APAKAH pakatan bapa dan anak dalam DAP begitu terdesak hingga si bapa yang telah menerajui parti itu sejak penubuhannya pada 1969 lagi sanggup bersandiwara mencurah air mata kononnya tidak dapat bertanding pilihan raya umum ke-13 ini atas lambang sendiri.

Malah persidangan akhbar oleh pimpinan parti itu, lebih hebat daripada wayang Cina dengan Lim Kit Siang bukan saja berlinangan air matanya, tetapi lengkap pula digosok bahu dan belakangnya oleh seorang anggota parti wanitanya.

Mungkin kalau kalah di Gelang Patah akibat pukulan Datuk Abdul Ghani Othman, gara-gara sikap bongkak sendiri dia bolehlah memulakan kerjaya baru sebagai pelakon wayang Cina pula?

Itulah atas nama mahukan undi apa pun boleh dilakukan tanpa segan silu lagi. Benar sebagaimana pernah dikatakan dalam politik ini sesetengah orang tidak mempunyai perasaan malu lagi hanya kerana mahu menagih sokongan.

Malah dalam hal ini anaknya sendiri Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Parti yang melakukan blunder membawa padah pada diri sendiri.

Tindakan yang dilakukan Pendaftar Pertubuhan tidak mengiktiraf Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC) adalah berikutan dakwaan perwakilannya sendiri yang tidak puas hati kerana Setiausaha Agung parti itu gagal memberi notis mesyuarat itu kepada 753 perwakilannya untuk menghadiri mesyuarat pemilihan itu pada 15 Disember lalu.

Pada pemilihan itu tidak seorang pun Melayu dipilih. Alih-alih boleh pula seorang anggotanya yang mulanya diberi nama Zairil Khir Johari, iaitu setiausaha politik Guan Eng diisytiharkan sebagai pemenang kononnya kerana berlaku kesilapan mencongak jumlah undi.

Kiranya jumlah undi berselisihan tidak seberapa, ramai orang masih boleh menerima alasan itu. Tetapi kiranya perselisihan kiraan itu mencecah lebih dari 200 undi tentulah akan menimbulkan berbagai macam spekulasi tidak menyenangkan.

Maka seorang aktivisnya, Vincent Wu yang pada mulanya diisytiharkan tempat keenam sebenarnya menduduki tempat ke-26 manakala Zairil yang mulanya tempat 39, berada di tempat 20.

Ini kononnya adalah untuk menunjukkan sebenarnya terdapat seorang Melayu telah dipilih menganggotai CEC itu.

Bagaimanapun usaha untuk menunjukkan memang ada seorang Melayu terpilih menjadi blunder juga. Ini kerana Zairil mulanya menggunakan nama Zairil Khir Johari, tetapi kini jadi Zairil Abdullah pula.

Apa sebenarnya ialah Zairil ini bukanlah anak sebenar Tan Sri Khir Johari, tetapi anak angkat. Dia adalah anak Puan Seri Christine Lim yang bernikah dengan Khir pada Februari 1998. Christine seorang balu ada dua anak ketika itu, seorang daripadanya bernama Christopher Ross Lim yang sudah pun berumur 13 tahun waktu itu.

Maknanya Zairil ini bukan pun seorang Melayu kerana kedua ibu bapa kandungnya adalah berbangsa Cina.

Bagaimanapun dia masih boleh diterima sebagai Melayu mengikut Perlembagaan Persekutuan yang hanya menetapkan tiga syarat untuk diiktiraf sebagai Melayu iaitu beragam Islam, bertutur bahasa Melayu secara kebiasaan dan berpegang kepada adat resam dan budaya Melayu.

Maka itu Pendaftar Pertubuhan pun mengeluarkan surat kepada Guan Eng tidak mengiktiraf CEC yang dipilih itu. Bagaimana pun Pendaftar Datuk Abdul Rahman Othman menegaskan, DAP masih boleh menggunakan lambang Roketnya dalam PRU13 ini kerana pendaftaran parti itu tidak terbatal.

Tetapi ini pun digunakan Lim Kit Siang untuk melakukan wayangnya itu bagi menagih simpati kerana tidak boleh menggunakan lambang roketnya hinggakan kononnya mahu menggunakan lambang Pas di Semenanjung dan lambang Parti Keadilan Rakyat di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun persoalan timbul kenapa ROS beria-ia sangat mengeluarkan suratnya itu dua hari sebelum hari penamaan calon?

Apakah ia tidak boleh keluarkan surat itu lebih awal atau pun kalau tidak kesempatan keluarkannya selepas Mei 5. Ini adalah untuk mengelak timbulnya berbagai macam tohmahan. Dan sememangnyalah tohmahan demikian telah pun dibuat?

Timbul juga persoalan apakah ROS ini tidak sensitif terhadap kemungkinan ia digunakan untuk menghentam kerajaan Barisan Nasional (BN) memandangkan akan berlangsungnya PRU13? Jelas sekali ROS tidak prihatin langsung terhadap sensitiviti orang ramai, khususnya pimpinan DAP terhadap tindakannya itu hingga akhirnya BN pula dipersalahkan. Walhal ia tidak langsung kena mengena dengan BN.