KEMPEN Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar sangat jelas membuktikan kejelikan Parti Amanah Negara (Amanah). Tengoklah pada kempen ucapan dan gegantung mereka.

Apakah layak mereka ini dipanggil amanah sedangkan ramai yang tidak amanah duduk di situ? Ini masih belum setahun. Bayangkan jika dah lama. Saya tidak kata Pas dan Umno semua betul. Tetapi kedua parti ini tidak label diri mereka amanah.

Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah melakukan kesilapan meluluskan akronim tersebut. Semua sedia maklum, majoriti parti politik yang ada di negara ini menggunakan singkatan seperti Umno, Pas, MIC, MCA, DAP, PKR, SUPP, UPKO, PBB, PBS dan lain-lain lagi. Tidak memakan banyak ruang.

Alangkah kelakar jika Pas menjadi akronim, Islam; Umno = Melayu; MIC = India; MCA = Cina; DAP = Action. Dahulu PKR menggunakan perkataan KeAdilan, nasib baiklah selepas itu disebut sebagai PKR. Jika tidak, susah juga bersoal jawab sebab bukan semua yang duduk di situ memiliki sifat adil. Sesama sendiri pun berantakan.

Mungkin ada yang berhujah bagaimana pula dengan PGRM (Gerakan), Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Barisan Jemaah Islam Se-Malaysia (Berjasa). Akronim tersebut kes terpencil dan masih boleh diterima.

Apa pun, saya mencadangkan kepada ROS supaya menarik balik akronim Amanah tersebut dan digantikan dengan PAN seperti lazimnya. Begitu juga penggunaan Pakatan Harapan (PH dan PR) juga tidak wujud kerana tidak berdaftar dengan ROS.

Perkara ini penting bagi mengelakkan kekeliruan seperti Amanah Saham, Amanah Ikhtiar, Amanah Raya dan sebagainya.

Kenapa tidak layak dipanggil Amanah? Pertama, amanah adalah satu nilai yang amat mulia dan salah satu sifat Nabi. Tidak seharusnya ada pada nama parti politik. Dalam politik, segala mungkin boleh berlaku. Politik Machiavelli. Berapa ramai kita sangka Amanah terlibat dalam pecah amanah. Termasuk banyak kepura-puraan dalam politik.  

Kedua, setakat pemerhatian, ketika berkempen, taktik dan teknik matlamat menghalalkan cara digunakan. Ramai kalangan mereka menjadi tidak amanah. Mulut bacul, mengata dan mengumpat peribadi orang terutama peribadi PM dan Pas, Hadi Awang.

Ketiga, apakah namanya Amanah apabila mereka sudah belot dengan parti Pas yang telah menaikkan dan mempopularkan nama mereka.

Hari ini Amanah mengemis simpati bekas pemimpin Umno untuk bersamanya. Kasihan.

Keempat, Amanah yang saya kenali sebahagian besar adalah kalangan pemimpin IRC yang ditubuhkan pada 1980-an. Mereka bukan sahaja mengkhianati Pas, tetapi juga Abim, Umno dan lain-lain. Mereka dalam parti-parti ini mengacau-bilaukan mereka.

Kelima, apakah kita amanah apabila keluar daripada Pas yang telah memenangkan mereka sebagai wakil rakyat. Apabila disuruh keluar dan letak jawatan sebagai wakil rakyat, mereka menyalahkan Pas pulak. Muka tidak malu.

Keenam, Amanah bersubahat dengan ultra kiasu menentang agenda Islam, terutama RUU 355. Dikatakan tidak lengkap dan banyak kelemahan. Apa yang telah Amanah lakukan untuk melengkapkannya? Di mana amanahnya?

Ketujuh, Amanah mungkin berhujah di luar negara seperti Britain dan Iran menggunakan nama Trust. Tidak mengapalah, mereka bukan Islam. Kadangkala mereka lebih amanah daripada kita.

Kelapan, Amanah mungkin amat takut dipanggil PAN sebab membawa papan dalam bahasa Cina dan kuali dalam BI.

Pada saya, selayaknya disamakan dengan peralatan tersebut. Kuali digunakan untuk memasak pelbagai makanan. Ternyata Amanah sedang dipergunakan dan menjadi kuda tunggangan ultra kiasu. Amanah sudah menjadi jurucakap ultra kiasu. Menuduh RUU 355 adalah bill Hadi atau mewakili kata-kata Tuhan.

Sejak bila Hadi berkata sedemikian? Menteri dan Timbalan Menteri di JPM dan cendekiawan Islam telah memberikan penjelasan selengkapnya. Kenapa pula terikut-ikut dengan ultra kiasu mengatakan Hadi bukan Tuhan. Apakah layak pemimpin ini digelar amanah?.

Begitu juga dengan maksud papan. Tidak tahan lama. Menjadi kesukaan makhluk perosak seperti anai-anai. Amanah sedang dikeroyok oleh anai-anai tersebut. Bila papan tersebut sudah hancur, anai-anai akan mencari tempat lain untuk mencari tempat lain yang boleh dirosakkan.

Amanah yakin mereka akan dapat beberapa kerusi dalam PRU akan datang dengan sokongan ultra kiasu. Sebab itu mereka begitu berani dan lantang mengkritik Pas, saudara seagama dan seperjuangannya. Tidak ada sedikit pun lagi kebaikan Pas di mata Amanah.

Kepada Pas dan Umno, teruskan perjuangan memperkasakan agenda Islam di negara bertuah ini.

Saya amat mengharapkan dalam usaha politik matang ini, Pas dan Umno berjaya membenamkan Amanah, supaya menjadi papan dan kuali. Saya merayu ROS menarik balik akronim amanah ini dan kekalkan menjadi PAN.

* Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Felo Utama, INSPIRE dan pensyarah PPI InisZA