MUTAKHIR ini, media ultra kiasu tidak putus-putus mencari dan menemu bual pembesar (menteri atau bekas) dan anaknya, pegawai tinggi kerajaan atau bekas, guru besar dan lain-lain yang liberal bagi melunaskan agenda mereka. Publisiti diberikan secara meluas. Selepas itu, mereka akan dijemput berceramah.

Malaysia tidak tergugat dengan orang sebegini. Semakin banyak mereka bercakap, semakin terserlahlah kebodohannya. Kumpulan ini tidak ramai pengikut. Tetapi dicanangkan seperti ramai. Sama seperti Amanah.

Kita kenal dan tahu siapa mereka. Lainlah kalau mereka ini alim dan berintegriti tinggi sejak awal lagi. Harapkan gelaran dan jawatan sahaja tinggi.     

Orang sebegini telah mati hatinya. Agenda negara tidak dipedulikan, kerana kuasa, manusia sanggup lakukan apa sahaja termasuk menggadaikan maruah agama dan bangsa. Politik, adalah sesuatu serba mungkin.

Saya harap umat Islam yang lain tidak tertipu. Agenda dan Perlembagaan negara mesti dipertahankan meskipun nyawa menjadi taruhan.  

Tidak semestinya seseorang pemimpin, atau mereka yang bergelar atau anak-anak mereka itu baik, boleh diikuti atau didengari atau dijadikan contoh teladan. Bapanya borek tidak semestinya anak rintik. Kadang-kala si bapa begitu baik, anak jadi malaun. Bapa Pak Imam, anak macam pelesit.

Terbaharu, mereka mahukan akaun Jakim diaudit. Betapa jahilnya mereka yang pernah menjadi penjawat awam jika tidak tahu bahawa setiap agensi kerajaan akan diaudit setiap tahun.  

Jika suka sangat membela anjing, tidak perlulah paksa orang lain atau galakkan mereka bela anjing. Saya tidak menghukumkan membela anjing itu haram. Tetapi memahami budaya Melayu, mereka agak elergi dengan binatang ini. Maka, saya hormat pendirian itu.

Kita bukan mahu mencari kesalahan umat Islam, tetapi melaksanakan kewajipan amar makruf nahi mungkar adalah wajib. Bawa orang jadi baik, cegah mereka buat jahat.

Beberapa kali saya ingatkan kumpulan jahil ini, jika masih gagap baca Quran, bertanya kepada yang pakar.

Jangan tafsir ikut sedap mulut. Gelaran, pangkat yang ada, tidak akan ditanya malaikat apabila ke kubur nanti.   

Membandingkan kedudukan Islam zaman Tunku Abdul Rahman dengan hari ini sudah tentu tidak wajar. Dunia sudah berubah. Memartabatkan Islam, tidak ada kaitan dengan Arabisation. Ini adalah tanggungjawab setiap Muslim, kecuali mereka yang jahil.

Berapa ramai umat Islam yang buta al-Quran telah dicelikkan melalui Jakim? Adakah mereka ini menyertai militan IS? Mungkin kumpulan jahil ini belum masuk kelas Jakim. Masuklah! Yakinlah! Apa jua yang dilakukan untuk memartabatkan oleh Jakim dan institusi Islam yang lain tidak akan menjadi Malaysia Arabisation. Pemahaman Islam kita berbeza dengan negara lain, kecuali mereka yang Syiah dan ekstremis.

Kumpulan ini menyoal pada zaman Tunku, ada orang minum wiski atau arak, tetapi pemahaman Islam mereka tetap baik. Persoalannya, apakah kita perlu minum arak sama bagi menunjukkan keliberalan kita? Selaku NYDP Perkim, kehebatan Tunku adalah, dia memujuk dan mengajak bukan Islam masuk Islam, sehingga ada dua tiga orang menteri Kabinet memeluk Islam.

Kita hari ini bagaimana? Adakah pendekatan mengajak dibuat walaupun kononnya kita lebih baik?

Apakah kita mahu berhujah, orang minum wiski itu lebih baik daripada orang agama? Apa salahnya kita menekankan lebih kepada atau bercakap bahasa Arab kerana ia bahasa al-Quran?

Jangan kerana kita jahil bahasa Arab atau negara Arab kurang maju, maka Arab itu tidak baik.

Pada saya bahasa kedua selepas BM, sepatutnya bahasa Arab, diikuti BI dan lain-lain bahasa ibunda, barulah wasatiyyah.

Cendekiawan Barat (Inggeris) sanggup menelaah kitab bahasa Arab untuk mengorek permata yang pernah ditinggalkan oleh cendekiawan Islam zaman lampau. Kenapa hari ini kita terlalu mendewakan BI, sehingga buta al-Quran?   

Terbaharu, pemimpin negara India mengeluarkan kenyataan tegas akan menapis adegan cumbu Spectre, filem terkini James Bond. Saya belum pernah mendengar kenyataan begitu daripada badan penapis filem negara kita. Adakah ini Arabisation?

Kenapa dunia diam? Apabila negara Islam dibom saban hari, dunia senyap sepi. Apabila negara liberal dibom, satu dunia bising? Di manakah keadilan?

Saya kagum dengan jurutera, Kishva Ambigapathy, anak Malaysia yang dipilih menerajui Majlis Belia Komanwel (CYC) 2015-17 di Malta. Beliau memakai baju Melayu ketika berada dalam majlis tersebut. Inilah anak Malaysia yang perlu ada di negara bertuah. Pada mereka yang tidak ada semangat seperti ini, kata-kata balik Tongsan ada betulnya.   


* Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPA, UNISZA