bangsa ini sangat bertimbang rasa. Kenapa perlu ambil kesempatan? Saya tidak kata semua, tetapi tindakan mereka jauh lebih profesional dan kurang rasis.

Kelima, kerajaan perlu bertegas, seperti mana kerajaan negara lain. Sampai bila mahu bertarik tali? Kita lebih banyak menghulur tali, sehingga talian hayat pun sudah hampir habis. Tinggal apa lagi? Pendidikan adalah asas, tidak boleh dikorbankan. Pemimpin datang dan pergi, tetapi dasar yang ditinggalkan, dan diubah setiap kali pimpinan berubah, akan menjadi precedent (mengikat).

Akta Pelajaran 1961, kerajaan mempunyai kuasa penuh untuk menghapuskan SJKC bila tiba masanya. Kerana desakan dan tekanan, Akta ini telah dimansuhkan dan diwujudkan Akta Pendidikan 1996. Lebih liberal. Status SJKC terjamin. Kerajaan tidak ada lagi kuasa penuh untuk menghapuskan SJKC, tetapi hanya boleh menukar status bahasanya sahaja. Akta ini sedang ditentang oleh ultra kiasu dan mahukan kerajaan menghapuskan kuasa ini. Daripada ada kuasa boleh menghapuskan SJKC, kini tinggal hanya menukarkan bahasa pengantarnya dan sekolah ini dibantu sepenuhnya. Itu pun PM telah memberi jaminan SJKC dan SMJK akan kekal selama-lama.

Keenam, buatlah kajian sistem pendidikan di seluruh dunia, apakah ada seperti Malaysia? Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan semakin hilang peranannya. Bahasa lain semakin mengukuh. Tidak cukup dengan itu, desakan dan tekanan terus diberikan termasuk memberikan syarat-syarat guru bukan Cina tidak boleh dipindahkan ke SJKC dan SMJK tanpa kebenaran Dong Jiao Zong dan Hua Tuan. Silibus BM mesti lebih mudah dari SK dan SMK. UEC mesti diiktiraf. Apa lagi mereka mahu?

Kesimpulannya, wahai pemimpin kerajaan! bertindaklah seperti negarawan. Saudara bukan lagi ahli politik setelah dilantik menjadi menteri. Janganlah terlalu kemaruk undi sehingga memusnahkan negara bertuah ini.