RAMAI rakyat menganggap setelah lama wujud sebagai sebuah negara merdeka Malaysia sudah pun matang dan bersedia menerima kewujudan sistem dua parti yang sama-sama berwibawa untuk mentadbir demi kebaikan masa depan dan warganya.

Itulah yang diharap-harapkan pada pilihan raya 2008 hingga membawa kepada tsunami politik dengan tiga parti pembangkang, Pas, DAP dan PKR berusaha untuk mewujudkan suatu pakatan mantap melalui gabungan yang diberi nama Pakatan Rakyat.

Malangnya usaha itu tidak  menunjukkan ketiga buah parti itu boleh mengadakan suatu gabungan kukuh hingga telah menimbulkan persoalan apakah usaha untuk mengadakan sistem dua parti demikian itu akan menjadi kenyataan.

Sebenarnya suatu gabungan mantap demikian akan hanya boleh berlaku dengan ada sebuah parti dominan di antara parti-parti yang bergabung. Ini dibuktikan dengan jelas oleh Barisan Nasional di mana Umno menjadi tulang belakangnya sejak penubuhannya, mula-mula melalui Perikatan di Semenanjung dan kemudian menjadi BN apabila parti-parti dari Sabah dan Sarawak turut serta setelah Malaysia dibentuk.

Dilihat dari keadaan yang berterusan melanda Pas, DAP dan PKR tidak mungkin ketiga-tiga parti itu bersedia memberi laluan kepada rakannya menonjol diri sebagai yang dominan.

Tidak menghairankan juga kenapa berlaku perbalahan berterusan untuk mengagihkan kawasan yang akan mereka tandingi dalam PRU13 ini nanti.

Sebab itulah Pas kini beria-ia sangat mara ke hadapan menjadi parti paling berpengaruh di antara mereka dengan awal-awal lagi menyatakan ia akan bertanding untuk merebut sekurang-kurangnya 79 kerusi Parlimen.

Terakhir ia cuba menamakan bukan Islam sebagai calonnya untuk menghakis anggapan ia parti Islam yang memperjuangkan kehendak Islam sahaja.

Tetapi dalam pada itu Murshidul Amnya berterusan membuat tohmahan tidak masuk akal yang tidak terfikir boleh diluahkan oleh seorang yang diberi gelaran Tok Guru.

Mungkin gelaran itu sudah sebati dengannya hingga menjadi riak pula mengeluarkan pelbagai kenyataan melampau hinggakan mengatakan sembahyang orang Umno tidak mendapat pahala.

Sebelumnya parti itu pernah berdoa agar ALLAH SWT menjahanamkan Umno dan Barisan Nasional (BN) semasa mengadakan satu solat hajat, walhal umum ketahui Islam tidak merestui doa menjahanamkan.

DAP walaupun berusaha menonjolkan dirinya sebagai parti berbilang kaum berterusan tidak dapat lari dari hakikat ia adalah sebuah parti cauvinis Cina. Ini jelas dari apa yang berlaku dalam pemilihan Jawatankuasa Pusat parti itu di mana tidak seorang pun bukan Cina dipilih menganggotainya.

Lebih mengaibkan apabila parti itu boleh pula memberi alasan kononnya berlaku kesilapan mengira undi dan dengan itu menamakan Khairil Khir Johari  memenangi pemilihan itu. Sungguh menghairankan, kiraan salah itu bukan berselisihan dua atau tiga undi, tetapi beratus.

Inilah yang membawa kepada pelbagai tohmahan bahawa parti itu sengaja melakukan penukaran untuk menangkis stigma cauvinisnya itu. Apa pun ia tidak boleh lari dari keaiban itu selagi ia sendiri tidak mahu berusaha membuktikan ia tidak berjuang untuk kepentingan kaum Cina sahaja.

Politik perkauman begini akan berterusan selagi rakyat negara ini, khususnya bukan Melayu tidak bersedia memberi keutamaan kepada perjuangan nasional dan tidak berterusan menjulang perjuangan perkauman.

Parti Keadilan Rakyat pula berterusan tidak dapat lari dari kenyataan ia wujud hanya untuk memperjuangkan impian pengasasnya Datuk Seri Anwar Ibrahim nak jadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun impian lama Anwar itu kini sudah semakin pudar, kalau pun PR boleh memenangi PRU13, kerana rakan-rakanya sendiri juga mula sedar siapa dia Anwar itu sebenarnya.

Pengundi juga sudah semakin matang terhadap pelbagai perlakuan PR yang sehingga kini tidak dapat diwujudkan sebagai sebuah parti kukuh.

Kiranya sampai sekarang pun mereka masih gagal untuk menubuhkan PR sebagai sebuah gagasan mantap dengan perlembagaan, perjuangan dan lambang sendiri bagaimana mereka mahu harapkan pengundi akan menyokongnya?

Apa yang akan berlaku ialah pengundi memilih parti-parti yang akan bergabung dalam PR dan ini akan berterusan membawa kepada keadaan terumbang ambing dan tidak kukuh. Ini menimbulkan persoalan bagaimana ia mahu mentadbirkan sebuah negara dengan baik dan berwibawa?