KETIGA-tiga parti dalam Pakatan Rakyat berterusan mencanang ke sana ke mari, baik dalam ceramah mahupun akhbar-akhbar mereka dan pelbagai blog penyokongnya bahawa mereka akan menduduki Putrajaya selesai PRU13.

Ini jelas sekali menjadi satu strategi untuk menimbulkan kepercayaan di kalangan rakyat mengenai kekuatan mereka hingga mendakwa BN akan hanya boleh menang dengan penipuan. Itulah juga kenapa mereka terusan mengecam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai tidak adil ketika mengendalikan pilihan raya dan pengundian.

Persoalannya apakah selama ini setelah 12 pilihan raya umum diadakan dalam negara sejak 1955, berlaku penipuan ketika mengundi atau kira kertas undi? Sebenarnya perkara tiada asas ini sengaja ditimbulkan untuk memperlekeh SPR, kononnya sentiasa saja memihak kepada Barisan Nasional.

Maka itulah juga dikeluarkan risalah menggariskan strategi untuk mencetuskan kekacauan kiranya PR kalah. Perkembangan ini amat mencemaskan dan pihak berkuasa harus menjalankan siasatan kesahihan risalah itu dan bertindak terhadap anasir yang sengaja mahu menimbulkan kekacauan pada hari mengundi atau pada hari-hari berikutnya.

Seorang peguam di antara mereka, Haris Ibrahim, penyokong kuat gerakan ‘Asalkan Bukan Umno’ (ABU) hingga mengumumkan dia sudah pun menubuhkan pasukan ‘berani mati’ bagi menentukan tidak berlaku apa yang ditohmahkan sebagai penipuan ketika mengundi dan mengira kertas undi di setiap kawasan mengundi.

Pasukan itu diberi nama Tahan (Team Abu Halang Asing Ngundi) untuk menghalang orang asing yang didakwa sudah pun diberikan Kad Pengenalan secara tidak sah dan sepatutnya tidak berhak mengundi.

Tidak pula diketahui bagaimana anggota ini akan bertindak dan bagaimana mereka boleh mengesahkan siapa di antara rakyat yang mampir ke pusat mengundi itu ‘orang asing’.
Tentunya apabila pihak polis bertindak menghalang mereka melakukan kerja haram demikian kemungkinan kekecohan akan sengaja dicetuskan supaya ia dapat dirakam dan diedarkan melalui internet untuk menunjukkan kepada dunia betapa polis Malaysia bertindak menghalang rakyat daripada mengundi.

Persoalan, apakah pasukan demikian sudah diwujudkan bagi setiap 8,789 kawasan mengundi?. Demikian pula sebuah NGO Tindak Malaysia ditubuhkan, kononnya mahu mengajar pengundi bagaimana hendak mengundi. Ini didedahkan oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim bahawa NGO itu telah pun melatih pengundi, ejen pengiraan undi serta mewujudkan pemerhati barung untuk menimbulkan kekacauan dan tidak puas hati rakyat.

Malah Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengingatkan orang ramai bahawa tunjuk ajar itu adalah satu usaha mahu mencetuskan kekecohan pada hari mengundi.

Perkembangan demikian ini sungguh mengharukan kerana ia memberi gambaran amat tidak menyenangkan. Negara ini sudah pun melalui 12 pilihan raya umum tanpa sebarang kekecohan dan keadaan demikian ini harus dipelihara.

Pergaduhan telah berlaku hanya sekali itu pun setelah keputusan diumumkan pada pilihan raya 1969 dahulu hingga Parlimen terpaksa digantung dengan negara ditadbirkan oleh Majlis Tindakan Negara (Mageran).

Ramai rakyat berumur di bawah 35 tahun yang belum pun dilahirkan ketika itu tidak mengetahui keadaan sebenar apabila berlaku pergaduhan kaum hingga sebabkan rakyat resah dan cemas dengan ketenteraman awam tergugat.

Maka, amat dikesalkan terdapat sesetengah muda-mudi yang jahil menulis melalui Facebook dan Twitter seolah-olah mengalu-alukan kekacauan. Ia diremehkan sebagai suatu kejadian glamour pula tanpa mempedulikan pergaduhan demikian boleh bawa kepada kehilangan nyawa dan harta benda serta mewujudkan permusuhan rakyat hingga berada dalam keadaan tidak tenteram.

Sebenarnya keadaan sekarang sudah berbeza dengan apa yang wujud waktu itu hingga membawa kepada tsunami politik mengakibatkan BN kecundang di banyak kawasan Parlimen dan kehilangan Selangor, Kedah serta Pulau Pinang.

Apa berlaku itu gara-gara keadaan semasa pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan perlakuan beberapa kerat penasihatnya termasuk apa yang disebut sebagai budak-budak tingkat empat (4th floor boys).

Mood tidak senang dengan BN dan khususnya Umno waktu itu sudah berlalu. Demikian juga jumlah besar pengundi-pengundi baru yang majoritinya muda-mudi berumur di bawah 30 tahun tidak semestinya anti establishment.

Pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan dalam tempoh hampir lima tahun menerajui kerajaan telah dapat memikat muda-mudi dan mereka inilah yang akan tentukan keputusan PRU itu nanti.