PERANAN utama sesebuah universiti adalah untuk melahirkan tenaga manusia yang berilmu dan berpengetahuan dalam memenuhi kehendak guna tenaga negara. Lulusan universiti juga perlu mempunyai tanggungjawab dan kesedaran untuk memberi sumbangan kepada kemajuan negara, nusa dan bangsa.

Sebagai sebuah institusi yang diberi jolokan menara gading, universiti adalah juga suatu pusat ilmu pelbagai bidang yang dapat pula memberikan sumbangan pengetahuan dan ilmu yang sedia ada padanya kepada masyarakat. Universiti sebenarnya adalah tanda aras ketamadunan dan ketinggian daya intelek sesuatu masyarakat.

Semua warganya, baik akademik mahu pun kakitangan lain serta siswanya harus sanggup berusaha untuk mencapai tahap kecemerlangan akademik bagi meningkatkan kedudukannya supaya setanding dengan universiti dunia.

Tugas menyediakan lulusan berketerampilan demikian terletak di bahu tenaga pengajarnya. Maknanya tugas hakiki pengajar ialah mengajar biasanya dengan mengadakan kuliah dan tunjuk ajar serta memberi nasihat, di mana usaha untuk menambah dan memantapkan lagi ilmu yang diberikan boleh diperkukuhkan.

Sehubungan itu, anggota akademik universiti mesti sentiasa berusaha menjalankan kajian dan menulis untuk terbitan akademik sebolehnya yang diiktiraf. Tugas demikian itu sahaja sudah amat mencabar dan mereka tidak harus diberikan bebanan tambahan lagi hingga menjejaskan tugas-tugas hakiki itu.

Malangnya bagi sebuah fakulti pengajian tinggi awam (IPTA) ini, pensyarahnya dikatakan sering dibebani tugasan tambahan hingga mereka tidak diberi ruang untuk menjalankan penyelidikan dan menulis jurnal akademik atau penerbitan lain.

Tugasan tambahan itu sebenarnya bertujuan baik untuk memberi pengalaman praktik bagi memantapkan lagi apa yang siswanya pelajari melalui kuliah atau kerja-kerja ilmiah lain. Tetapi kerja-kerja praktik bukanlah suatu kehendak utama hingga boleh menjejaskan usaha menyampaikan pelajaran di dalam kelas.

Tetapi bagi fakulti tersebut usaha amali itulah yang diberi keutamaan kerana ketuanya dikatakan begitu taksub mahu menempa nama hingga memeras tenaga pengajar dan pelajarnya melaksanakan sejumlah persembahan seni, termasuk teater hingga terpaksa mengabaikan pengajian dan pembelajaran di bilik darjah.

Begitu tertekan sekali mereka dengan tugasan sampingan ini hingga tenaga akademiknya tidak dapat melakukan penyelidikan hingga fakulti itu dikatakan sering menduduki tempat tercorot antara fakulti universiti itu dalam usaha penyelidikan.

Begitu banyak sekali persembahan yang dibebani kepada mereka dan juga pelajar hingga ada di antara mereka memberi jolokan fakulti sudah dijadikan sebuah production house.

Mana tidaknya kiranya pada tahun ini sahaja ia merancang untuk mengadakan pelbagai persembahan seni, termasuk teater muzikal.

Pada setiap persembahan semua tenaga pengajarnya dikerah mengurus dan melaksanakannya. Ini termasuk usaha menyediakan skrip dan buku memaparkan persembahan lengkap dengan sinopsis dan latar belakang semua yang terlibat, selain mengubah dan memilih muzik sesuai.

Ia tentunya menghendaki mereka yang melaksanakan persembahan kebanyakannya, pelajar perlu menghafal skrip watak masing-masing serta menjalani latihan manakala kakitangan akademiknya perlu menyediakan segala kehendak di belakang tabir sesuatu pementasan atau produksi.

Ini semua tentunya memerlukan usaha, tenaga dan masa hingga menjejaskan tugasan hakiki pensyarah dan juga pelajar mengakibatkan sekian banyak kuliah dan urusan akademik lain dibatalkan.

Mereka juga dikehendaki mengusahakan publisiti untuk setiap persembahan itu sebolehnya mendapatkan liputan media seluas mungkin. Kiranya tidak mendapat liputan pensyarah terlibat dipersalahkan kononnya tidak memberikan usaha terbaik untuk mendapatkan liputan yang dikehendaki.

Akibatnya ramai tenaga pengajar dan juga pelajarnya mengeluh sendirian takut untuk mengetengahkan masalah yang mereka hadapi kerana tidak mahu dilihat sebagai membantah
arahan. Sehinggalah seorang daripada tenaga pengajarnya itu meletakkan jawatannya kerana sudah tidak mahu terlibat lagi dengan usaha persembahan yang telah menghakiskan tugasan hakikinya.

Maka, pengurusan atasan universiti patut selidiki apa yang sedang berlaku itu supaya keadaannya tidak bertambah meruncing hingga berterusan menjejaskan semangat tenaga pengajar dan pelajarnya.